Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kohort pertama Tunas Bersama M³ kerjasama terajui 7 projek masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kohort pertama program Tunas Bersama M³ menerima sijil tamat kursus mereka pada Rabu (24 April).

Seramai 13 peserta program itu menerima sijil mereka daripada tetamu terhormat, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dalam satu majlis di Hotel Voco.

Mereka merupakan kumpulan perintis yang sudah meraih pelbagai manfaat daripada program tersebut dan juga bekerjasama untuk menerajui tujuh projek kemasyarakatan.

Demikian didedahkan oleh Encik Masagos menerusi catatan Facebook beliau pada Jumaat (26 Apr).

Program Tunas Bersama M³ itu dijalankan selama 18 bulan dari Mei 2022 hingga Oktober 2023, dan bertujuan memupuk generasi pemimpin yang seterusnya.

Selain ilmu pengetahuan, para peserta juga dilengkapi dengan kemahiran dan rangkaian untuk memimpin masyarakat dan pertubuhan masing-masing dengan lebih cekap lagi.
Sesi latihan dikendalikan bersama oleh Franklin Covey (FC) Singapura dan The Common Purpose (CP) Asia Pasifik.

Encik Masagos menerusi perkongsian di Facebooknya itu menyampaikan ucap tahniah beliau kepada kesemua peserta program tersebut.

"Tahniah saya ucapkan kepada 13 pemimpin masyarakat kita yang telah menamatkan program Tunas Bersama M³! Mereka merupakan kumpulan perintis yang telah meraih manfaat daripada pelbagai sesi pementoran dan perkongsian serta perjalanan pembelajaran atau “learning journeys”, sepanjang tempoh 18 bulan program tersebut. Mereka juga telah bekerjasama untuk menerajui tujuh projek kemasyarakatan."

Setiausaha Kehormat bagi Dewan Perniagaan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) Encik Fazli Mansor muncul sebagai valedictorian Tunas Bersama M³.

Menurut Encik Masagos, Encik Fazli berkongsi bahawa beliau menghargai pendekatan program yang berkonsepkan kepimpinan.

"Ia telah mendorong beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat serta menghargai rangkaian yang kukuh dengan para pemimpin lain. Pengalaman yang diraih dapat memupuk generasi pemimpin yang baharu dengan ciri-ciri keberanian, perpaduan dan kerjasama untuk membimbing masyarakat dan negara kita," kongsi Encik Masagos.

Encik Masagos berkata beliau gembira melihat para peserta Tunas Bersama M³ menjalin persahabatan dan rangkaian yang kuat sambil berganding bahu untuk memperkasa dan menyumbang kepada masyarakat.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pula, dalam satu catatan di Facebook, berkata beliau sangat bangga dengan inisiatif MENDAKI itu yang bertujuan membantu mengembangkan bakat kepimpinan dalam kalangan pertubuhan Melayu/Islam (MMO).

"Ramai daripada mereka telah bangkit untuk memimpin pertubuhan mereka sebagai pemimpin generasi akan datang. Yang lain juga telah menjadi Anggota Lembaga Pengarah dalam majlis dan lembaga-lembaga berkanun, dengan Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, yang terbaharu menjadi Anggota Parlimen Dilantik.

"Saya juga gembira dengan bagaimana Tunas telah mengumpulkan para pemimpin ini yang telah mengembangkan ikatan yang lebih kukuh, untuk merapatkan MMO bersama-sama dan bekerjasama untuk membawa nilai yang lebih besar kepada masyarakat," kata Encik Zaqy, yang juga Naib Pengerusi MENDAKI.

Encik Zaqy berkongsi bahawa Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Pakar Perunding Psikiatri Dr Syed Harun sudah memulakan Perbualan LBKM (LBKM Conversations), menerusi program Tunas, untuk melibatkan pelajar pengajian tinggi dan karyawan muda tentang isu semasa dan masa depan yang memberi kesan kepada masyarakat.

Projek lain termasuk Projek MParent olehSetiausaha Lembaga Pengurusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Ustaz Fathurrahman Dawoed, Naib Presiden Perdaus Ustaz Mohammad Taufiq Mohamed Ismail, Ahli Bersekutu Jawatankuasa Fatwa MUIS Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid dan Naib Pengerusi AMP Hazni Aris Hazam Aris.

Ia menawarkan Program Keibubapaan Positif (PPP) yang menerapkan elemen budaya dan agama untuk membina keyakinan ibu bapa Melayu/Islam dengan anak kecil berumur empat hingga enam tahun.

Encik Zaqy menyifatkan semangat yang ditunjukkan para peserta untuk terus belajar, meningkatkan kemahiran dan memperbaharui dedikasi mereka untuk membawa perubahan dalam masyarakat sebagai sesuatu yang menggalakkan.
 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan