Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Klinik S'pura jangka kes demam selesema melonjak susuli SMM dilonggarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Aug 2022 06:56PM Dikemas Kini : 28 Aug 2022 08:32PM
SINGAPURA: Kes demam selesema semakin meningkat di Singapura sedang lebih ramai orang menyambung kegiatan harian dan pergi ke luar negara.

Sepanjang minggu lalu, lebih 2,300 pesakit mendapatkan rawatan di poliklinik bagi penyakit bahagian atas saluran pernafasan termasuk selesema.

Klinik-klinik swasta menjangkakan jumlah itu akan bertambah apabila peraturan pakai pelitup dan sekatan sempadan dilonggarkan lagi mulai 29 Ogos.
Dalam tempoh dua minggu lalu, Phoenix Medical menyatakan empat kliniknya, masing-masing, dikunjungi purata dua pesakit demam selesema, berbanding sifar sebelumnya.

Unihealth Group pula menyaksikan kenaikan antara lima hingga 10 peratus pesakit demam selesema, terutamanya dalam kalangan mereka yang pernah ke luar negeri baru-baru ini.

Rangkaian tiga klinik itu juga menjangkakan jumlah kes demam selesema akan terus meningkat disebabkan musim selesema bakal menjelang.

Ia menyeru orang ramai agar mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegahnya.

OneCare Medical pula berkata perangkaan kes jangkitan pernafasan akut yang bukan COVID-19 tidak lama lagi akan melebihi kes jangkitan berkaitan COVID-19.

Rangkaian itu yang mempunyai sekitar 30 klinik di Singapura berkata semasa musim kemuncak pandemik COVID-19 sekitar 80 peratus daripada para pesakitnya yang mempunyai penyakit saluran pernafasan juga dijangkiti COVID-19.

Walaupun jumlah itu sudah turun sekitar separuh, orang ramai terus digesa supaya terus berhati-hati agar tidak dijangkiti selesema kerana penyakit itu boleh menyebabkan komplikasi lain seperti radang paru-paru.

"Mengenai jangkitan pernafasan akut, langkah pengurusannya hampir serupa. Saya masih akan mengatakan bahawa anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang mencukupi. Jadi langkah-langkah kebersihan biasa, anda masih perlu mengamalkannya," kata pengarah OneCare Medical, Dr Jimmy Chew.

"Jika anda sakit, anda harus duduk di rumah atau sekurang-kurangnya pakai pelitup apabila berinteraksi dengan orang lain," tambah beliau.

Orang ramai diingatkan untuk terus mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti kerap mencuci tangan dan membasmi kuman.
Sumber : CNA/IA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan