Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah Suffian Sumamaili - dari pereka alat tulis ke seni khat moden

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Encik Suffian Sumamaili, 42 tahun, lebih dikenali sebagai Abu Salwa yang bermakna "Bapa Salwa".

Dilahirkan dan dibesarkan di Singapura, perniagaannya, ArtSalwa, terkenal dalam masyarakat Melayu-Muslim kerana menawarkan hasil karya seni tulisan khat original dengan harga berpatutan.

Beliau yang pernah memiliki perniagaan alat tulis, memutuskan untuk membuka perniagaan menjual seni tulisan kaligrafi Islam apabila
mendapati sukar memperolehi karya yang direka dengan baik dan unik.

Dengan menggabungkan gaya moden kepada reka bentuk seni tulisan khat berinspirasikan Arab dan citarasa tempatan ke dalam karyanya, beliau menemui tukikan dalam industri tersebut dan berjaya mengembangkan perniagaannya.

Baru-baru ini, beliau berkongsi perjalanannya dalam memberi sentuhan moden kepada seni tulisan khat.

ADAKAH ANDA SEORANG YANG KREATIF DARI KECIL LAGI?

Saya memang gemar hasil seni dari usia muda lagi. Saya tidak begitu suka bermain dengan mainan, sebaliknya dibimbing oleh ibu bapa saya untuk melukis. Jadi boleh dikatakan saya dibesarkan untuk menjadi kreatif.

ANDA BERMULA SEBAGAI PEREKA GRAFIK - ADAKAH ANDA BELAJAR REKA BENTUK GRAFIK?

Saya tidak belajar reka bentuk sepenuh masa. Saya mengambil beberapa kursus pendek di sekolah seni swasta. Itulah cara saya meningkatkan kemahiran asas saya.

Saya bermula sebagai pekerja bebas, dengan menghasilkan logo dan identiti korporat pada kos yang rendah. Selepas itu, saya mendapat kontrak untuk membuat alat tulis bagi Underwater World. Daripada pengalaman itu, saya menjadi lebih berminat untuk mencipta reka bentuk saya sendiri untuk produk saya sendiri.

Tetapi tidak ada platform media sosial ketika itu, jadi untuk mendapatkan jualan memerlukan sesi bersemuka untuk menjual idea saya.

Jadi, saya terus bekerja sebagai pereka grafik untuk beberapa syarikat tetapi kerja yang saya lakukan adalah berdasarkan keperluan yang diberikan kepada saya, dan saya ingin melakukan lebih daripada itu. Saya bekerja di syarikat kecil untuk belajar cara membuat pembungkusan dan reka bentuk produk. Pemilik syarikat kecil ini seperti mentor saya yang sudi berkongsi kemahiran mereka dengan saya. Saya memutuskan untuk berniaga dan mula mereka bentuk produk alat tulis saya sendiri. Ketika itulah saya dikesan oleh Wing Tai yang menugaskan saya untuk mereka bentuk produk alat tulis dalaman mereka untuk Topshop. Pada masa yang sama, saya menyewa ruang kecil di Far East Plaza untuk menjual alat tulis saya sendiri seperti buku nota, poster, kertas pembalut, dan lain-lain. Saya menamakan kedai itu dan jenama saya Paper People.

ANDA KEMUDIAN BERPINDAH KE HAJI LANE?

Saya memutuskan untuk mengembangkan perniagaan saya dan menyewa tempat di Haji Lane. Ia menarik ramai pelancong ketika itu. Saya juga pernah ditemu bual oleh program TV Jepun untuk produk yang saya reka. Namun, permintaan bagi produk alat tulis semakin berkurangan saban tahun apabila keadaan mula berubah menjadi digital dan perniagaan saya merosot.

Saya akhirnya terpaksa menutup kedai di Haji Lane dan bekerja di sebuah Perusahaan Sosial untuk membantu mencipta dan memasarkan produk yang dihasilkan orang kurang upaya, untuk mewujudkan kesedaran awam.

BILA ANDA MULA BUKA ARTSALWA?

ArtSalwa bermula pada tahun 2015.

Ketika itu, saya sedang mencari hasil seni Islam untuk menghiasirumah saya.

Saya kemudian sedar produk yang ditawarkan di Singapura adalah terhad dan yang yang ada pun tidak memenuhi cita rasa saya.

Saya kemudian memuat naik beberapa rekaan seni Kaligrafi Islam saya sendiri di Carousell dan segera mendapat banyak pertanyaan dan pesanan.

Ia memberi saya motivasi untuk mencipta lebih banyak reka bentuk dan produk Kaligrafi Islam untuk masyarakat di sini. Ia lebih disebabkan rasa cinta saya pada seni, dan bukannya aspek perniagaannya.

BAGAIMANA ANDA DAPAT ILHAM UNTUK KARYA ANDA?

Saya membaca banyak buku mengenai kaligrafi Islam dan reka bentuk dalaman untuk memahami sejarah, budaya, dan cara reka bentuk dicipta dengan indah, serta bagaimana ia boleh boleh disesuaikan dengan reka seni rumah moden.

Saya juga mendapatkan nasihat daripada guru-guru Madrasah, sebelum menghasilkan karya seni saya. Saya mencipta karya saya menggunakan medium yang berbeza seperti seni kanvas, cermin pelbagai warna, seni damar, akrilik potongan laser, dan banyak lagi. Saya suka bereksperimen dan sering mendapat ilham daripada pelanggan saya.

Kebanyakan pelanggan saya adalah penduduk tempatan, tetapi saya juga mempunyai pelanggan di Australia, Jerman, Dubai, Pakistan, India, Amerika, United Kingdom dan Malaysia.
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan