Skip to main content

Singapura

Kit ujian pantas antibodi COVID-19 boleh bantu kesan individu tanpa gejala

Kit ujian pantas antibodi COVID-19 yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mereka yang tidak mempunyai gejala serta menunjukkan hasil ujian "tepat" dalam 15 minit telah dibangunkan dan dihasilkan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kit ujian pantas antibodi COVID-19 boleh bantu kesan individu tanpa gejala

(Gambar: MP Biomedicals)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 06:54PM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 07:03PM

SINGAPURA: Kit ujian pantas antibodi COVID-19 yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mereka yang tidak mempunyai gejala serta menunjukkan hasil ujian "tepat" dalam 15 minit telah dibangunkan dan dihasilkan di Singapura.

Kit ujian yang dinamakan Assure, mengesan antibodi yang dihasilkan oleh sistem daya tahan tubuh manusia sebagai tindak balas kepada pendedahan kepada SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan COVID-19, kata dua kumpulan yang menghasilkan produk tersebut, syarikat diagnostic MP Biomedicals Asia Pacific dan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) dalam satu kenyataan media bersama pada Jumaat (24 Jul).

Khususnya, kit tersebut mengesan antibodi IgG dan IgM yang dihasilkan oleh tubuh untuk mengatasi SARS-CoV-2 dari contoh darah, plasma atau serum manusia.

"Kajian telah menunjukkan bahawa tahap IgG dan IgM tampaknya ada kaitan dengan tahap kemudaratan COVID-19, oleh itu kedua-duanya adalah petunjuk bio yang baik untuk mengesahkan hasil ujian positif atau jangkitan pada masa lalu," menurut kenyataan media itu.


Kit ujian itu akan melengkapi usaha sejagat untuk membangunkan uijan yang lebih cekap sedang keadaan COVID-19 berubah-ubah, kata Dr Sidney Yee, ketua pegawai eksekutif DxD Hub di A*STAR.

"Pastinya penting untuk kami terus berkongsi
kepakaran R&D kepada syarikat-syarikat bioteknologi, untuk mengembangkan dan membolehkan lebih banyak makmal menggunakan kit ujian diagnostik ini untuk menyaring pesakit," kata Dr Yee.

Walaupun kit ujian itu boleh membantu mengenal pasti individu tanpa gejala atau mereka yang mempunyai hanya gejala ringan yang tidak menjalani ujian reaksi rantaian polymerase khusus, ia tidak boleh digunakan dalam diagnosis klinikal jangkitan COVID-19.

"Sejajar dengan usulan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekarang, ujian serologi pantas sewaktu rawatan, termasuk kit ujian antibodi pantas Assure tidak boleh digunakan dalam diagnosis klinikal jangkitan COVID-19 atau dalam penilaian individu dengan gejala pernafasan akut, terutamanya dalam 14 hari pertama penyakit,” menurut kenyataan media itu.

"Ini adalah untuk mengelakkan daripada memberi jaminan palsu kepada pesakit bahawa mereka tidak mengalami jangkitan, yang timbul dari hasil negatif."

Meskipun demikian, ia boleh "membantu mengenal pasti segmen (masyarakat) yang sedang pulih atau pernah dijangkiti SARS-CoV-2 untuk memastikan mereka selamat untuk kembali bekerja", tambah Encik Ng Boon Heong, ketua pegawai eksekutif Yayasan Temasek yang telah merintis penggunaan kit ujian itu dalam masyarakat setempat.

Kit ujian pantas antibodi Assure telah diberikan kelulusan sementara oleh Penguasa Sains Kesihatan untuk penggunaan di Singapura. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita