Koh Poh Koon kembali ke bidang jagaan kesihatan sebagai pakar bedah
Dalam catatan di media sosial, Dr Koh mengucapkan terima kasih kepada mantan rakan-rakan sekerjanya di Kementerian Kesihatan selepas jamuan makan tengah hari sempena perpisahannya pada Selasa (2 Jun). (Gambar: Facebook/Koh Poh Koon)
Dalam satu catatan di media sosial pada Selasa (2 Jun), Dr Koh mengucapkan terima kasih kepada mantan rakan-rakan sekerjanya di Kementerian Kesihatan (MOH), termasuk Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Tan Kiat How dan Menteri Negara bagi Kesihatan Rahayu Mahzam, selepas jamuan makan tengah hari sempena perpisahannya.
"Selepas saya meninggalkan MOH dan kembali berkhidmat sebagai pakar bedah, saya berharap kita akan bertemu lagi dalam usaha menyokong keperluan penjagaan kesihatan rakyat Singapura," katanya pada Selasa.
Apabila peletakan jawatannya diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 22 Mei, Dr Koh, yang merupakan pakar bedah usus besar, berkata bahawa keluarganya memerlukan perhatiannya dalam keadaan yang "tidak sepadan" dengan tuntutan jawatan politik, sambil menambah bahawa sudah tiba masanya untuk "menyokong isterinya dengan lebih baik" dan "melakukan apa yang betul" demi keluarganya.
Beliau berkata di media sosial ketika itu bahawa beliau "menjadi suami, bapa dan anak yang sering tiada di rumah" sejak menceburi bidang politik pada tahun 2015.
Dr Koh pertama kali bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Punggol East 2013, tetapi tewas kepada calon Parti Pekerja, Lee Li Lian.
Semasa Pilihan Raya Umum pada tahun 2015, beliau menang sebagai sebahagian daripada pasukan PAP di GRC Ang Mo Kio dan menjadi Anggota Parlimen.
Pada tahun 2020, beliau menyertai pasukan GRC Tampines dan bertanding di kawasan undi yang sama dalam pilihan raya 2025.
Dr Koh akan kekal sebagai Anggota Parlimen bagi GRC Tampines. Peletakan jawatannya secara rasmi berkuat kuasa pada Isnin (1 Jun).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.