Skip to main content

Singapura

Kod bangunan disemak semula; permudah akses, tingkatkan sokongan bagi ibu menyusu dan golongan kurang upaya

Kod bangunan yang disemak semula akan memudahkan akses dan meningkatkan sokongan bagi golongan kurang upaya, warga emas dan ibu yang menyusu, umum Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada Isnin (7 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Apr 2025 06:26PM Dikemas Kini : 07 Apr 2025 09:57PM
SINGAPURA: Kod bangunan yang disemak semula akan memudahkan akses dan meningkatkan sokongan bagi golongan kurang upaya, warga emas dan ibu yang menyusu, umum Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada Isnin (7 Apr).

Keperluan yang dipertingkat bagi Kod Aksesibiliti dalam Persekitaran Binaan akan diterapkan bagi semua bangunan baharu yang menjalani kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian bermula 1 November, menurut BCA dalam satu kenyataan media.

Kod tersebut, yang pertama kali diperkenalkan pada 1990 dan dikemas kini pada 2007, menyediakan piawaian asas dalam memastikan bangunan-bangunan dapat diakses oleh golongan kurang upaya serta para pengguna lain.

Sekitar lima tahun sekali, Kod tersebut akan menjalani beberapa semakan untuk memenuhi keperluan penduduk yang kian berubah dengan lebih baik.

Semakan tahun ini, yang keenam sejak Kod itu diperkenalkan, bertujuan untuk menangani jurang sekarang ini dan bagi menjangkakan keperluan masa depan golongan kurang upaya, bilangan penduduk yang semakin menua, serta keluarga dengan anak-anak kecil.

Kod tersebut memperkenalkan penambahbaikan bagi kumpulan pengguna berikut:

PENGGUNA KERUSI RODA

i) Meningkatkan keterhubungan tanpa halangan
 
  • Semua pintu masuk utama bangunan yang dihubungkan ke bangunan berdekatan, kemudahan pengangkutan awam, penghubung taman, dan laluan berbumbung harus mudah diakses pengguna berkerusi roda
  • Keutamaan untuk membina tempat teduh bagi laluan yang boleh diakses pengguna berkerusi roda

ii) Peruntukan yang dipertingkat bagi lif di bangunan yang boleh diakses
 
  • Ruang lif lebih besar untuk dimanfaatkan para pengguna yang menggunakan alat bantuan mobiliti peribadi
  • Keperluan yang dipertingkat bagi butang kawalan dan permukaan cermin di lif

WARGA EMAS
 
  • Lebih banyak kubikel tandas dengan palang pemegang
  • Kawasan rehat wajib di tempat turunkan penumpang
  • Reka bentuk tanjakan lebih selamat dengan jalur warna bakal menggantikan penunjuk sentuh bagi mengurangkan risiko tersandung

KELUARGA DENGAN ANAK-ANAK KECIL
 
  • Lebih banyak bilik menyusu di bangunan awam yang besar dan di tempat kerja
  • Keperluan untuk menyediakan bilik menyusu bagi institusi pendidikan
  • Spesifikasi bilik menyusu yang diseragamkan, dengan keperluan saiz minimum dan kelengkapan asas seperti soket elektrik bagi pam susu badan

GOLONGAN KURANG DAYA PENGLIHATAN
 
  • Penunjuk permukaan tanah yang diseragamkan di bahagian tangga bagi membantu navigasi

GOLONGAN DENGAN MASALAH PENDENGARAN
 
  • Papan tanda yang dipertingkat untuk sistem peningkatan pendengaran yang beroperasi menerusi 'telecoil' - wayar kecil yang dibina ke dalam alat bantuan pendengaran yang bertindak sebagai penerima.

Papan tanda sedemikian mesti memaparkan "T" dengan simbol akses bagi memaklumkan golongan yang sukar mendengar untuk mengaktifkan fungsi 'telecoil' mereka.

Dalam satu catatan Facebook pada Isnin, Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah menggambarkan semakan semula itu sebagai "langkah penting ke arah membentuk Singapura yang lebih inklusif".

"Piawaian yang dikemas kini akan meningkatkan persekitaran binaan kita, dan menjadikan ruang seharian lebih mesra dan mudah diakses semua," kata beliau.

"Lebih daripada sekadar meningkatkan infrastruktur, ia juga membolehkan setiap individu untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat, bergerak dengan selamat dan bebas."

Semakan semula tahun ini adalah hasil daripada jawatankuasa semakan yang dibentuk pada September 2023 - terdiri daripada wakil-wakil dari agensi perkhidmatan sosial, pihak berkepentingan industri, institusi akademik, agensi pemerintah dan kumpulan berkepentingan - untuk menyemak semula versi terdahulu Kod tersebut.

"Proses tersebut termasuk merujuk kepada piawaian antarabangsa, menganalisis trend reka bentuk semasa, dan menjalankan ujian pengguna secara terperinci," kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

"Ia menggabungkan konsep reka bentuk universal, dan menangani keperluan golongan kurang upaya, warga emas, dan keluarga dengan anak-anak kecil," jelasnya menerusi satu catatan di Facebook.

Pengarah Eksekutif Persatuan Distrofi Otot (Singapura) Judy Wee, yang telah berkhidmat dalam beberapa jawatankuasa semakan Kod, melahirkan rasa optimis terhadap perubahan tersebut.

"Melalui setiap semakan Kod, kami telah melihat peningkatan nyata dalam persekitaran binaan yang mempertingkat kehidupan seharian golongan kurang upaya, sama ada di tempat kerja atau pada masa lapang," kata Cik Wee.

KOD DISUSUN SEMULA BAGI PIHAK BERKEPENTINGAN INDUSTRI

Kod yang dikemas kini juga telah dipermudahkan dan disusun semula dengan cara yang lebih mesra pembaca bagi pihak berkepentingan industri persekitaran binaan.

Ia merangkumi maklumat antropometrik - ukuran badan manusia - pengguna kerusi roda dan golongan kurang upaya yang lain.

Ini menyediakan gambaran yang lebih jelas berkenaan keperluan fizikal dan ruang bagi golongan pengguna yang berbeza-beza, membolehkan arkitek dan pereka bentuk membuat keputusan yang lebih termaklum, kata BCA.

"Melalui pelbagai penglibatan, kami telah dapat memahami dengan lebih baik dan menyumbang ilham untuk meningkatkan peruntukan dalam Kod tersebut," kata anggota Persatuan Pemaju-Pemaju Hartanah Singapura (REDAS) Jeffrey Wong.

"Dalam menangani kekangan yang dihadapi pemilik bangunan dan pemaju, kami gembira bahawa Kod yang dipertingkat mempunyai tumpuan baharu untuk memenuhi keperluan pengguna dari semua peringkat umur dan keupayaan".

Kod baharu yang berkuat kuasa mulai 1 November itu akan memberi industri masa yang mencukupi untuk "membiasakan dan menyesuaikan diri mereka dengan perubahan", kata Encik Lee.

Pemilik bangunan sedia ada yang berminat untuk menaik taraf bangunan mereka secara sukarela dengan kemudahan yang boleh diakses boleh membuat pertimbangan untuk menggunakan dana aksesibiliti BCA.

Ia menyediakan pembiayaan secara bersama bagi pelbagai ciri mesra pengguna seperti pemasangan bilik atau pod penyusuan dan lif yang boleh diakses pengguna kerusi roda, menurut BCA.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita