KKH tangani hingga 400 kes baharu kanak-kanak cedera akibat kelecuran setiap tahun
Seorang kanak-kanak dengan luka lecur pada lengannya diperiksa dalam bilik prosedur di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK. (Gambar: KKH)
Kelecuran lazimnya melibatkan proses rawatan yang panjang dan kompleks, serta memerlukan penyelarasan rapi merentas pelbagai kepakaran perubatan - daripada rawatan kecemasan sehinggalah pemulihan.
Pada Oktober 2025, KKH membuka pusat rawat kelecuran khusus yang pertama untuk kanak-kanak, yang terletak bersebelahan unit jagaan rapi kanak-kanak hospital tersebut.
Pusat itu dikendalikan oleh pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada pakar bedah plastik, jururawat dan karyawan kesihatan bersekutu, serta menawarkan penjagaan menyeluruh daripada rawatan akut hingga pemulihan.
Ia juga dilengkapi ciri-ciri yang mempercepatkan pemulihan dan meningkatkan keselesaan pesakit, termasuk bilik perundingan yang bersambung dengan bilik rawatan, katil mandi khas dan bilik prosedur khusus.
Setiap tahun, hospital tersebut menerima sehingga 400 kes baharu kanak-kanak yang mengalami kelecuran, satu angka yang kekal konsisten sepanjang lima tahun lalu.
Bayi dan kanak-kanak kecil berusia dua tahun ke bawah merupakan kumpulan paling terdedah, merangkumi separuh daripada semua kes kelecuran.
Kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun pula membentuk satu lagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu kira-kira 17 peratus daripada kes.
Pada 2024, kelecuran akibat cecair panas menyumbang kepada sebahagian besar kes kelecuran yang boleh dicegah dalam kalangan kanak-kanak, iaitu 71 peratus, diikuti kelecuran akibat sentuhan (contact burns) sebanyak 19 peratus dan kelecuran akibat geseran (friction burns) sebanyak 5 peratus.
KELECURAN
Walaupun kelecuran akibat air panas merupakan kes yang paling lazim, Dr Kong berkata kebanyakan kes sedemikian yang dirawat di KKH adalah ringan, dengan saiz kelecuran selalunya lebih kecil daripada tapak tangan seseorang.
Doktor menggunakan saiz tapak tangan pesakit sebagai panduan, dengan setiap tapak tangan mewakili kira-kira 1 peratus daripada permukaan badan.
Kelecuran teruk, iaitu yang menjejas lebih 15 peratus tubuh badan atau kira-kira 15 saiz tapak tangan, lazimnya memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi atau unit ketergantungan tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.