Kod QR boleh diguna bagi pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan Woodlands & Tuas mulai 19 Mac
Mulai 19 Mac, mereka yang melakukan perjalanan menaiki kereta keluar masuk Singapura melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas boleh melepasi imigresen menggunakan kod QR.
SINGAPURA: Mulai 19 Mac, mereka yang melakukan perjalanan menaiki kereta keluar masuk Singapura melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas boleh melepasi imigresen menggunakan kod QR.
Sebaik sahaja ciri-ciri itu dilancarkan, mereka tidak lagi perlu menunjukkan pasport kepada pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di kaunter kereta, demikian menurut ICA pada Selasa (12 Mac).
Sebaliknya, para pelawat hanya perlu mengimbas kod QR - di mana mereka perlu mendapatkannya daripada aplikasi mudah alih MyICA sebelum tiba di pusat pemeriksaan. Kod QR itu akan dikongsi oleh semua penumpang dalam kereta tersebut.
Walaupun para pelawat boleh melakukan "pelepasan sendiri" dari dalam kereta masing-masing tanpa perlu bantuan pegawai ICA sebaik sahaja sistem itu dilaksanakan sepenuhnya, proses pelepasan dalam kereta yang bermula bulan ini belum automatik sepenuhnya kerana para pegawai tetap ditempatkan di kaunter-kaunter manual, menurut ICA di seminar rangka kerja tahunannya pada Mei lalu.
Justeru, para pelawat boleh pilih untuk menyerahkan pasport kepada pegawai ICA di kaunter-kaunter tersebut dan tidak menggunakan kod QR.
BAGAIMANA IA BEROPERASI
MENGISI BUTIRAN PASPORT
Penduduk Singapura - termasuk rakyat Singapura, penduduk tetap Singapura dan pemegang pas jangka panjang - boleh mengisi sendiri butiran pasport menggunakan Singpass apabila mereka mengakses aplikasi MyICA.
Selain itu, para pelawat boleh menggunakan fungsi kamera dalam aplikasi tersebut untuk mengimbas bahagian muka surat pasport yang mengandungi biodata mereka.
Para pelawat asing yang pernah mengunjungi Singapura sebelum ini boleh mengisi butiran pasport menggunakan fungsi kamera pada aplikasi untuk mengimbas bahagian muka surat pasport yang mengandungi biodata mereka.
Namun, pelawat kali pertama dan mereka yang memasuki Singapura menggunakan pasport berbeza daripada kali terakhir mereka ke negara ini, perlu menyerahkan pasport secara fizikal.
Para pelawat berkenaan hanya boleh menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen dalam lawatan seterusnya.
Selepas mengisi butiran pasport ke dalam aplikasi MyICA, para pelawat boleh mendapatkan kod QR secara perseorangan atau berkumpulan.
Mereka yang berada dalam satu kereta boleh menghasilkan satu kod QR berkumpulan bagi pelepasan imigresen.
Sebagai contoh, sebuah keluarga seramai empat anggota boleh menyimpan butiran pasport mereka dalam aplikasi MyICA salah seorang anggota dan menghasilkan satu kod QR untuk satu keluarga.
Para pelawat juga boleh menghasilkan beberapa kod QR untuk perjalanan bersama kumpulan individu yang berbeza. Setiap kod QR berkumpulan boleh disimpan dalam aplikasi itu di bawah nama seperti "Keluarga" atau "Teman-Teman".
Setiap kod QR berkumpulan boleh menyimpan sehingga 10 butiran pasport.
Setiap kod QR persendirian akan ada tarikh luput sama dengan pasportnya, manakala tarikh luput bagi kod QR berkumpulan itu ditambat kepada tarikh luput pasport paling awal dalam kalangan ahli kumpulan tersebut.
MELEPASI IMIGRESEN
Selepas kod QR itu dihasilkan dan disimpan dalam aplikasi MyICA, para pelawat boleh mengimbas kod QR mereka sendiri di kaunter.
Para pelawat tetap boleh menghasilkan kod QR sendiri walaupun mereka melakukan perjalanan secara berkumpulan.
Ini bermakna kenderaan itu perlu mengimbas lebih daripada satu kod QR.
Selepas kod itu diimbas, pegawai ICA akan melakukan pemeriksaan "secara empat mata" dengan para pelawat menggunakan data yang diperolehi daripada kod QR tersebut. Mereka yang menaiki kenderaan sama yang menggunakan kod QR berkumpulan perlu pastikan ia mengandungi butiran pasport mereka.
Jika kod QR itu tidak sama dengan butiran tertentu, ia akan ditolak.
Inisiatif kod QR itu membolehkan sehingga empat pelawat dalam satu kereta menjimatkan masa sekitar 20 saat, manakala sebuah kereta dengan 10 penumpang boleh menjimatkan masa sekitar seminit, kata ICA pada Selasa.
Masa menunggu secara keseluruhan boleh dikurangkan selama "lebih 30 peratus" jika kebanyakan pemandu menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen.
Laluan khas bagi pelepasan imigresen secara automatik dalam kereta menggunakan kod QR akan dibuka di Pusat Pemeriksaan Tuas mulai 2026, dan di Pusat Pemeriksaan Woodlands baharu mulai 2028, menurut ICA pada Mei lalu.
Ia juga merancang untuk melanjutkan pelepasan kod QR secara bertahap-tahap ke zon pelepasan lain di pusat-pusat pemeriksaan darat. Butiran lanjut akan diumumkan kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.