Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kolej NUS nama baru gabungan Kolej Yale-NUS dengan Program Sarjana Universiti

Anggaran Waktu Membaca:
Kolej NUS nama baru gabungan Kolej Yale-NUS dengan Program Sarjana Universiti

Kolej Yale-NUS. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 04 Jan 2022 04:44PM Dikemas Kini : 04 Jan 2022 04:45PM

SINGAPURA: Kolej baru gabungan Kolej Yale-NUS dan Program Sarjana Universiti akan dinamakan Kolej NUS, menurut Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Selasa (4 Jan).

"Nama Kolej NUS dipilih selepas berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemimpin industri dan majikan, anggota lembaga pengarah, kaunselor, ibu bapa, kakitangan fakulti, pelajar dan alumni," kata NUS.

Kolej baru itu akan menerima kumpulan pertama 400 mahasiswa bagi tahun akademik 2022/2023.

NUS juga mengumumkan pelantikan Professor Simon Chesterman sebagai dekan kolej itu.

"Beliau akan terus berkhidmat sebagai dekan Fakulti Undang-undang sementara pihak universiti mencari penggantinya," tambah NUS.

Prof Chesterman akan mula menyandang jawatan dekan Kolej NUS mulai 1 Jul, selain Naib Provost (Inovasi Pendidikan) di NUS.

Prof Chesterman menjadi anggota fakulti di NUS sejak 2007 dan berkhidmat sebagai dekan sejak 2012.

" Beliau memainkan peranan penting dalam mengubah pendidikan undang-undang di Singapura. Ini termasuk menambah kandungan undang-undang Asia dan sivil, serta meningkatkan peluang pembelajaran melalui Pusat Pro Bono dan Pendidikan Klinikal Undang-undang," tambah NUS.

Prof Chesterman juga sudah mengetuai pelaksanaan inisiatif perintis untuk meluaskan kepelbagaian pembelajaran bagi pelajar Undang-undang di NUS.

Presiden NUS Profesor Tan Eng Chye berkata Prof Chesterman telah "banyak menyumbang kepada landskap pengajian tinggi di Singapura dan antarabangsa".

"Saya yakin di bawah kepimpinan Simon, Kolej NUS baru kami akan mempunyai permulaan yang kukuh," kata Prof Tan.

Prof Chesterman berkata beliau berasa "rendah hati dan amat berbesar hati" untuk berkhidmat sebagai dekan pertama Kolej NUS yang baru.

NAMA BARU

Penubuhan kolej baru itu pertama kali diumumkan Ogos lalu selepas NUS menyatakan Yale-NUS akan bergabung dengan Program Sarjana Universiti menjadi sebuah kolej mulai 2022.

Menyusuli pengumuman itu Universiti Yale menyatakan Kolej Yale-NUS akan "berhenti wujud" pada 2025.

Nama baru itu menurut NUS memberi "gambaran jelas program berbilang disiplin yang ditawarkan universiti itu dan akses kepada pelbagai laluan akademik serta sumber dan kepakaran NUS."

Menurutnya lagi rundingan mengenai nama baru kolej itu dilakukan melalui "hampir" 20 sesi kumpulan fokus dan "temu bual mendalam" pada Oktober tahun lepas, dengan dipimpin agensi penyelidikan bebas.

"Mereka yang mengambil bahagian dalam sesi dan temu bual ini termasuk pelajar, anggota fakulti, kakitangan dan alumni dari USP dan Yale-NUS, bakal pelajar tempatan dan antarabangsa, ibu bapa, rakan industri dan majikan, serta kaunselor dari maktab rendah dan politeknik di Singapura," katanya.

"Rundingan lanjut diadakan dengan pihak kepimpinan USP dan Yale-NUS, serta perbincangan dengan pelajar USP dan Yale-NUS, serta Lembaga Pemegang Amanah NUS."
 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan