"Kita cukup, jangan ragu", Masagos beri jamin tentang bekalan makanan S'pura
Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli hari ini (8 Feb) bersuara memberi jaminan dan menekankan bahawa Singapura langsung tidak kekurangan bekalan makanan dan sebagainya.
Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli. (Gambar: BERITAmediacorp)
SINGAPURA: Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli hari ini (8 Feb) bersuara memberi jaminan dan menekankan bahawa Singapura langsung tidak kekurangan bekalan makanan dan sebagainya.
Bercakap di satu acara masyarakat hari ini, beliau menekankan bahawa orang ramai "tidak perlu" untuk "berduyun-duyun ke pasar untuk membeli atau menyimpan makanan".
"Saya sebagai Menteri yang menjamin kemasukan makanan sangat pasti bahawa kita cukup bekalan. Tapi apabila makanan itu dibeli secara cepat kita perlu membekalkannya kembali di pasar dan sebagainya. Ini memerlukan waktu. Tapi di stor dan juga di tempat-tempat menyimpan makanan itu penuh dengan makanan. Kita cukup, jangan ragu," kata Encik Masagos kepada pihak media.
JALANI HIDUP SEPERTI BIASA
Komen beliau itu dibuat setelah sebilangan anggota masyarakat beratur panjang secara mendadak di pasar-pasar raya semalam dan hari ini untuk membeli secara mendadak dan berlebihan barangan keperluan dapur.
Itu sebenarnya tidak perlu kata Encik Masagos. Beliau bimbang bahawa keyakinan masyarakat boleh terganggu sehingga boleh "melakukan tindakan yang kadang tidak masuk akal".
Tindakan membeli barangan secara berlebihan boleh menyebabkan pembaziran dan kerugian di pihak pengguna sendiri, kata beliau.
"Jalanilah kehidupan kita seperti biasa. Yang penting adalah menjaga kebersihan diri. Umpamanya selalu membasuh tangan dengan sabun dan jangan pula meletakkan kita di muka kita. Saya fikir ini tindakan-tindakan yang mudah," katanya lagi.
ANDA DEMAM/SELESEMA? JANGAN KE MASJID
Sementara itu Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pula hari ini mengeluarkan Irsyad tambahan sebagai panduan untuk semua 70 masjid tempatan menyusuli tahap risiko DORSCON bagi virus korona 2019-nCoV yang dinaikkan ke paras Jingga.
Antara lain, menurut MUIS, masjid-masjid disarankan agar tidak membenarkan jemaah yang mengalami tanda-tanda demam atau selesema, masuk ke dalam masjid.
Jemaah juga tidak digalak bersentuhan seperti bersalam-salaman buat masa ini dan sebaliknya meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat.
"Irsyad MUIS baru-baru ini yang dikeluarkan pagi tadi kita diminta supaya membawa sejadah ataupun alas untuk kita bersujud di masjid kerana kuman ini dapat melekat ataupun wujud di hampar ataupun di permaidani dan sebagainya untuk menjaga diri kita, lebih baik kita membawa sejadah sendiri ataupun tempat alas tempat kita membuat sujud," ujar Encik Masagos.
Irsyad tambahan itu turut menekankan pentingnya untuk terus mendampingi masyarakat muslim Bangladesh di sini, khususnya para pekerja asing, dan memaklumkan kepada mereka tentang langkah-langkah yang diambil demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan jemaah.
"USTAZ BERTAULIAH TIDAK BUAT KENYATAAN KASAR"
Encik Masagos turut menegur komen berbaur perkauman dan xenofobia terhadap kaum Cina yang dibuat oleh seorang guru agama tempatan bernama Abdul Halim Abdul Karim berhubung virus korona baru itu.
Ustaz berkenaan semalam sudahpun diselar Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, dan siasatan ke atasnya sedang dijalankan.
Encik Masagos berharap insiden sedemikian "tidak dilakukan lagi" dan sesuatu "kesalahan yang dilakukan harus ditindak lanjut" dan diselesaikan dengan sempurna.
"Yang kita sedang beri tumpuan adalah seorang yang disebut ustaz sebenarnya bukan ustaz yang bertauliah dan saya fikir seorang ustaz yang bertauliah tidak akan menyatakan apa pun secara kasar hingga mengguris hati masyarakat lain. Apa lagi dalam masalah yang ada kena mengena dengan agama atau bangsa," ujar Encik Masagos.
Sebaliknya, Encik Masagos mengajak masyarakat supaya merebut peluang untuk menonjolkan nilai-nilai sebenar Islam dengan saling menjaga kepentingan dan membantu antara satu sama lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.