Skip to main content

Singapura

Kod tata amalan dirancang bagi tangani kandungan berbahaya di penyedia aplikasi; mungkin sertakan klasifikasi bagi permainan online: Josephine Teo

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Feb 2023 07:39PM Dikemas Kini : 28 Feb 2023 08:59PM
SINGAPURA: Menteri Perhubungan dan Penerangan (MCI) Josephine Teo berkata di Parlimen pada Selasa (28 Feb) bahawa kementeriannya sedang menyiapkan satu kod tata amalan bagi penyedia aplikasi atau App Stores.

Ia bertujuan melindungi pengguna terutama sekali kanak-kanak daripada kandungan aplikasi yang berbahaya.

Beliau mengumumkannya semasa Parlimen membahaskan peruntukan belanjawan bagi MCI pada Selasa.

Cik Teo berkata kod amalan itu berlandaskan undang-undang keselamatan online yang diluluskan tahun lalu bagi menangani risiko utama di laman media sosial seperti kandungan bersifat seksual atau ganas.

Menurut Cik Teo, salah satu langkah yang dipertimbangkan adalah memperkenalkan skim klasifikasi bagi permainan online sama seperti yang dikenakan bagi permainan video.

Cik Teo berkata: "Ini akan menjelaskan kesesuaian usia bagi aplikasi permainan, dan membantu ibu bapa memantau lebih baik tabiat permainan online anak mereka."

Tambahnya lagi "kod tata amalan bagi penyedia aplikasi" adalah satu langkah ke depan dalam usaha memperkukuhkan keselamatan online, kerana penyedia-penyedia aplikasi itu mungkin mempunyai aplikasi dengan kandungan berbahaya, terutama sekali untuk kanak-kanak.

Ini mungkin termasuk kandungan yang menggambarkan kegiatan seksual atau menghasut keganasan, katanya.

Kod tersebut akan mengambil masa untuk dibangunkan, tetapi Cik Teo berkata ia akan membendung "risiko pendedahan terhadap kandungan berbahaya menerusi permainan" di penyedia aplikasi terutama sekali apabila ia diperkenalkan nanti.

Meskipun permainan mungkin boleh diakses dengan kaedah yang lain selain daripada penyedia aplikasi, pihak berkuasa sedang mengkaji bagaimana untuk menanganinya, jelas Cik Teo.

Cik Teo menarik perhatian bahawa Pemerintah akan berusaha untuk membendung kandungan berbahaya bagi kanak-kanak dalam 12 sehingga 18 bulan akan datang.

Dalam satu langkah berkaitan, MCI juga telah memulakan tinjauan mengenai permainan video online, melibatkan ibu bapa dan kanak-kanak, dengan tujuan untuk memahami sama ada lebih banyak boleh dilakukan untuk mengurangkan ketagihan siber.

Tinjauan perlu kata Cik Teo kerana tiada kata sepakat di peringkat antarabangsa mengenai bentuk masalah atau keberkesanan langkah yang diambil sejauh ini.

Tinjauan itu juga akan menilai pendedahan kanak-kanak kepada interaksi dan kandungan tidak sesuai di wadah online serta kesan sosial dan psikologi daripada permainan online.
Sumber : Today/MU/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita