Kit ujian DIY COVID-19 tersedia bagi penduduk blok tertentu kawasan Bukit Merah dan Redhill
Para penduduk blok tertentu di kawasan Bukit Merah dan Redhill tidak lama lagi boleh mengambil alat ujian pantas antigen (ART) di Pusat Jawatankuasa Penduduk terdekat dengan mereka, sebagai sebahagian daripada usaha MOH untuk membendung penularan lanjut COVID-19 dalam masyarakat di kawasan tersebut.
SINGAPURA: Para penduduk blok tertentu di kawasan Bukit Merah dan Redhill tidak lama lagi boleh mengambil alat ujian pantas antigen (ART) di Pusat Jawatankuasa Penduduk terdekat dengan mereka, sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan (MOH) untuk membendung penularan lanjut COVID-19 dalam masyarakat di kawasan tersebut.
Dalam kenyataan medianya pada Jumaat (25 Jun) malam, MOH mendedahkan pihaknya sedang menyiasat beberapa kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan individu yang tinggal atau bekerja di kawasan itu, serta pengunjung di sana.
Operasi-operasi ujian khas dan ujian air sisa buangan juga sedang dijalankan.
"Sebagai lapisan tambahan perlindungan untuk membantu mengenal pasti kes dan mengelakkan penyebaran lanjut, MOH sedang bekerjasama dengan Persatuan Rakyat bagi penduduk di blok-blok tertentu untuk mendapatkan kit ART," menurut kementerian itu.
Mereka yang layak "sangat digalakkan" untuk mengambil kit tersebut dan lakukan ujian kendiri, tambah MOH.
Para penduduk boleh mengambil kit di Pusat Jawatankuasa Penduduk terdekat pada 26 Jun dan 27 Jun. MOH bagaimanapun tidak menyatakan penduduk dari blok kediaman mana yang boleh mengambil kit tersebut.
Penduduk boleh merujuk laman www.gowhere.gov.sg/art untuk mengetahui sama ada mereka layak mengambil kit ART dan pergi ke Pusat Jawatankuasa Penduduk terdekat untuk mengambil kit ujian tersebut.
Singapura melaporkan 15 kes baru COVID-19 dalam masyarakat pada Jumaat.
Tiga kes dalam masyarakat dikaitkan dengan kelompok 115 Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah, yang kini mempunyai 87 kes yang terkait dengannya.
Enam penduduk di 105 Henderson Cresent di Bukit Merah juga diuji positif, membentuk kelompok baru pada Jumaat.
UJIAN MASYARAKAT DI ENG WATT STREET
Dalam kenyataan media berasingan pada Jumaat, MOH menyatakan sebanyak 13 kes dikesan setakat ini dalam siasatannya ke atas kemungkinan berlaku penularan COVID-19 di Eng Watt Street.
Semua 13 kes itu dikesan daripada tiga rumah di 66 Eng Watt Street.
Siasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk menentukan kaitan dan sumber penularan.
Untuk membendung jangkitan yang lebih meluas dan tidak dapat dikesan, MOH menyatakan bahawa pihaknya akan melaksanakan ujian wajib untuk semua penduduk di 66 Eng Watt Street. Ujian akan dijalankan di astaka di 2D Boon Tiong Road antara pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang pada 26 Jun dan 27 Jun.
Ujian tidak diwajibkan bagi mereka yang diuji negatif COVID-19 pada 22 Jun dan hari-hari selepas itu.
Mereka yang diuji positif akan diasingkan dan kontak rapat akan dikenal pasti, diuji dan dikuarantin.
MOH menyatakan pihaknya juga akan melakukan ujian secara sukarela bagi para pengunjung dan mereka yang bergaul dengan penduduk di 66 Eng Watt Street antara 8 Jun dengan 22 Jun. MOH menggalak mereka yang terjejas untuk tampil supaya diuji.
Ujian untuk individu-individu itu akan dilakukan melalui temu janji di Pusat Pemeriksaan Daerah yang ditetapkan antara pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang pada 26 Jun dan 27 Jun.
Janji temu boleh dibuat di pautan ini: https://go.gov.sg/66-ew-covid-19-testing
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.