KKH mohon wanita hubunginya setelah tular dakwaan mengalami keguguran
SINGAPURA: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) memohon pesakit, yang mendakwa mengalami keguguran ketika menunggu selama empat jam di pusat bersalin dan sakit puan hospital berkenaan, untuk menghubungi pihak hospital secara langsung, menurut jurucakap hospital tersebut pada Khamis (24 Mac).
Dalam kejadian yang tular di media sosial pada Rabu (23 Mac), wanita yang sarat mengandung itu mendakwa bahawa dia mengalami pendarahan yang banyak semasa menunggu di tempat menurunkan pesakit di luar hospital tersebut.
Ketika menjawab pertanyaan Mediacorp, pengerusi Divisyen Obstetrik dan Ginekologi KKH, Profesor Tan Hak Koon berkata pihak hospital sedia maklum mengenai dakwaan yang tersebar online mengenai kejadian itu tetapi tidak dapat mengenal pasti siapa pesakit itu.
"Kami memandang serius terhadap maklum balas pesakit dan sedang menyiasat perkara ini," kata Prof Tan.
“Walaupun sudah berusaha sedaya upaya, kami masih tidak dapat mengenal pasti pesakit berkenaan berdasarkan maklumat yang tersedia secara umum,” tambahnya.
"Kami amat prihatin mengenai kesejahteraan pesakit dan mencari peluang untuk menangani kebimbangannya dan menghulurkan sokongan kepadanya jika diperlukan."
Butiran mengenai kejadian itu pertama kali diterbitkan oleh pesakit itu sendiri di laman web Wake Up, Singapore pada hari Rabu.
Identitinya tidak didedahkan, namun salinan bil hospital yang dimuat naik ke laman web tersebut menunjukkan bahawa hospital itu dikunjungi pada 28 Februari.
Menurut Prof Tan, pihak hospital sudah menulis surat kepada Wake Up, Singapore untuk mendapatkan nama penuh pesakit itu. Wake Up, Singapore sebaliknya menyatakan bahawa ia sudah meminta pesakit berkenaan supaya menghubungi KKH secara langsung.
KKH turut memberitahu Mediacorp bahawa ia belum lagi menerima sebarang maklum balas daripada pesakit itu dan menggesanya supaya menghubungi pihak hospital melalui feedback [at] kkh.com.sg.
Insiden ini berlaku selepas kejadian serupa mengenai seorang wanita yang hamil mengalami keguguran di Hospital Universiti Nasional (NUH) selepas wanita berkenaan dipercayai terbiar tanpa pengawasan di jabatan kemalangan dan kecemasan hospital tersebut selama kira-kira dua jam pada 15 Mac.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.