Kit ujian kendiri COVID-19 kehabisan stok di beberapa kedai
Bekalan kit ujian pantas antigen habis dijual di beberapa pasar raya, farmasi dan kedai serbaneka dalam beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh permintaan yang tinggi, dengan sesetengah pelanggan membelinya secara pukal.

(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Bekalan kit ujian pantas antigen habis dijual di beberapa pasar raya, farmasi dan kedai serbaneka dalam beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh permintaan yang tinggi, dengan sesetengah pelanggan membelinya secara pukal.
Wartawan TODAY melakukan tinjauan sepanjang beberapa hari lalu dan mendapati bahawa kit ujian kendiri, yang membolehkan penduduk melakukan ujian swab sendiri di rumah, sudah kehabisan stok di beberapa tempat di merata Singapura.
Ini sedang jumlah kes jangkitan COVID-19 meningkat di sini. Singapura melaporkan 1,009 kes tempatan baru pada Ahad (19 Sep), iaitu jumlah kes harian tertinggi sejak 23 April tahun lalu.
Ketika kit ujian dijual di kedai-kedai farmasi pada Jun, para pelanggan hanya boleh membeli sehingga 10 kit setiap seorang, namun had itu ditarik balik setelah penjualannya diperluaskan ke pasar raya dan kedai-kedai runcit mulai 16 Julai.
TODAY mengunjungi 13 kedai sedemikian pada Jumaat (17 Sep) dan Sabtu (18 Sep). Kesemua kit di kawasan Marine Terrace di Marine Parade sudah habis dijual manakala sebaik sahaja bekalan kit ujian ditambah di beberapa cawangan, ia langsung laris dijual.
Seorang ahli farmasi di cawangan Watsons di Bedok Mall berkata 100 kotak kit ujian yang dibawa masuk pada Jumaat habis dijual dalam masa separuh hari.
Apabila ditanya sebab ia dijual dengan pantas, beliau berkata ia mungkin disebabkan syarikat-syarikat kini meminta kakitangan melakukan ujian kendiri.
Seorang wanita yang enggan mendedahkan nama dan usianya, datang untuk membeli kit ujian untuk anak beliau yang kini sedang menjalani cuti ketidakhadiran, namun stok kehabisan di Marine Parade dan Bedok Mall.
Kakitangan di cawangan Guardian di pusat beli-belah itu pula berkata ia kehabisan kit tersebut sepanjang tiga hari lalu dan beberapa individu membelinya secara pukal untuk syarikat mereka.
Di pusat beli-belah Ngee Ann City, kakitangannya berkata bekalan baru tiba selang beberapa hari namun ia habis terjual dengan cepat, dan mereka pernah melihat sesetengah individu membeli sehingga "seribu" kit ujian.
Di pusat beli-belah Paya Lebar Quarter, masih ada kit ujian yang dijual di cawangan NTUC FairPrice Finest dan Guardian.
Dalam respons kepada pertanyaan TODAY, seorang jurucakap NTUC FairPrice berkata permintaannya "melonjak lebih seganda pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya".
"Ini disebabkan oleh kesedaran yang meningkat terhadap kit ujian kendiri menyusuli jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat yang melonjak baru-baru ini.
"Kami terus bekerja rapat dengan pembekal diluluskan oleh (Penguasa Sains Kesihatan) bagi memastikan bekalan mencukupi dan lebih banyak pilihan bagi memenuhi keperluan berbagai dalam masyarakat."
Orang ramai yang menerima amaran atau pemberitahuan risiko kesihatan dari Kementerian Kesihatan kini boleh mendapatkan kit ujian dari 100 mesin layan diri di 56 lokasi di seluruh Singapura.
Mesin-mesin itu diletakkan pada Sabtu dan orang ramai boleh mengimbas kad pengenalan diri mereka untuk mendapatkan tiga kit ujian kendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.