Skip to main content

Singapura

Koh Poh Koon tegaskan tidak 'melarikan diri' di acara terakhir sebagai menteri negara kanan

Anggaran Waktu Membaca:
Koh Poh Koon tegaskan tidak 'melarikan diri' di acara terakhir sebagai menteri negara kanan

Anggota Parlimen GRC Tampines Koh Poh Koon berucap di Parlimen pada 14 Oktober 2025.

Diterbitkan : 24 May 2026 07:58AM
  • Dr Koh Poh Koon mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Negara Kanan Kesihatan dan Tenaga Manusia Singapura berkuat kuasa 1 Jun atas sebab keluarga.
  • Beliau menegaskan tidak melarikan diri dan akan terus berkhidmat sebagai Anggota Parlimen GRC Tampines serta menghadiri pelbagai acara komuniti.
  • Di majlis Anugerah Pengamal TCM Cemerlang Nasional, Dr Koh mengumumkan pelaksanaan pentauliahan untuk pengamal dan perkhidmatan TCM hujung tahun ini.
  • Beliau turut melancarkan inisiatif kerjasama antara pengamal TCM dan doktor keluarga SG Lebih Sihat untuk meningkatkan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Koh Poh Koon pada Sabtu (23 Mei) berkata beliau tidak “melarikan diri”, menyusuli keputusannya melepaskan jawatan politik.

Berucap di Anugerah Pengamal Perubatan Tradisional Cina (TCM) Cemerlang Nasional 2026 yang diadakan buat julung-julung kalinya, Dr Koh mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan orang ramai atas dorongan serta sokongan mereka menyusuli pengumumannya untuk meletak jawatan pada Jumaat.

Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat mengumumkan bahawa Dr Koh, yang merupakan Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Tenaga Manusia, akan melepaskan jawatannya mulai 1 Jun atas “sebab keluarga”.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas dorongan, sokongan dan kerjasama anda, khususnya mereka yang bekerja bersama saya selama ini,” kata Dr Koh pada Sabtu.

“Terima kasih banyak-banyak dari lubuk hati saya.”

Dr Koh, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, berkata para penduduk di kawasannya akan sentiasa menjadi keutamaan dan beliau akan terus melakukan yang “terbaik” untuk mereka.

Namun, beliau turut mendedahkan bahawa keperluan keluarganya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Malangnya bagi keluarga saya, saya satu-satunya yang mereka ada,” kata Dr Koh.

“Saya tidak boleh menyerahkan tanggungjawab keluarga saya kepada orang lain. Jadi, sudah tiba masanya saya menilai semula keadaan dan menetapkan semula keutamaan. Tetapi saya memberitahu sebahagian daripada anda bahawa saya tidak melarikan diri, saya masih akan berada di sini, bukan?”

Beliau menambah bahawa beliau masih akan menghadiri “pelbagai acara" sebagai seorang AP.

“Saya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menghantar mesej dan emel kepada saya, serta atas sokongan anda,” kata Dr Koh.

PENTAULIAHAN BAGI PENGAMAL TCM

Di majlis anugerah itu, Dr Koh turut mengumumkan pelaksanaan rangka kerja pentauliahan bagi pengamal dan perkhidmatan TCM pada hujung tahun ini.

“Sedang kerjaya TCM terus berkembang dari segi jumlah dan mutu, kita boleh meningkatkan sektor ini dengan mengiktiraf pengamal yang mempunyai tahap kecekapan profesional lebih tinggi, serta penyedia perkhidmatan yang menawarkan penjagaan lebih bermutu,” katanya.

“Kami akan melibatkan masyarakat TCM pada Julai untuk memberikan lebih banyak butiran mengenai rangka kerja ini,” tambah beliau.

Dr Koh turut menggalakkan semua pengamal dan penyedia perkhidmatan TCM supaya merebut peluang pentauliahan tersebut.

“Penyertaan anda amat penting dalam meningkatkan kedudukan TCM dalam landskap jagaan kesihatan Singapura dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi TCM menyumbang kepada sistem jagaan kesihatan negara,” tambah beliau.

Dr Koh juga berkata permohonan cadangan bagi Inisiatif Pendaftaran Bersama SG Lebih Sihat-TCM akan dibuka minggu depan bagi “pesakit yang mendapatkan rawatan perubatan Barat dan TCM”.

Untuk menyertainya, pengamal TCM dan doktor keluarga (GP) SG Lebih Sihat perlu membentuk kerjasama serta mengemukakan saranan bersama mengenai bagaimana mereka akan menguruskan kesihatan penduduk secara menyeluruh.

Dr Koh berkata usaha itu bertujuan membangunkan model penjagaan inovatif yang dapat menjangkaui penduduk yang cenderung kepada TCM dan meningkatkan hasil kesihatan mereka secara keseluruhan.

“Memandangkan ini bidang baharu, kami akan memulakannya secara kecil-kecilan sebagai bukti konsep dan menetapkan syarat ketat bagi memastikan penjagaan yang selamat dan bermutu,” katanya.

“Klinik dan pengamal TCM yang mengambil bahagian mesti menerima pentauliahan, manakala klinik SG Lebih Sihat pula perlu sudah menyertai program itu sekurang-kurangnya setahun.”

Beliau menambah bahawa pemerintah membayangkan penyedia TCM dapat menyumbang kepada penjagaan pencegahan, misalnya menerusi nasihat pemakanan dan gaya hidup berasaskan TCM, serta merujuk pesakit kepada GP SG Lebih Sihat bagi vaksinasi dan saringan yang dibiayai sepenuhnya.

“Kami berharap saranan yang dikemukakan dapat memanfaatkan kekuatan kedua-dua TCM dan perubatan Barat dalam membantu rakyat Singapura meningkatkan tahap kesihatan mereka.”
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita