Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Klinik-klinik Perubatan Tradisional Cina saksikan peningkatan dalam jumlah pesakit Melayu yang dapatkan rawatan TCM

Lebih ramai pesakit Melayu kini mendapatkan rawatan Perubatan Tradisional Cina (TCM).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih ramai pesakit Melayu kini mendapatkan rawatan Perubatan Tradisional Cina (TCM).

Beberapa klinik TCM yang dikunjungi mendapati jumlah pesakit Melayu mereka kian meningkat - ada sehingga tiga kali ganda dalam masa setahun.

CUBA TCM SEBAGAI RAWATAN SAMPINGAN

Cik Kamariah, 58 tahun mula mendapatkan rawatan di klinik TCM Oriental Remedies Group (ORG) sejak 2017.

Beliau yang mengalami kesakitan pada tulang belakangnya sejak usia muda lagi rasa terdorong mahu mencuba rawatan TCM selepas mendengar tentangnya dari anggota keluarga lain.

"Doktor nak syorkan penghabisan suruh buat pembedahan tapi dia kata '50-50' saya tak nak. Jadi saya cuba alternatif yang lain. Saya nampak ahli keluarga dan kawan-kawan cuba tapi mereka selalu menggunakan yang akupuntur. Saya cuba yang berkesan adalah 'Electro-Lymphatic Therapy'," tambah Cik Kamariah.


Setiap sesi konsultasi dan rawatan di ORG berharga di antara S$80 hingga $100.

Bagi Cik Kamariah, seorang suri rumah sepenuh masa, beliau pergi mendapatkan rawatan sekali setiap tiga bulan ataupun jika perlu sahaja.

"(Penyakit saya) tidak boleh pulih sepenuhnya. Sekurang-kurangnya saya tak rasa sakit itu sudah bagus. Jadi saya boleh juga bergerak dan buat kerja harian saya dengan lebih selesa," ujar Cik Kamariah yang gemar memasak.


SEKITARAN SELESA; UBAT-UBATAN HALAL TARIKAN UNTUK PESAKIT MELAYU

Di samping rawatan tradisional seperti akupunktur dan bekam, klinik ORG turut menawarkan terapi menggunakan teknologi moden, yang tidak menyakitkan.

Selain mempunyai kakitangan yang cekap berbahasa Melayu dan Inggeris, sekitaran klinik yang selesa dan teknologi canggih yang digunakan menjadi antara sebab Cik Kamariah terus tertarik untuk meneruskan rawatan TCM.

"Kita selalu sangka yang TCM ini diuruskan orang-orang tua, doktor yang tua-tua yang tak boleh fasih Bahasa Inggeris. Kebanyakan ubatnya halal jadi saya tak ada tak rasa ragu-ragu atau was-was," tambah Cik Kamariah, yang turut mengambil ubat-ubatan dari ORG sebagai rawatan sampingan.


Sejak dua tahun yang lalu, ORG juga melihat peningkatan dalam jumlah pesakit Melayu yang mendapatkan rawatan TCM di tiga cawangan - Jurong East, East Coast dan Thomson.

Menurut Konsultan Kanan, Cik Christine Wang: "Lebih kurang 20 peratus pesakit di klinik kami adalah orang Melayu. Banyak juga pesakit Melayu mereka melawat kami untuk menguruskan penyakit seperti masalah metabolik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, eczema dan juga masalah kesuburan."

Meskipun TCM sudah bertapak di Singapura sejak berpuluh tahun lamanya, Cik Wang menjelaskan masih terdapat beberapa tanggapan yang salah tentang rawatan itu dalam kalangan masyarakat tempatan.


"Ramai orang fikirkan TCM adalah untuk orang Cina tua tapi sebenarnya ia sesuai untuk semua orang dari muda hingga tua juga. Kerana ia menguruskan daripada punca asas secara semula jadi," jelas Cik Wang.

Cik Wang menambah, setiap pesakit yang datang akan diperiksa dahulu oleh seorang pakar perubatan sebelum sebarang rawatan dijalankan.

JUMLAH PESAKIT MELAYU NAIK TIGA KALI GANDA

MA KUANG
(Gambar: Ma Kuang Healthcare Group Pte Ltd)

Rangkaian klinik TCM terbesar di Singapura, Ma Kuang Healthcare Group Pte Ltd pula memberitahu BERITAmediacorp bahawa sekitar 40 peratus pesakitnya bukan berbangsa Cina.

Rawatan seperti urut dan akupunktur misalnya amat popular dalam kalangan golongan itu untuk masalah-masalah seperti sakit-sakit sendi atau kecederaan sukan.

Ini memandangkan ubat-ubatan yang disediakan kebanyakannya tidak halal, rawatan-rawatan seperti itu lebih 'mesra' untuk pesakitnya yang beragama Islam kerana tidak perlu makan ubat berbanding rawatan lain.


Bagi rangkaian Sin Kang TCM Clinic yang sudah beroperasi lebih 20 tahun pula, mereka turut menyaksikan peningkatan dalam jumlah pesakit Melayunya.

Tahun lalu sahaja, jumlah itu meningkat tiga kali ganda berbanding 2020.

Pelanggan Melayunya membentuk sekitar 10 peratus jumlah pelanggan secara keseluruhan.

"Dalam setiap 10 orang, ada seorang yang berbangsa Melayu. Baru-baru ini, terdapat trend di mana mereka datang untuk kecantikan seperti akupunktur di wajah, pelangsingan badan. Mereka ke sini dan mereka mahu membuangkan angin di dalam badan mereka. Salah satu cara adalah tentunya dengan akupunktur," kata pakar perubatan, Encik Freddie Sun.


SEDIAKAN RAWATAN AKUPUNKTUR YANG 'TIDAK MENYAKITKAN'

Rawatan akupunktur yang sudah diamalkan sejak 3,000 tahun lalu itu dipercayai boleh merawat pelbagai jenis penyakit dengan mencucuk jarum pada sehingga lebih 360 titik di tubuh badan pesakit.

Lebih menarik lagi, klinik itu mempraktikkan jenis akupunktur yang tidak menyakitkan untuk rawatan di wajah, pelansingan badan, sakit-sakit sendi dan penumbuhan rambut.


Encik Sun yang mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam bidang rawatan TCM berkongsi, ramai pesakit angin ahmar turut menggunakan akupunktur sebagai kaedah rawatan sampingan.

Malah, beliau berkongsi ada sesetengah doktor 'barat' sendiri yang mendapatkan rawatan TCM.


"Mereka (doktor) ke sini untuk masalah tekanan dan mereka mahukan akupunktur kerana mereka telah terlibat dalam eksperimen akupunktur dan melihat hasilnya sangat signifikan," tambah Encik Sun.

Sin Kang TCM yang mempunyai tiga cawangan setakat ini di Tanjong Pagar, Buona Vista dan Paya Lebar merawat pesakit berusia semuda dua bulan sehinggalah yang berumur hampir 100 tahun.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan