Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kit ujian air liur digunakan di pusat imigresen, sekatan jalan bagi kesan pengguna dadah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pihak berkuasa memperkenalkan kit ujian air liur di pusat pemeriksaan sempadan dan operasi sekatan jalan raya bagi mengesan pengguna dadah, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Isnin (27 Feb).

Langkah itu diambil sedang pengambilan dadah di seluruh dunia terus meningkat, dengan Thailand menjadi negara pertama di Asia membenarkan pengambilan ganja tahun lalu, tambah Dr Faishal.

Beliau juga menyentuh topik pengganasan, dadah dan pemulihan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan.

Untuk mencegah warga Singapura dan penduduk tetap (PR) daripada mengambil dadah di luar negara, Biro Narkotik Pusat (CNB) mula menggunakan kit ujian air liur di pusat pemeriksaan sempadan pada Januari 2023, katanya.

Kit tersebut - yang boleh mengesan pelbagai dadah seperti kokain, methamphetamine dan ganja - juga digunakan dalam operasi penguatkuasaan di seluruh Singapura.

"Kit seperti yang saya tunjukkan ini - ringan dan kecil. Ia menawarkan cara yang lebih berkesan bagi mengesan penyalahguna dadah di pusat pemeriksaan," kata Dr Faishal semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Gan Thiam Poh (PAP-Ang Mo Kio) mengenai bagaimana Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) meningkatkan langkah penguatkuasaan dadah.


Mengambil dadah di luar negara adalah satu kesalahan undang-undang bagi warga Singapura dan PR. Kaedah lain, seperti ujian sampel rambut atau air kencing, juga boleh digunakan untuk menguji pengambilan dadah.

Dr Faishal memberitahu Parlimen, CNB dan Pasukan Polis Singapura (SPF) juga sudah mula menguji operasi sekatan jalan raya bersama bulan ini bagi mengesan penyalahguna dadah. Kit ujian air liur juga akan digunakan dalam operasi sedemikian.

Ujian air liur mengambil masa purata 10 minit dan mereka yang diuji positif dadah akan dikenakan siasatan lanjut.

Dr Faishal menekankan, walaupun situasi dadah di Singapura "masih di bawah kawalan", pihak berkuasa prihatin tentang penggunaan dadah antara golongan belia, dengan sekitar separuh penyalahguna baru yang diberkas tahun lalu, berusia bawah 30 tahun.

"Walaupun kebanyakan belia menyokong pendirian tegas terhadap dadah, segelintir belia Singapura bersikap lebih terbuka, khususnya terhadap ganja," tambahnya.

CNB awal bulan ini mendedahkan, jumlah penyalahguna ganja berusia bawah 20 tahun yang diberkas, meningkat tiga kali ganda daripada lapan pada 2021 kepada 26 pada 2022.

Mereka membentuk sekitar 20 peratus daripada semua belia yang menyalahgunakan dadah dan diberkas pada 2022.

Methamphetamine kekal sebagai dadah yang paling disalahgunakan di Singapura tahun lalu, dengan 1,445 penyalahguna ditahan, merangkumi 51 peratus daripada keseluruhan penyalah guna yang diberkas.

CNB akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk memastikan semua sekolah rendah dan menengah menjalankan sekurang-kurangnya satu program pendidikan pencegahan dadah setiap tahun.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan