Komen Calvin Cheng 'sama sekali tidak sensitif, tidak boleh diterima'; perpaduan SG mesti dilindungi, kata PM Wong
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata kenyataan yang dibuat oleh bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Calvin Cheng baru-baru ini adalah "sama sekali tidak sensitif dan tidak boleh diterima".
Perdana Menteri Lawrence Wong (tengah) bersama Ustaz Mohamad Hasbi Hassan (kiri) dan Ustaz Pasuni Maulan. (Gambar: Mediacorp)
Encik Wong berkata bahawa Singapura mesti memupuk dan melindungi perpaduan sosial yang wujud, sambil menekankan bahawa masyarakat harmoni yang dinikmati sekarang adalah hasil kerja keras selama beberapa generasi.
"Ketika Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia, sesetengah masyarakat Malaysia menyifatkan kaum Cina tempatan sebagai "pendatang". Ia mencetuskan kemarahan ramai orang Cina, yang rasa mereka dilayan seperti rakyat kelas kedua.
"Maka itu apabila Singapura merdeka, kami bertekad untuk tidak memperlakukan golongan minoriti kami seperti itu," kata Encik Wong dalam satu catatan Facebook pada Khamis (10 Apr).
"Hari ini, Singapura adalah sebuah masyarakat yang rencam tetapi harmoni, di mana semua kaum dan agama, ada tempat di negara ini. Perpaduan ini adalah hasil usaha, kesabaran serta kerja keras selama beberapa generasi yang harus kita hargai, pelihara dan lindungi," kata beliau.
Dalam satu catatan Facebook bulan lalu, Encik Cheng telah mencadangkan bahawa kumpulan aktivis yang dikenali sebagai Monday of Palestine Solidarity, dihantar ke Gaza dan tidak dibenarkan pulang.
"Saya ingin menaja mereka untuk berpindah ke Gaza, dengan perbelanjaan dibayar oleh saya. Tetapi hanya jika mereka tidak dibenarkan pulang ... Saya menawarkan kelas perniagaan kepada pemimpinnya. Dan kepada 928 pengikut mereka, boleh belikan mereka kasut setiap seorang," tulisnya.
Pada Rabu, Encik Cheng telah bertemu dengan Ustaz Mohamad Hasbi dan Ustaz Pasuni Maulan di Masjid Yusof Ishak di Woodlands. Bekas NMP itu berkata beliau "amat menyesali" komen awam yang dibuatnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua ustaz itu kerana meluangkan masa untuk bertemu dengan Encik Calvin Cheng.
"Saya juga berkongsi dengan mereka pandangan saya: bahawa kenyataan Calvin Cheng memberitahu warga Singapura lain 'pergi ke Gaza' adalah sangat tidak sensitif dan tidak boleh diterima," kata PM Wong.
PM Wong turut menekankan bahawa dalam persekitaran yang tidak menentu hari ini, di mana terdapat banyak kuasa luar yang boleh memecahbelahkan masyarakat, perpaduan sosial menjadi lebih penting.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hasbi dan Ustaz Pasuni atas peranan mereka dalam memupuk keharmonian antara agama," ujar PM Wong.
PM Wong menyeru semua pihak untuk bersama-sama memelihara apa yang telah dibina.
"Mari kita bina atas apa yang telah kita capai, dan pastikan bahawa titik merah kecil kita ini terus kekal sebagai sebuah oasis kestabilan dan keharmonian," katanya.
LAPORAN BERKAITAN:
"Perdana Menteri Lawrence Wong juga telah bertemu dengan kedua-dua Ustaz yang dihormati hari ini.
Saya amat menghargai keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita, dan saya berharap kita dapat menemui perdamaian dalam hati masing-masing," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.