Klinik SG ambil pelbagai langkah tangani lonjakan kes COVID-19 termasuk tambah tenaga kerja, bekalan perubatan
Beberapa klinik tempatan mengerahkan sumber tambahan seperti tenaga kerja dan bekalan ubat-ubatan bagi menangani jumlah pesakit yang mendadak naik.
Ini ekoran lonjakan kes jangkitan COVID-19 dan masalah pernafasan akut lain.
Dengan gelombang COVID-19 yang baharu, rangkaian klinik UniHealth menyaksikan jumlah pesakit COVID-19 naik seganda berbanding bulan lalu.
Sekitar 20 kes dicatat setiap hari di ketiga-tiga cawangan kliniknya.
Walaupun keadaan masih terkawal, syarikat itu meningkatkan stok ubat-ubatan.
"Dari segi inventori, kami sentiasa menyimpan stok ubat yang mencukupi bagi gejala-gejala seperti batuk, selesema, demam atau sakit tekak, serta kaedah penjagaan seperti kit ujian COVID-19 dan kit ujian influenza yang juga menyaksikan lonjakan permintaan.
"Mentelah lagi, selalunya menjelang cuti sekolah atau semasa cuti sekolah, kami lihat kenaikan besar bagi vaksin flu sebelum melakukan perjalanan. Jadi permintaan bagi vaksinasi juga turut meningkat," kata Dr Xie Huizhang, Pengarah Perubatan UniHealth Clinic.
Tambah beliau, gelombang terkini dijangka berterusan selama lagi dua hingga empat minggu.
Ini memandangkan semasa musim cuti sekolah, ramai yang akan melancong ke luar negara.
Bagi syarikat telekesihatan WhiteCoat pula, jumlah pesakit naik 10 peratus berbanding bulan April.
Dengan pasukan doktor yang besar, ia bersedia untuk mengerahkan lebih ramai kakitangan untuk memenuhi keperluan sedia ada.
"Berdasarkan data kami tentang angka-angka lalu, keupayaan mengesan lonjakan dengan pantas dan meramal tibanya gelombang baru, kami sudah jangkakan lebih ramai pesakit.
"Kami dapat menjadualkan dan menetapkan senarai doktor lebih awal dan menambah lebih ramai tenaga kerja terlebih dahulu bagi menghadapi barisan pesakit.
"Jadi kami tidak lihat barisan yang panjang kerana lebih ramai doktor sudah dikerahkan sejak awal," kata Dr Tan Ming Wei, Pengarah Perubatan Kanan WhiteCoat.
Dr Tan menggalakkan orang ramai untuk terus melindungi diri dan orang-orang di sekeliling dengan mengambil langkah-langkah asas.
Ini seperti mencuci tangan dengan kerap, dan memakai pelitup muka atau tetap di rumah jika sakit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.