Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Klinik di SG terima lebih banyak pertanyaan mengenai vaksin mRNA dari pelancong China

Anggaran Waktu Membaca:
Klinik di SG terima lebih banyak pertanyaan mengenai vaksin mRNA dari pelancong China

(Gambar fail: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Penyedia khidmat jagaan kesihatan di Singapura menerima lebih banyak pertanyaan berhubung vaksinasi COVID-19 daripada pelancong China selepas negara itu membuka semula sempadannya pada Ahad (8 Jan).  

Pelancong China sedang mencari vaksin mRNA yang tidak ditawarkan di negara mereka seperti yang dihasilkan Pfizer-BioNTech dan Moderna, yang digunakan  di merata dunia, tetapi tidak diluluskan Beijing, dengan pemerintah China menggalakkan penggunaan vaksin Sinopharm dan Sinovac yang dihasilkan di negara tersebut. 

Parkway Shenton, salah satu penyedia jagaan kesihatan, menerima 90 peratus lebih banyak pertanyaan daripada pelancong China mengenai suntikan vaksin mRNA, kata pengarah perubatannya, Dr Edwin Chng. 

Syarikat tersebut kerap menangani permintaan daripada pelancong China menerusi ejen-ejen pelancongan, menurut Dr Chng. 

"Kami sedang cuba untuk menyelaraskan permintaan tersebut dan juga berunding dengan pihak-pihak berkepentingan untuk memastikan kami mempunyai bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan itu," kata Dr Chng kepada Mediacorp. 

Sepanjang dua hingga tiga minggu lalu, Pusat Spesialis Starmed juga menerima sekitar tiga pertanyaan mengenai vaksin mRNA setiap hari, berbanding lima pertanyaan seminggu sebelum ini. 

"Beberapa pertanyaan yang kami terima khususnya mengenai vaksin mRNA,  berbeza daripada apa yang kami saksikan sebelum ini," kata Ketua Eksekutif StarMed, Dr Louis Tan. 

Tambah Dr Tan, walaupun pusat berkenaan tidak menawarkan vaksin mRNA buat masa ini, ia mungkin akan berbuat demikian pada masa akan datang. Ia kini  menawarkan vaksin Sinopharm. 

"Kami dalam proses untuk melihat bagaimana untuk menawarkan vaksin mRNA kepada pesakit yang mahu mendapatkannya," ujar Dr Tan. 

Kata Dr Tan lagi, ejen-ejen pelancongan dan pelawat memberitahunya bahawa ramai warga China pergi ke Hong Kong untuk mendapatkan suntikan vaksin mRNA, namun harus menunggu hingga tiga bulan disebabkan permintaan yang tinggi. 

"Justeru, Singapura menjadi destinasi popular bagi pelancong China dan mereka mula meneroka sama ada boleh mendapatkan vaksin menerusi klinik di Singapura," tambahnya. 

Dr Chng yakin bahawa terdapat bekalan vaksin yang mencukupi bagi penduduk di sini, meskipun lebih ramai pelancong China menerima suntikan vaksin mereka di sini. 

"Kami sedang memantau rapi permintaan bagi vaksin," kata Dr Chng. 

"Vaksin yang dibekalkan untuk Program Vaksinasi Privet (PVP) datang daripada stok yang berbeza. Oleh itu, warga Singapura dan penduduk di sini tidak haruslah bimbang bahawa bekalan mereka akan terjejas." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan