Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kolek lumba bukti kearifan seni bina kapal, ilmu pelayaran orang Melayu

Ilmu pelayaran dan seni bina kapal ternyata sudah didalami orang Melayu sejak zaman dahulu lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ilmu pelayaran dan seni bina kapal ternyata sudah didalami orang Melayu sejak zaman dahulu lagi.

Pengamatan Encik Mazlan Nasir, 58 tahun itu berdasarkan rakaman sejarah mengenai koleksi kolek yang pernah digunakan dalam aktiviti perdagangan dan kegiatan maritim pada zaman lampau.

Dari tahun-tahun 1800-an sehingga 1980-an juga perahu kolek digunakan dalam perlumbaan-perlumbaan di perairan Singapura.

“Kalau kita pelajari, seni bina kapal sudah ada sebenarnya. Dari segi bahan, reka bentuk, keutuhan dan sebagainya. Cuma sekarang kita pakai AutoCAD juga bagi kemahiran seni bina kapal – reka bentuk semua sudah ditentukan,” katanya.

Malah, menurut penggiat sukan lumba kolek ini, selain seni bina, para pelumba juga harus mahir dalam ilmu pelayaran.

Suasana sekitar perlumbaan kolek di perairan pulau Selatan Singapura suatu ketika. (Gambar ihsan Fawzi Nasir)

“Kita harus cari angin. Pergerakan kolek dari mana. Kita pelajari tentang arah angin mengikut musim. Dan juga tentang arus. Kita harus tahu ke mana tujuan kita. Ini semua ada mainkan peranan,” tambah beliau.

PUJANGGA DIGERUNI

Dari tahun-tahun 1960-an hingga 1974, Encik Mazlan dan adiknya Fawzi Nasir, 50 tahun, membesar di Pulau Sekijang Pelepah atau Pulau Lazarus dan buat sementara waktu di Pulau Sekijang Bendera atau Pulau St John’s sewaktu bapa mereka mengajar di sana.

Pulau Sekijang Bendera sekarang lebih dikenali sebagai Pulau St John's.

Sepanjang hidup di pulau Selatan Singapura itu, sukan lumba kolek sebati dengan keluarga adik-beradik itu bahkan, mereka memiliki kolek sendiri.

Baru-baru ini, salah satu daripada kolek milik mereka yang dibina pada tahun 1997 dan digunakan untuk berlumba di kepulauan Riau, dipindahkan ke sebuah teluk di Pulau St John’s.

Ia disumbangkan sebagai peninggalan sejarah sukan lumba kolek, kepada kumpulan masyarakat, Friends of Marine Park yang ditubuhkan Lembaga Taman Negara (NParks).

Encik Fawzi Nasir sedang memeriksa kolek Pujangga. 

#BERITAjelajah ikut sama Encik Mazlan dan Encik Fawzi ke Pulau St John’s
untuk menyambut kepulangan kolek dari Riau itu.

Dinamakan ‘Pujangga’, hasil ilham daripada lagu popular Ismail Haron, kolek yang sudah berusia lebih 40 tahun itu menggantikan kolek ‘Si Awang Pandai’ milik arwah datuk mereka yang digunakan dari tahun 1952 hingga 1974.

“Tukangnya itu bagus. Dalam satu tahun, lapan kali Pujangga tampil juara. Kata orang, ia diggeruni. Orang dengar nama saja, orang semua kenal,” cerita Encik Mazlan, mengimbau zaman gemilang berlumba kolek di kepulauan Riau selepas sukan tersebut tidak lagi dipertandingkan di Singapura.

Encik Mazlan masih ingat lagi suasana ketika perlumbaan kolek dianjurkan setiap tahun pada 17 Ogos. (Gambar ihsan: Fawzi Nasir)

HIDUPKAN WARISAN SENI BINA, PELAYARAN

Kehadiran kolek Pujangga di Pulau St John’s bukan untuk pameran semata-mata.

Encik Mazlan dan Encik Fawzi juga merancang untuk mengadakan kursus membina kolek sepanjang dua bulan mulai Januari tahun depan.

Sasaran mereka adalah individu yang berminat dan mampu meluangkan masa dari mula lagi untuk betul-betul mendalami setiap langkah dan fasa di sebalik pembinaan kolek.

Ini agar para peserta dapat menghargai kearifan dan tahap keintelektualan orang Melayu lama dalam menghasilkan pengangkutan serba moden yang jauh menjangkaui teknologi pada waktu itu, menurut Encik Fawzi.

'Pujangga' dibina pada 1997 dan digunakan untuk berlumba di kepulauan Riau. 

Kolek lumba bukti tahap keintelektualan orang Melayu zaman dahulu. 

Usaha mereka juga dilihat sebagai menyampaikan khazanah ilmu yang sayangnya kurang dirakamkan. Dengan itu, beliau berharap ia akan terus dilestarikan terutamanya oleh generasi muda.

Jelas Encik Fawzi: “Kelemahan orang Melayu, kita tidak mendokumentasi apa yang kita buat dari segi maritim, dan sebagainya. Dari sini, apa yang kita ada, apa yang ada dalam kuasa kita untuk membuat balik, menghidupkan balik warisan ini, kita dokumenkan. Jangan kita tinggalkan macam gitu. Kalau tidak, takda Melayu di dunia ini lagi.”

Dedikasi pasangan adik-beradik Encik Mazlan dan Encik Fawzi tentang kolek Pujangga dan rancangan mereka melestarikan seni bina objek warisan Melayu itu juga disorot dalam #BERITAjelajah di Facebook dan Instagram @BERITAmediacorp.

Sekitar Pulau Sekijang Bendera yang tidak lagi didiami penduduk selepas 1980-an. 

Ikuti laporan lain #BERITAjelajah: 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan