Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kolej Pengajian Islam SG akan dibuka pada 2028 di Bencoolen, kohort pertama 60 penuntut

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dijangka menerima kohort pertamanya bermula 2028.

Kolej itu akan ditempatkan di Kampus MUIS di 51 Bencoolen Street iaitu dalam bangunan yang sama dengan Masjid Bencoolen.

Perincian itu didedahkan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam satu wawancara pada Isnin (11 Nov).

Beliau juga merupakan ketua Jawatankuasa Panduan projek tersebut.

Menurutnya, seramai 60 mahasiswa dijangka membentuk kumpulan pertama penuntut SCIS apabila dibuka kelak.

Ia diharap akan menarik lulusan madrasah tempatan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Menurut MUIS, secara purata 120 graduan madrasah tempatan melanjutkan pengajian Islam di luar negara setiap tahun.

"Kolej Islam ini bertujuan untuk menjadi institusi yang dapat menarik pelajar-pelajar daripada madrasah tempatan kami untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti. Antara sebabnya untuk melahirkan generasi akan datang maka kurikulum yang akan ditawarkan di kolej ini adalah kurikulum yang mempunyai kesinambungan dengan kurikulum di peringkat madrasah, sebagai graduan madrasah dan langsung dapat masuk ke Kolej Islam untuk meneruskan pengajian Islam mereka.

"Oleh yang demikian, terdapat beberapa kriteria kemasukan yang tertentu yang perlu dipenuhi oleh setiap pelajar yang turut serta dalam kolej ini. Ini bermakna bagi sesiapa pun yang berminat, mereka perlu memenuhi kriteria tersebut," kata Dr Nazirudin.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan pengambilan pelajar dari luar negara yang memenuhi syarat ketat kemasukan yang ditetapkan.

Menurut Dr Nazirudin, modul-modul sedia ada di bawah Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) juga akan disertakan dalam program ijazah sarjana muda SCIS kelak.

Namun, graduan yang kembali daripada pengajian di luar negara masih perlu menjalani program pensijilan PCICS selama setahun sebagai salah satu syarat untuk melayakkan diri dalam skim pengiktirafan asatizah.

Dengan cabaran semasa dan globalisasi, kolej itu juga berperanan penting dalam melahirkan pemimpin agama yang bersedia menangani isu-isu kompleks.

(Gambar: Rosli Razak/BERITA Mediacorp)
“Kolej Islam ini adalah kesinambungan daripada pengasasan madrasah-madrasah dahulu yang menjadi pusat pendidikan agama bukan sahaja untuk Singapura tetapi juga untuk rantau ini,” katanya. Kini, kita perlu memikirkan bagaimana kita dapat membawa sumbangan masyarakat Islam kita ke peringkat yang lebih tinggi dalam landskap pendidikan agama yang lebih mencabar di masa hadapan,” kata Dr Nazirudin.

3 ASPEK UTAMA PENGAJIAN SCIS

Beliau turut menekankan bahawa bakal penuntut SCIS akan dilatih dalam tiga aspek utama bagi menjadi pemimpin agama yang relevan dalam dunia yang bergantung kepada teknologi.

"Program pengajian Islam di kolej ini bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan tiga aspek penting. Pertama, mereka akan dilatih untuk menyesuaikan ilmu yang dipelajari dengan situasi semasa, agar lebih bersedia, yakin dan matang dalam menghadapi cabaran masa depan," katanya.

Aspek kedua pula katanya, penuntut akan diberi kemahiran baru terutamanya dalam penggunaan teknologi.

"Dari segi etikanya dan bagaimana teknologi ini digunakan untuk mempergiatkan dakwah mereka di Singapura. Pada masa yang sama, mereka juga akan membimbing masyarakat tentang cara yang betul untuk menggunakan teknologi tersebut. Ramai pelajar kami sangat terlibat dengan kecerdasan buatan, akses kepada kecerdasan buatan generasi baru dan media sosial. Mereka tahu bahawa adalah penting untuk warga negara masa depan dan pemimpin agama benar-benar peka dan sangat mahir dalam menggunakan teknologi-teknologi ini untuk tujuan membantu komuniti," jelas Dr Nazirudin.

Selain itu, pelajar juga akan didedahkan kepada kemahiran dalam bidang sains kemasyarakatan seperti psikologi, kaunseling, dan kerja sosial.

Ketiga-tiga aspek itu kata Dr Nazirudin akan menjadikan mereka lebih bersedia untuk menceburi bidang-bidang berkaitan seperti yang disarankan dalam laporan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) pada 2020.

KERJASAMA ANTARABANGSA UNTUK PERKUKUH KURIKULUM PENGAJIAN ISLAM

Bagi kurikulumnya pula, ia akan difikirkan dan dirancang dengan kerjasama institusi pendidikan ternama dari luar negara untuk memastikan pelajar menerima pendidikan yang relevan dengan cabaran semasa.

Kerjasama ini bertujuan untuk memastikan pelajar mendapat pengalaman pendidikan yang kaya dan relevan dengan cabaran semasa.

Menurut Dr Nazirudin, kerjasama dengan Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan dan Al-Qarawiyyin di Maghribi dipilih berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang-bidang utama.

"Salah satu aspek penting dalam program yang kami tawarkan adalah pengajian Fiqh dan fatwa. Dar al-Ifta mempunyai pengalaman yang amat baik dalam bidang ini. Mereka bukan sahaja mengajar aspek teori tetapi juga memberikan pendedahan langsung tentang bagaimana fatwa dikeluarkan dengan tepat dan relevan dengan isu-isu semasa.

“Universiti Jordan mengajar beberapa modul dan juga dalam program mereka itu kajian-kajian yang berkaitan dengan isu isu kontemporari dan ialah sesuatu yang sangat baik untuk kami terapkan dalam Kolej Islam dan atas dasar itu, kerjasama dengan mereka akan membawa manfaat kepada kurikulum dan juga pengalaman pelajar,” jelas Dr Nazirudin.

Bagi kerjasama dengan universiti terkemuka di Maghribi pula, beliau tertarik dengan bagaimana ia mampu menyepadukan aspek sains kemasyarakatan dalam pengajian Islam.

"Kami dapati di Universiti Qarawiyyin di Maghribi, mereka dapat menggabungkan dengan begitu baik dalam kurikulum mereka dan ini sesuatu yang boleh kita pelajari dari mereka dan juga mendapat kepakaran-kepakaran daripada mereka yang dapat memperkayakan lagi program yang ditawarkan di kolej nanti,” tambahnya.

Selain kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan terulung luar negara, Dr Nazirudin juga berharap SCIS mendapat sokongan kukuh masyarakat Islam di Singapura di samping dukungan pihak pemerintah.

"Usaha untuk menubuhkan Kolej Islam adalah satu usaha yang amat besar sekali. Jika matlamat kita adalah untuk mewujudkan sebuah kolej yang bertaraf antarabangsa, yang dapat menghasilkan graduan yang berkualiti tinggi di Singapura, maka sokongan daripada semua pihak adalah sangat penting," kata Dr Nazirudin.

“Masyarakat perlu menyokong dan memberi galakan kepada golongan pelajar agama yang berminat menyertai kolej ini kerana ia bukan sekadar melahirkan asatizah tetapi juga memperkukuhkan kehidupan keagamaan kita dalam dunia yang penuh cabaran dan ketidaktentuan ini,” tambahnya.

Ini kerana menurutnya, SCIS bermatlamat untuk melahirkan golongan asatizah yang lebih berkualiti dan berkeyakinan untuk menghadapi cabaran dunia moden.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan