Skip to main content

Singapura

Klinik guaman percuma dilancarkan di Pasir Ris

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jul 2026 10:55PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 03:48PM
  • AMP dan MLMN melancarkan klinik guaman percuma di Pasir Ris mulai September untuk membantu masyarakat Melayu/Islam dalam isu pekerjaan, perkahwinan dan harta pusaka.
  • Klinik ini dikendalikan oleh pengamal undang-undang secara sukarela dan beroperasi dua minggu sekali melalui temu janji, sama ada bersemuka atau online.
  • Program Mentor AMP x MLMN turut diperluaskan, menawarkan bimbingan kerjaya kepada bakal peguam dengan peningkatan jumlah mentor dan menti serta dua laluan bimbingan.
  • Peserta seperti Siti Mariah Ahmad mendapat manfaat daripada bimbingan profesional, peluang rangkaian dan pendedahan kerjaya dalam bidang guaman.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mulai September ini, penduduk Pasir Ris boleh mendapatkan khidmat nasihat guaman secara percuma di pejabat Angkatan Karyawan Islam (AMP) yang berhampiran.

Inisiatif kendalian Rangkaian Bimbingan Perundangan Muslim (MLMN) itu bertujuan membantu masyarakat, khususnya dalam isu perundangan berkaitan pekerjaan, selaras dengan usaha AMP untuk memperkukuh kesejahteraan ekonomi masyarakat Melayu/Islam.

Klinik guaman itu menurut Pengasas MLMN, Mohammad Rizuan Yasin, juga akan menyediakan perkhidmatan berkenaan kerjaya.

Ia, menurut beliau, selaras dengan usaha AMP dalam memperkukuh kesejahteraan ekonomi masyarakat Melayu/Islam.
Related article image
Pengasas MLMN, Encik Muhammad Rizuan Yasin. (Gambar: AMP)
"Klinik ini unik kerana kami pilih fokus pada isu pekerjaan, sebab pekerjaan sangat penting untuk kestabilan seseorang dan keluarganya. Kalau orang faham hak mereka di tempat kerja mereka lebih yakin untuk buat keputusan dan elakkan masalah yang lebih besar," kongsi Pengasas MLMN, Mohammad Rizuan Yasin.

Pengumuman tentang projek perintis itu dibuat semasa majlis pelancaran edisi kedua program Mentor AMP x MLMN yang diadakan pada Sabtu (25 Jul).
Related article image
(Gambar: AMP)
KLINIK PERUNDANGAN UNTUK PARA PENDUDUK

Menurut Encik Rizuan, klinik itu juga akan turut menawarkan khidmat nasihat mengenai perkahwinan dan perancangan harta pusaka Islam.

Klinik tersebut akan dikendalikan oleh pengamal undang-undang secara sukarela.

Ia akan beroperasi sekali dalam setiap dua minggu melalui sesi temu janji yang dijalankan sama ada secara bersemuka atau secara online.

Projek perintis itu juga akan membolehkan MLMN untuk menilai permintaan masyarakat serta keperluan operasi sebelum meneliti proses seterusnya.

Selain daripada sesi-sesi konsultasi, MLMN juga merancang untuk menjalankan sesi-sesi perbincangan bersama para penduduk berkenaan topik-topik seperti pekerjaan, undang-undang serta isu-isu lain yang biasa dialami oleh para individu dan keluarga.
Related article image
(Gambar: AMP)
PROGRAM MENTOR AMP X MLMN DIPERLUAS

Program Mentor AMP x MLMN turut diperluaskan bagi membantu bakal peguam membina kerjaya menerusi bimbingan daripada pengamal undang-undang berpengalaman.

Para peserta edisi kedua program akan didedahkan kepada pelbagai laluan kerjaya dalam sektor guaman, menerima bimbingan profesional serta berpeluang membina rangkaian dalam industri.

Program enam bulan itu diperluaskan dengan peningkatan daripada 12 mentor dan 18 menti kepada kira-kira 20 mentor dan 30 menti.

"Tujuan kami adalah untuk memberi lebih ramai bakal peguam dan peguam muda akses kepada mentor, rangkaian dan peluang. Kita memberikan mereka nasihat bagaimana mereka boleh berjaya dan mendapatkan kejayaan dalam kerjaya mereka sebagai seorang peguam," tambah Encik Rizuan.

Tahun ini, program tersebut juga kini menawarkan dua laluan bimbingan, berstruktur dan fleksibel.

Ia juga ditawarkan kepada pelajar pascasiswazah undang-undang, individu yang tukar kerjaya serta bakal peguam daripada laluan bukan tradisional.
 
Related article image
(Gambar: AMP)
BIMBINGAN MENTOR BUKA LALUAN KERJAYA GUAMAN

Bagi peserta Siti Mariah Ahmad, program tersebut bukan sahaja membantunya membina rangkaian profesional, malah meningkatkan keyakinannya memulakan kerjaya dalam bidang guaman.

Cik Mariah, 22 tahun, menerima bimbingan dari segi pendidikan serta meraih pengalaman daripada perkongsian mentornya.

Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu kini bertugas sebagai pembantu guaman di Emerald Law LLC.

"Saya percaya bahawa daripada segi kerjaya pula, ada banyak peluang pekerjaan yang mahu diberikan daripada pembimbing kepada para anak didik, dan itu dapat membantu kita untuk memulakan kerjaya kita," kata Cik Mariah.

Beliau berharap dapat menjadi seorang peguam bertauliah pada masa hadapan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita