Skip to main content

Singapura

Kolonel SAF ambil alih teraju MENDAKI

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai 1 November ini, Yayasan MENDAKI akan diterajui oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu.

Kolonel Mohamed Feroz Akber daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan mengambil alih jawatan Cik Zuraidah Abdullah.

Ini diumumkan oleh Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, pagi tadi (27 Sep) dalam sesi lawatannya ke Pusat Tuisyen MENDAKI di Sekolah Rendah Bedok Green.

Sebelum ini, Encik Feroz merupakan Ketua Pasukan Pemeriksa Keselamatan Tentera di SAF dan aktif dalam kegiatan-kegiatan masyarakat termasuk menyandang jawatan sebagai Pengerusi M³ di Geylang Serai.

"Feroz membawa bersamanya pengalaman yang luas setelah berkhidmat lebih 25 tahun dalam Angkatan Bersenjata Singapura serta menjadi mantan Pengerusi M³ di Geylang Serai. Jadi Feroz ni adalah seorang yang kita kenal, telah berkecimpung dalam kerja-kerja masyarakat dan dia tahu landskap dan juga keperluan masyarakat kita. Jadi, saya yakin beliau akan membina membina atas usaha baik Cik Zuraidah dan para pemimpin MENDAKI terdahulu," kata Dr Faishal.

Beliau turut melahirkan penghargaannya kepada Cik Zuraidah yang sudah menyandang jawatan itu sejak 1 April 2020.

Sebelum itu Cik Zuraidah pernah menjadi CEO MENDAKI antara 2007 hingga 2009.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Cik Zuraidah atas khidmat cemerlang beliau sepanjang 5 tahun. Kami mengucapkan terima kasih kepadanya kerana beliau bukan sahaja seorang wanita yang berjaya dalam kerjayanya, tetapi juga telah menabur bakti kepada masyarakat dengan keteguhan dan juga bagaimana beliau memikirkan tentang bagaimana beliau boleh menyumbang kepada masyarakat," kata Dr Faishal.

Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad turut merakamkan penghargaannya untuk Cik Zuraidah.

Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad. (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)

"Kita berterima kasih kepada Cik Zuraidah yang telah bersama kami dua penggal dan dalam tahun lima tahun yang lalu, kita melihat bagaimana MENDAKI telah meluaskan lagi, memperkembangkan lagi program kita di MTP (Program Tuisyen MENDAKI), sebanyak 100 lebih pusat di merata Singapura hari ini dan pada masa itu kita juga telah melihat pendekatan MENDAKI kepada masyarakat meningkat sebanyak 80%," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran.

PEGAWAI KANAN PASUKAN BERUNIFORM TERUS TERAJUI INSTITUSI PENTING MELAYU/ISLAM

Sebelum Cik Zuraidah, MENDAKI diterajui oleh lagi tiga wanita secara berturut-turut iaitu Cik Moliah Hashim, Cik Tuminah Sapawi dan Cik Rahayu Buang.

Kali terakhir seorang lelaki dilantik sebagai CEO MENDAKI adalah pada tahun 2001.

Jawatan tersebut ketika itu disandang oleh Dr Rozlan Giri yang juga merupakan pegawai kanan daripada Pasukan Polis Singapura, sama seperti Cik Zuraidah.

COL Feroz merupakan pegawai atasan pertama daripada SAF yang dilantik sebagai CEO MENDAKI.

Kali terakhir seorang lelaki dilantik sebagai CEO MENDAKI adalah pada tahun 2001. (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)
Ini sekaligus meneruskan amalan untuk melantik pegawai kanan daripada pasukan beruniform untuk menerajui institusi-institusi penting Melayu/Islam seperti MUIS dan MENDAKI.

Di MUIS, mantan Kolonel SAF, Fahmi Aliman pernah menjadi Timbalan Ketua Eksekutif MUIS.

Ketua Eksekutif MUIS sekarang, Kadir Maideen juga pernah menyandang jawatan Penolong Pesuruhjaya dalam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

COL FEROZ AKTIF DALAM KEGIATAN MASYARAKAT

COL Feroz dipinjamkan tiga tahun kepada Yayasan MENDAKI mulai 1 Oktober 2025.

Pada 1 Oktober ini juga, Encik Feroz akan memegang jawatan selaku CEO Dilantik dahulu sebelum menggantikan Cik Zuraidah secara rasmi pada 1 November 2025.
 
COL Mohamed Feroz Mohamed Akber merupakan Ketua Pasukan Pemeriksa Keselamatan Tentera di SAF (Gambar fail: MINDEF)
Beliau berharap pengalamannya menyertai kegiatan-kegiatan masyarakat sebelum ini dapat membantunya dalam peranan baharunya itu.

"Saya telah turun padang untuk memastikan golongan belia, warga emas dan juga keluarga-keluarga kita meraih manfaat daripada acara-acara yang dianjurkan bersama ahli Jawatankuasa M³," kata Encik Feroz.

"Kami juga telah menyokong program program seperti MENDAKI 'homework café', aktiviti Ramadan seperti iftar dan agihan makanan dan pakaian," tambahnya lagi.

EZRINA ELIAS JADI TIMBALAN CEO BAHARU

COL Feroz juga akan disokong oleh Timbalan CEO sedia ada, Dr Noraslinda Zuber dan seorang Timbalan CEO baharu.

Mulai 1 Oktober, Cik Ezrina Elias yang kini merupakan Pengarah Penglibatan di MENDAKI akan mengisi jawatan itu berikutan persaraan Cik Zulaiha Yusuf.

Namun Cik Zulaiha akan terus berkhidmat setelah dilantik semula sebagai Pengarah Penglibatan MENDAKI.

Dr Noraslinda pula sudah memegang jawatan sebagai Timbalan CEO sejak 1 Mei 2024.

Kepimpinan baharu itu juga diharap Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad dapat memberi kesegaran dalam menetapkan hala tuju seterusnya buat MENDAKI.

"Saya berharap untuk bekerjasama dengan pemimpin baru MENDAKI dalam pelan kerja kami dalam tahun yang akan datang di mana kita akan mengetengahkan lagi pelan ini di bawah naungan Feroz dan Timbalan CEO kami yang akan membawa MENDAKI ke 5 tahun yang akan datang. Kita berharap untuk memberi program yang lebih menyeluruh, lebih berkembang dan diluaskan untuk masyarakat kita," kata Encik Zaqy.
Dr Faishal dan Encik Zaqy sempat beramah mesra dengan para pelajar dan para guru tuisyen MTP. (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)
Dalam sesi lawatan ke Pusat Tuisyen MENDAKI di Sekolah Rendah Bedok Green itu, Dr Faishal dan Encik Zaqy sempat beramah mesra dengan para pelajar dan para guru tuisyen MTP.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita