Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Klinik tempatan saksikan lonjakan jumlah pesakit dek gelombang baru COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Klinik-klinik di Singapura menyaksikan lonjakan pada jumlah pesakit yang positif COVID-19 sedang kes koronavirus di negara ini kembali meningkat.

Dr John Cheng, Ketua Jagaan Asas Healthway Medical Group mengatakan bahawa terdapat peningkatan secara beransur-ansur kira-kira 10 peratus pada jumlah pesakit dengan jangkitan pernafasan akut di klinik-kliniknya dalam tempoh dua minggu yang lalu.

Beliau menambah: "Berbeza dengan gelombang sebelum ini di mana terdapat lonjakan mendadak yang menyukarkan klinik-klinik di sini untuk menanganinya.

Sungguhpun demikian, mungkin terlalu awal untuk mengulas kerana kemuncak jangkitan diramal berlaku pada Julai atau Ogos."

Pada bulan lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengatakan bahawa Singapura boleh menjangkakan gelombang baru Omicron pada Julai atau Ogos yang mungkin disebabkan oleh penularan jujukan varian BA.4 dan BA.5.
Klinik-klinik Fullerton Health dan klinik-klinik kerabat yang dianggarkan lebih 800 kesemuanya menyaksikan peningkatan pada jumlah pesakit dengan penyakit pernafasan akut (ARI) dari Mei hingga Jun, dedah jurucakapnya.

Dr Lee Joon Loong dari Paddington Medical Clinic mengatakan pada minggu lalu bahawa secara purata beliau merawat lebih ramai pesakit COVID-19 berbanding gelombang Omicron yang memuncak pada Mac lalu.

Dr Zhang Hao Tian dari 1 Bishan Medical Clinic turut mendedahkan bahawa beliau menyaksikan peningkatan 20 hingga 30 peratus pada jumlah kes koronavirus namun peningkatan itu "masih agak terurus" berbanding gelombang lalu.

Pada Selasa (28 Jun) Singapura melaporkan 11,504 kes baru COVID-19 - jumlah jangkitan harian tertinggi dalam masa lebih tiga bulan. Lebih 9,000 kes jangkitan harian dilaporkan pada Rabu (29 Jun) dan Jumaat (30 Jun).
Ini jauh berbeza berbanding Mei dan awal Jun, dengan jumlah jangkitan antara 1,000 sehingga 6,000 kes sehari.

Pada kemuncak gelombang Omicron, jumlah kes harian mencecah 25,000.
Dr Lee menyarankan kepada para pesakit bergejala supaya bertemu dengan doktor untuk menilai keadaan mereka kerana beliau menyaksikan lebih ramai pesakit dengan "gejala lebih teruk" dan mengalami komplikasi akibat jangkitan koronavirus, dedah beliau selanjutnya.

Beliau juga sudah merawat para pesakit bergelaja yang diuji negatif berdasarkan hasil kit ujian pantas antigen (ART) di rumah namun kemudian disahkan positif apabila diuji di klinik.

Menurut Dr Cheng pula, mereka yang diuji positif namun tidak bergejala atau hanya mengalami gejala ringan boleh menjalani pemulihan di rumah, menurut garis panduan Kementerian Kesihatan (MOH).

LEBIH BANYAK JANGKITAN SEMULA?

Sekalipun kajian dan data dari luar negara melaporkan lebih banyak jangkitan yang disebabkan oleh jujukan BA.4 dan BA.5, klinik-klinik di Singapura belum lagi menyaksikan trend yang jelas tentang perkara ini berlaku di Singapura.
Profesor Paul Tambyah, timbalan pengarah Program Kajian Translasi Penyakit Berjangkit di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS berkata kadar jangkitan semula dengan jujukan varian BA.4 dan BA.5 masih rendah.

Menurut Profesor Madya Natasha Howard dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di NUS, para penduduk yang lengkap divaksin dan sudah mendapatkan suntikan dos penggalak ataupun mereka yang baru-baru ini dijangkiti COVID-19 masih boleh terjangkit sekali lagi.

SUNTIKAN DOS PENGGALAK

Dr Zhang, yang kliniknya di Bishan menawarkan vaksinasi, juga menyaksikan lebih ramai orang bertanya tentang dos penggalak dan suntikannya.

Bagi mereka yang khuatir tentang jangkitan semula, mereka masih harus mendapatkan suntikan dos penggalak 90 hari selepas mereka pulih, menurut jurucakap Fullerton Health.

Profesor Madya Howard berkata bahawa sebahagian besar warga emas seharusnya mendapatkan vaksin mRNA sebagai dos penggalak, kecuali mereka tidak layak dari segi perubatan, dan bagi kes-kes sedemikian mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin Nuvaxovid keluaran Novavax.

Profesor Madya Howard menjangkakan, jujukan BA.4 dan BA.5 mungkin akan "menjangkaui" jujukan BA.2 tidak lama lagi, yang buat masa ini adalah jujukan varian Omicron yang dominan di Singapura.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan