Skip to main content

Singapura

Kolej Pengajian Islam boleh jadikan SG sebagai hab pengajian Islam sedunia: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan meletakkan negara ini sebagai hab pengajian Islam sedunia.

Dalam satu catatan Facebook hari ini (10 Nov), Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli menyifatkan penubuhan SCIS itu sebagai satu projek signifikan bagi masyarakat Melayu/Islam.

"Penubuhan SCIS – satu projek 'monumental' yang bukan sahaja akan meningkatkan peluang pendidikan bagi pelajar madrasah setempat kita, namun juga akan meletakkan Singapura sebagai hab pengajian Islam sedunia. SCIS adalah aspirasi kita untuk melahirkan para pemimpin agama masa hadapan kita dengan ilmu dan konteks setempat bagi memimpin dan membimbing umat Islam mengharungi cabaran kontemporari," kata Encik Masagos.

Catatan tersebut dimuatnaikkan beliau berikutan pendedahan beberapa perincian tentang SCIS oleh Perdana Menteri Lawrence Wong di acara Forum M³ pagi tadi (10 Nov).
 
Encik Masagos turut menganggap penubuhan SCIS sekarang bertepatan dengan masanya.

"Saya percaya ini adalah masa yang sesuai untuk kita memberi tumpuan kepada membangun graduan kita sendiri dengan kemahiran praktikal untuk meneruskan kerjaya dalam sektor agama dan sekular," kata Encik Masagos.

BANGGA DENGAN PENCAPAIAN M³ SEPANJANG 5 TAHUN

Mengenai pencapaian rangkaian M³ sejak ditubuhkan pada 2018, Encik Masagos bangga dengan kemajuan yang dapat dicatatkannya setakat ini.

"Saya amat berbangga dengan sejauh mana kita telah melangkah dan saya menyeru masyarakat kita untuk bersama-sama menyokong inisiatif-inisiatif penting ini, yang akan membentuk masa depan bersama kita untuk generasi akan datang," kongsi Encik Masagos.

Rangkaian itu telah mewujudkan sinergi yang lebih kukuh antara tiga institusi utama masyarakat Melayu/Islam iaitu Yayasan MENDAKI, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan MESRA.

Ia juga telah berjaya menghimpunkan lebih 1,400 sukarelawan di 11 M³@Bandar.

Program-program unggul rangkaian itu seperti Project Dian, Bersamamu, KelasMateMatika@CC (KMM@CC), dan FITRAH kata Encik Masagos telah memperkayakan kehidupan penduduk Melayu/Islam daripada semua lapisan masyarakat.

Bagi aspirasi masyarakat dalam menjunjung adat dan budaya, Encik Masagos berharap ini dapat dicapai menerusi lagi dua projek masyarakat yang diumumkan PM Wong di acara yang sama.

"Di samping Jalur Budaya Geylang Serai yang telah diperbaharui termasuk Kompleks Tanjong Katong yang baharu dan pembukaan semula Pusat Warisan Melayu di Kampong Gelam, projek-projek ini menjanjikan cara baharu untuk menghidupkan budaya, sejarah dan aspirasi kita," kata Encik Masagos.

Di bawah usaha menyegarkan semula kawasan Kampong Gelam, Masjid Sultan yang baru sahaja meraikan ulang tahun ke-200, akan menjalani kerja naik taraf tahun depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita