Skip to main content

Singapura

Kit cegah pembiakan nyamuk akan diagih kepada 75,000 rumah berhalaman, sedang kes denggi masih tinggi

Sekitar 75,000 rumah berhalaman di Singapura akan menerima kit-kit peralatan bagi membasmi pembiakan nyamuk, sedang Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melancarkan satu kempen baru "bagi mencegah kemungkinan" berlaku kemuncak kedua denggi pada hujung tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kit cegah pembiakan nyamuk akan diagih kepada 75,000 rumah berhalaman, sedang kes denggi masih tinggi

(Gambar: NEA)

Diterbitkan : 19 Nov 2020 09:45PM Dikemas Kini : 19 Nov 2020 09:48PM

SINGAPURA: Sekitar 75,000 rumah berhalaman di Singapura akan menerima kit-kit peralatan bagi membasmi pembiakan nyamuk, sedang Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melancarkan satu kempen baru "bagi mencegah kemungkinan" berlaku kemuncak kedua denggi pada hujung tahun ini.

Singapura menyaksikan salah satu wabak denggi terburuk tahun ini, dengan keseluruhan jumlah kes denggi pada tahun ini dan jumlah kes baru setiap minggu menjangkaui paras rekod.

Setakat Rabu (18 Nov), sebanyak 33,844 kes denggi dilaporkan di Singapura, dengan 355 kes dilaporkan pada minggu lalu.

"Meskipun jumlah ini lima kali ganda lebih rendah berbanding paras kemuncak 1,792 kes yang disaksikan pada Julai tahun ini, jumlah kes mingguan tetap tinggi, iaitu sekitar dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlah kes yang disaksikan pada tempoh yang sama secara purata sepanjang tiga tahun lalu," menurut NEA.

"Ini membimbangkan kerana kita mungkin melangkah ke tahun hadapan dengan bilangan kes denggi yang tinggi, yang berpotensi mencetuskan satu lagi wabak denggi pada tahun depan."

Inilah trend yang disaksikan pada 2014 dan 2020, iaitu tahun-tahun di mana berlaku penularan denggi, menurut NEA.

"Justeru, tidak seperti tempoh hujung tahun yang lalu, NEA akan terus mengekalkan tempo pemeriksaan pencegahan yang tinggi bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dan mencegah penularan denggi," menurut NEA lagi.

"Ini termasuk tempat-tempat yang tidak menyaksikan penularan denggi pada tahun ini, kawasan-kawasan dengan bilangan nyamuk Aedes yang tinggi berdekatan dengan kelompok-kelompok denggi, dan juga tapak-tapak binaan dan premis perindustrian yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan."

TUMPUAN KEPADA ESTET PERUMAHAN BERHALAMAN

NEA mengesan jumlah pembiakan nyamuk Aedes dan kes denggi yang tinggi di rumah-rumah berhalaman berbanding apartmen privet dan flat-flat HDB.

Kit 'Mozzie-Proof Your Home' akan diagihkan kepada sekitar 75,000 rumah berhalaman.

(Gambar: NEA)

(Gambar: NEA)

5 KELOMPOK DENGGI DITUTUP MNGGU LALU

Sebanyak 106 kelompok denggi dilaporkan di Singapura setakat sehingga Rabu (18 Nov), penurunan 15 kelompok dari minggu sebelumnya.

Lima kelompok denggi ditutup pada minggu lalu, di Pasir Ris Drive 10 (116 kes), Cambridge Road (103 kes), Cheng Soon Garden (102 kes), Fernvale Road (94 kes) dan Ah Hood Road (75 kes).

Sebanyak 2,836 daripada 2,942 kelompok denggi yang dilaporkan sejak awal tahun ini sudah ditutup.

NEA menyatakan bahawa ia juga menyaksikan rentak penularan denggi yang lebih perlahan di beberapa kelompok denggi yang lebih besar seperti di kelompok Jalan Limau Bali yang mempunyai 58 kes denggi, dengan purata kurang daripada satu kes yang dilaporkan setiap hari sepanjang dua minggu lalu.

Namun, kelompok-kelompok besar denggi masih wujud di Carman Street dan Elite Park Avenue, Tampines North 2, Pasir Ris Drive 3, Bunga Rampai Place dan Boon Lay Place, menurut NEA.

"Bagi membanteras kelompok besar denggi ini, NEA sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dari pelbagai agensi pemerintah dalam Pasukan Bertindak Berbilang Agensi, termasuk majlis-majlis bandaran dalam usaha berterusan memerangi denggi," tambah kenyataan tersebut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita