Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Komen AP PAP Tan Wu Meng 'bermotif politik', kata ketua WP Pritam Singh

Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh pada Ahad (21 Jun) berkata sebuah rencana yang ditulis oleh Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) Tan Wu Meng "bermotif politik" untuk memecahbelahkan rakyat Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Komen AP PAP Tan Wu Meng 'bermotif politik', kata ketua WP Pritam Singh

Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh.

Diterbitkan : 22 Jun 2020 09:18AM Dikemas Kini : 22 Jun 2020 09:20AM

SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh pada Ahad (21 Jun) berkata sebuah rencana yang ditulis oleh Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) Tan Wu Meng "bermotif politik" untuk memecahbelahkan rakyat Singapura.

Ia adalah respons langsung pertama oleh Encik Pritam terhadap rencana Dr Tan Wu Meng, bertajuk 'Encik Pritam Singh sokong Alifian Sa'at', yang diterbitkan di laman web PAP pada 19 Jun.

Dalam rencana berkenaan, setelah memaparkan beberapa catatan Facebook oleh Encik Alfian - di mana penulis itu mendakwa beliau menyokong Malaysia, AP GRC Jurong, Dr Wu, berkata: "Saya sarankan kepada (Encik Pritam) supaya membacanya dengan teliti dan kemudian memberitahu kami jika beliau berpendapat Alfian adalah seorang 'pengkritik membina' Singapura. Jika benar, mungkin Encik Pritam menganggap dirinya juga sebagai 'pengkritik membina' Singapura?"

Encik Pritam membuat komen mengenai 'pengkritik membina' Singapura semasa Dewan membahaskan Belanjawan Kecekalan di Parlimen pada 5 Jun lalu.

Respons awal Encik Pritam kepada Dr Tan dalam satu catatan Facebook yang singkat berbunyi: "Seorang pengkritik membina. Seorang anak watan Singapura. Tidak sempurna. Tidak sempurna seperti saya dan anda, Dr Tan, mungkin lebih banyak, mungkin lebih kurang."

Dalam respons terkininya yang dimuatnaikkan ke Facebook, Encik Pritam berkata ia adalah "keputusan yang tertunda tetapi terhitung" untuk menerbitkan rencana Dr Tan di laman web PAP "menjelang pilihan raya umum akan datang", dan menyifatkannya sebagai "satu anjakan logik yang sangat ketara" untuk menyatakan bahawa WP menyokong "setiap pandangan kontroversial Encik Alfian".

"Atas sebab-sebab ini, saya berpandangan bahawa soalan-soalan Dr Tan, yang dianggap sebagai sangat jujur, bermotif politik untuk memecahbelahkan rakyat Singapura kepada mereka yang menyokong atau menentang - bukan Singapura - tetapi PAP dan untuk menggambarkan WP dengan cara yang negatif," tulisnya.

"Bagaimana PAP memilih untuk berpolitik adalah sesuatu yang harus diputuskan oleh PAP. Orang ramai juga berhak memberi respons yang mereka anggap sesuai - sejajar dengan undang-undang - dan semasa mengundi."

Pada Ahad, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata "catatan Dr Tan mengajukan soalan yang serius dan difikirkan dengan teliti".

Memberikan respons terhadap komen-komen yang dibuat oleh Encik Shanmugam pada malam yang sama, Encik Pritam berkata: "Apabila menyentuh tentang kedaulatan Singapura, tiada keraguan di mana WP berpihak dan akan terus menyokong. Kami berdiri bersama Singapura."

Beliau menambah bahawa rakyat Singapura seperti Encik Alfian tidak sepatutnya "ditegur" di Parlimen berdasarkan "pembacaan karya mereka secara selektif".

"Namun, sekiranya ada warga Singapura yang secara konsisten bertanggapan bahawa beliau menolak Singapura atau Perlembagaan kita atau memburuk-burukkan Singapura dengan agenda politik di luar negara, baik saya mahupun WP tidak akan memperjuangkan tingkah laku seperti itu," katanya.

Parti-parti politik meningkatkan aktiviti bertemu penduduk sejak Fasa 2 bermula pada 19 Jun. Dalam masa yang sama, ia juga memperhebatkan usaha untuk mendampingi pengundi secara online bagi pilihan raya yang menurut banyak spekulasi akan diadakan tidak lama lagi.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan