Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Klinik GP makin terbeban gara-gara sesetengah pesakit mahu 'diiktiraf secara rasmi' terjangkit COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Protokol 1 di bawah garis panduan COVID-19 Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan para pesakit yang berasa tidak sihat harus berjumpa doktor, manakala Protokol 2 pula menyatakan para individu berisiko rendah yang mengalami gejala ringan boleh menjalani pemulihan di rumah.

Buat ramai orang yang diuji positif COVID-19 melalui ujian kendiri sejak beberapa minggu yang lalu, tidak jelas sama ada mereka harus berjumpa doktor.

Bagi sesetengah orang pula, mereka bergegas berjumpa doktor kerana mereka ingin didaftarkan dalam sistem penjagaan kesihatan awam sebagai terjangkit COVID-19 demi mengelakkan suntikan dos penggalak, antara sebab lain.

Sesetengah Doktor Swasta (GP) memberitahu Mediacorp bahawa terdapat ramai pesakit yang sanggup beratur panjang di klinik-klinik GP, tanpa mengira simptom mereka, semata-mata kerana mahu diiktiraf secara rasmi sebagai positif COVID-19.

Ini kerana para pesakit yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 boleh menangguhkan suntikan dos penggalak, dikecualikan daripada dasar-dasar tertentu yang berkaitan dengan vaksinasi dan kawalan jangkitan atau kurang dikenakan sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan.

Pada 5 Februari, tiga kementerian dan
Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak(ECDA) mengeluarkan kenyataan bersama yang mendedahkan bahawa ramai individu yang tidak bergejala atau mengalami gejala ringan pergi ke klinik-klinik sedemikian semata-mata untuk mendapatkan surat doktor bagi membolehkan mereka kembali bertugas di tempat kerja atau sekolah.

Pemerintah dan agensi-agensi tersebut menyarankan kepada mereka yang menunjukkan hasil positif tetapi dengan gejala ringan semasa menggunakan kit ujian antigen supaya duduk di rumah sahaja.

BACA: Surat doktor tidak diperlukan untuk kembali bertugas di tempat kerja, sekolah selepas pulih dari COVID-19
 

LAMA MENUNGGU DI KLINIK

Sebilangan klinik GP dan poliklinik masih dibanjiri dengan pesakit bergejala ringan dan hanya memerlukan rawatan minimal.

RAMAI MAHU "DISENARAIKAN DALAM SISTEM"

Punca utama di sebalik masa menunggu yang lebih lama di klinik-klinik tersebut adalah kerana sesetengah individu yang sihat mahukan pengesahan rasmi yang menunjukkan bahawa mereka dijangkiti COVID-19.

Ada yang sanggup berbuat demikian bagi menangguhkan suntikan doa penggalak atau mahu dikecualikan daripada peraturan-peraturan tertentu, menurut sesetengah GP.

BACA: Apa yang perlu anda tahu tentang vaksin penggalak jika diuji positif COVID-19

Bermula 1 Januari, sesiapa yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 dan belum melengkapkan vaksinasi asas mereka juga dikecualikan daripada pemeriksaan vaksinasi untuk memasuki pelbagai tempat dan beberapa peraturan lain bagi tempoh selama 180 hari selepas dijangkiti virus tersebut.

Dari 23 Januari, para pelawat yang sudah lengkap divaksin dan terjangkit virus tersebut dalam tempoh kurang daripada 90 hari sebelum memasuki Singapura akan dikecualikan daripada ujian dan kuarantin jika mereka boleh menunjukkan bukti.

HURAIAN UNTUK MEMBANTU DOKTOR

Para doktor GP menyarankan beberapa usulan kepada pihak berkuasa untuk meringankan tugas mereka seperti melonggarkan tuntutan pentadbiran yang diperlukan untuk mendaftarkan seseorang sebagai kes COVID-19.

Ada juga yang mencadangkan sebuah sistem di mana orang ramai boleh menyerahkan hasil positif ujian kendiri dan mendapatkan khidmat kontraktor untuk menjalankan ujian pengesahan selepas itu.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan