KKH buat aduan polis susuli dakwaan wanita hamil yang keguguran setelah tunggu 4 jam di A&E
SINGAPURA: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) menyatakan ia sudah membuat aduan polis terhadap dakwaan seorang wanita hamil yang keguguran, apabila dia dikatakan menunggu di jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E) sekitar empat jam.
"KKH ingin menjelaskan bahawa laporan online tentang kejadian di Pusat Obstetrik dan Ginekologi (O&G) tidak benar," menurut Ketua Pegawai Eksekutif KKH, Profesor Alex Sia.
"Kami dengan pasti boleh menyatakan bahawa peristiwa sedemikian tidak berlaku. Kami sudah membuat aduan polis."
Pada Rabu (23 Mac), sumber berita alternatif Wake Up Singapore memuat naik dakwaan tentang satu kejadian, bersertakan gambar bil hospital yang menunjukkan tarikh 28 Februari. Kisah yang tersebar luas di media sosial itu memberikan garis masa lawatan wanita berkenaan ke KKH.
Wanita itu berkata dia kehilangan kandungannya setelah didakwa tidak dilayan di A&E selama empat jam.
KKH pada Khamis malam (24 Mac) menyatakan ia tidak dapat mengenal pasti pesakit itu, meskipun hospital tersebut sudah "mencuba sedaya upaya".
"Siasatan awal menunjukkan bahawa tiada kes sedemikian di hospital pada tarikh yang dipaparkan dalam laporan itu," tambah KKH dalam kenyataan kepada Mediacorp.
Hari ini (25 Mac), Wake Up Singapore memuat naik catatan yang mendakwa hospital itu sudah bercakap dengan wanita tersebut menerusi panggilan telefon selama hampir empat jam sebelum ia mengeluarkan kenyataan sehari sebelum itu.
Dalam satu kenyataan media hari ini (25 Mac), Profesor Sia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana memberikan hospital masa untuk melakukan siasatan tentang kejadian berkenaan, sekali gus menegaskan bahawa terdapat beberapa percanggahan antara dakwaan itu dengan maklumat bil yang dikongsi online.
"Setiap maklum balas adalah peluang untuk kami memperbaiki khidmat dan kami memandangnya dengan serius. Namun, apabila terdapat dakwaan palsu, kami juga harus menghuraikannya dengan terbuka," menurut Profesor Sia.
"Ini adalah waktu penting untuk semua dalam sektor jagaan kesihatan dan kami akan terus melakukan sedaya upaya untuk menjaga pesakit kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.