Kohort pertama 47 peserta tamat program AMPxJEN untuk karyawan kejuruteraan
Kohort pertama seramai 47 peserta program kelolaan AMP dan Rangkaian Jurutera Jazari (JEN) menerima sijil tamat kursus mereka pada Sabtu lalu (29 Jun).
SINGAPURA: Kohort pertama seramai 47 peserta program kelolaan AMP dan Rangkaian Jurutera Jazari (JEN) menerima sijil tamat kursus mereka pada Sabtu lalu (29 Jun).
JEN merupakan satu perikatan yang dianggotai 250 karyawan Muslim, yang disokong AMP Singapura.
Program selama enam bulan itu antara lain menyediakan bimbingan kerjaya buat pekerja, pelajar dan graduan baharu dalam industri kejuruteraan.
Mereka antara lain mendapat bimbingan dalam topik-topik seperti penjenamaan peribadi, pembangunan kerjaya dan selok belok menjalankan perniagaan dalam industri kejuruteraan.

Program itu menghimpunkan 32 karyawan dalam bidang kejuruteraan untuk berkongsi pengetahuan, memberikan bimbingan dan peluang rangkaian yang tidak ternilai.
Bengkel-bengkel diadakan secara fizikal dan juga online.
Antara peserta program itu ialah Encik Fuad Hasan Damanhuri, 26 tahun, yang baharu mendapat pekerjaan sepenuh masa sebagai Penilai Kemampanan.
"Sebagai jurutera yang baharu tamat sekolah dan baharu mula bekerja, program ini menolong saya menambah keyakinan dalam kerja saya. Dengan berinteraksi dengan mentor saya, beliau boleh menjawab soalan-soalan saya dan saya mendapat inspirasi daripada mereka."
"Antara tip yang beliau berikan termasuk tentang bagaimana untuk hadir semasa di sesi-sesi temu duga, serta cara untuk mengemaskini 'resume' kerja. Bagi saya program saya bukan hanya untuk individu tetapi untuk seluruh masyarakat jurutera Muslim di Singapura. Ia memberi wadah untuk kita berkongsi pengetahuan dan bertukar pandangan,' kata Encik Fuad.
Encik NurAsrul Effendi Asngari, 39 tahun pula berkongsi pengalaman sebagai salah seorang daripada 32 mentor program AMPxJEN.
"Manfaat yang saya dapat adalah berkongsi pengalaman dan arah tujuan dalam bidang kemampanan. Kedua, bukan sahaja memberi manfaat kepada menti tetapi saya juga sebagai mentor di mana kita dapat mengukuhkan rangkaian bersama mentor-mentor lain dan memperluaskan peluang bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain," kata Encik NurAsrul Effendi.
Seorang lagi mentor, Encik Ridzwan Jasni pula berkata: “Saya memutuskan untuk menyertai program ini kerana saya ingin menyumbang kembali dan memberi peluang yang lebih baik kepada jurutera muda untuk mengemudi kehidupan kerja. Saya berkongsi maklumat berharga dengan mahasiswa yang ingin memutuskan jenis industri dan jenis peranan (untuk diterokai) untuk jurutera.”
AMPxJEN AKAN DIPERLUASKAN BERMULA TAHUN DEPAN
Sudah ada rancangan untuk meluaskan dan memperhalusi lagi program AMPxJEN untuk kohort seterusnya.
"JEN ada rancangan untuk menjalankan program ini setiap tahun. JEN juga ingin menubuhkan akademi yang dinamakan Akademi JEN di mana kita membangunkan kemahiran menti dalam bidang kejuruteraan."
"Dalam program itu, para menti boleh pilih mentor untuk mengajar membangunkan kemahiran mereka. Kalau mereka tidak bagus dalam satu aspek, mereka boleh memperbaiki aspek itu," kata jurucakap JEN, Encik Muhammad Nur Akashah Anwar.
JEN juga berharap untuk menarik lebih ramai karyawan serta jurutera-jurutera yang baharu, lepasan-lepasan universiti dan politeknik dalam program seterusnya pada tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.