Klasifikasi flat BTO baharu pastikan flat kekal dimampui, inklusif: Dr Faishal
Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim memberi jaminan bahawa perumahan awam di Singapura akan kekal dimampui oleh semua lapisan masyarakat, bersifat adil serta inklusif.
SINGAPURA: Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim memberi jaminan bahawa perumahan awam di Singapura akan kekal dimampui oleh semua lapisan masyarakat, bersifat adil serta inklusif.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada perubahan klasifikasi perumahan awam baharu yang diumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini.
Bermula separuh kedua 2024, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menggugurkan klasifikasi matang dan belum matang untuk projek Bina Ikut Tempahan (BTO).
Projek-projek BTO akan diklasifikasikan sebagai Standard, Plus atau Prime, dengan lebih banyak pilihan lokasi disediakan.
Lebih banyak subsidi diperuntukkan namun syarat-syarat penjualan semula yang lebih ketat dikenakan untuk memastikan flat-flat kekal dimampui.
"Dengan adanya rangka kerja klasifikasi yang baru ini yang mana kita menyediakan model-model seperti Standard, Plus dan juga Prime, di mana lebih banyak rumah kita akan menyediakan dalam model Standard. Ia boleh dibeli dan boleh dimampui lebih ramai masyarakat kita di Singapura ini.
"Dan kita tahu ramai di kalangan tanah-tanah ini mereka dekat dengan MRT dan mungkin ada yang dekat dengan kawasan bandar. Justeru, kita adakan model Plus dan Prime," kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Ehwal dalam Negeri kepada BERITA Mediacorp.
Flat baharu Plus akan ditawarkan di tempat-tempat yang dekat dengan pelbagai kemudahan seperti MRT dan pusat bandar dan menikmati subsidi yang lebih tinggi.
Flat Prime yang biasanya terletak dekat dengan kawasan bandar menikmati subsidi paling tinggi.
"Lebih daripada 80 peratus rakyat kita tinggal di perumahan awam. Justeru kita mahu membangunkan perumahan awam yang padat, keseimbangan daripada segi ia boleh terus dimampui oleh pelbagai lapisan masyarakat, ia adil, inklusif dan mempunyai campuran sosial yang kita mahukan," tambah Dr Faishal.
LANGKAH-LANGKAH ELAK PELABURAN SPEKULATIF
Lebih banyak subsidi diperuntukkan namun syarat-syarat penjualan semula yang lebih ketat dikenakan untuk memastikan flat-flat kekal dimampui.
Menteri Negara Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim menjelaskan bahawa langkah-langkah sedemikian perlu untuk mengurangkan bilangan pembeli yang mahu meraih keuntungan jangka pendek.
"Untuk merendahkan aspek pelaburan spekulatif ini kita adakan sekatan tambahan di mana mereka tidak boleh menjual flat mereka pada masa Tempoh Penginapan Minimum (MOP) yang lebih panjang 10 tahun. Dan selepas 10 tahun walaupun mereka menjual, mereka harus, kita akan mengambil balik subsidi yang disediakan.
"Kita harap sekatan ini boleh memberikan ruang memikirkan dengan lebih mendalam dengan bagaimana mereka mahu tak beli rumah ini seperti ini model Plus ini kerana pada pendapat kami perumahan awam ini adalah aspek di mana kita bukan sahaja mahu memberikan satu rumah bagi mereka untuk dimiliki tapi untuk membangunkan keluarga mereka," jelas Dr Faishal.
Menurut beliau, perubahan-perubahan tersebut telah dilakarkan hasil maklum balas dan saranan-saranan masyarakat menerusi sesi-sesi perbincangan Forward SG.
"Jadi dengan adanya maklum balas seperti ini kita juga memikirkan bagaimana kita terus membangunkan perumahan awam relevan dan juga mempunyai keadilan, inklusif dan juga memberikan ruang pada kita untuk membangunkan percampuran sosial dengan keseimbangan.
"Kita boleh jangkakan harga rumah itu akan menurun, kemampuan bagi lebih luas lapisan masyarakat dan ia memberikan satu ruang yang lebih baik dalam flat jualan semula di mana kita boleh jangkakan ia boleh menurun juga dan lebih padat dan seimbang dari segi percampuran sosial di estet-estet perumahan awam kita," ujar Dr Faishal.
PEMERINTAH FAHAM ASPIRASI GOLONGAN BUJANG
Klasifikasi perumahan baru itu juga akan diluaskan kepada golongan bujang
Mereka boleh memohon untuk membeli flat (BTO) baharu dua bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di mana-mana lokasi dan dalam mana-mana kategori - Standard, Plus atau Prime.
Dr Faishal berkata: "Kita memahami kemahuan dan aspirasi golongan bujang. Pada pendapat saya adalah satu pembangunan ataupun perubahan yang baik di mana bukan sahaja ia membukakan peluang yang lebih luas bagi mereka untuk memiliki flat BTO, tetapi dengan dasar yang sedia ada di mana mereka boleh membeli flat jualan semula di merata Singapura dan juga saiz-saiz yang tidak ditetapkan, ia membuka ruang yang lebih luas bagi mereka.
"Jadi saya ingin memberi jaminan kepada golongan bujang ini kita sentiasa mengimbangi aspek-aspek perumahan bagi mereka supaya kita mereka mendapatkan pilihan yang lebih luas dan flat-flat yang boleh dimampui," ujar Dr Faishal.
LEBIH 280,000 ISI RUMAH SUDAH MANFAAT DARI PROGRAM EASE
Dr Faishal turut memberikan kemas kini tentang program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (EASE) yang akan ditingkatkan ke (EASE 2.0).
Sejauh ini, pemerintah sudah menerima maklum balas baik dan lebih daripada 280,000 isi rumah sudahpun memanfaatkan program tersebut.
Selain kemudahan di dalam rumah, Dr Faishal berkata lebih banyak peningkatan juga boleh dijangkakan.
"Kita boleh menjangkakan lebih banyak kemudahan bersubsidi akan diberikan seperti susur tangan di pintu masuk kita akan membangunkan. Kita juga akan menyediakan tempat duduk di bilik mandi yang boleh dilipat dan juga bagaimana kita boleh meluaskan pintu masuk bilik mandi. Ini semua bagi mereka yang mungkin sangat penting bagi mereka yang duduk di kerusi roda kerana kalau mereka mahu masuk ke tandas, mereka mahukan ruang yang lebih besar," kata Dr Faishal.
Selain kemudahan di rumah, skim itu juga akan diluaskan ke estet-estet kejiranan sedia ada dan yang baru.
"Kita mahu menyediakan tempat berteduh, kita mahu menyediakan tempat untuk warga emas untuk berehat dan juga bagaimana kita mahu membangunkan estet-estet yang lebih mesra warga emas. Boleh kita jangkakan bahawa akan menjalankan kerja-kerja ini di estet-estet sedia ada. Pada estet-estet yang baru ini, kita akan selaraskan dengan pembangunan BTO mereka.
"Jadi dengan adanya pendekatan seperti ini, ini menunjukkan bahawa pemerintah prihatin tentang kehidupan warga emas kita di mana pemerintah mahukan selain daripada aspek-aspek kewangan, kita mahukan warga emas kita untuk tinggal di estet perumahan, di rumah mereka dan mereka rasa selesa, dan mereka rasa selamat," tambahnya.
Butiran-butiran bagi EASE 2.0 akan dikongsikan tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.