Skip to main content

Singapura

Klinik di Bishan, 6 orang disiasat selepas 190 liter sirap batuk codeine dirampas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Jul 2023 04:55PM Dikemas Kini : 01 Jul 2023 08:59PM
SINGAPURA: Sebuah klinik di Bishan dan enam lelaki sedang disiasat selepas 190 liter sirap batuk codeine yang mempunyai nilai anggaran S$150,000 dirampas dalam satu operasi berbilang agensi.

Pihak berkuasa menyatakan operasi yang berlangsung dari 14 Jun hingga 16 Jun itu adalah yang terbesar melibatkan sindiket codeine sejak 2019.

Para pegawai merampas lebih S$680,000 wang tunai, sejumlah pil pelbagai jenis, 34 e-rokok dan lapan kotak rokok yang tidak dibayar cukai.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu (1 Jul).

Sindiket tersebut didakwa membekal produk kesihatan tidak berdaftar seperti sirap batuk dan ubat.

Aktiviti-aktiviti haram mereka dipercayai dijalankan di beberapa lokasi merata Singapura, termasuk kawasan Lorong 34 Geylang dan di sebuah klinik berlesen di Bishan.

MOH sedang menyiasat klinik tersebut dan akan mengambil tindakan yang wajar jika ia didapati menyalahi undang-undang. Pengamal perubatan itu juga akan dirujuk kepada Majlis Perubatan Singapura (SMC) jika sebarang kesilapan profesional ditemui.

Siasatan awal menunjukkan bahawa bekalan codeine didakwa diperolehi daripada klinik di Bishan sebelum diproses di sebuah unit perumahan di Choa Chu Kang Avenue 3, sebelum dijual secara haram di Geylang.

Enam lelaki tersebut, berusia antara 37 dengan 61 tahun, sedang disiasat bagi sejumlah kesalahan, termasuk kesalahan di bawah Akta Produk Kesihatan. Empat daripada mereka juga disyaki anggota kumpulan yang menyalahi undang-undang.

Mereka yang didapati bersalah mengimport, menghasilkan atau membekalkan produk kesihatan tidak berdaftar boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita