Kisah Singapura jadi ilham rekaan busana para AP sempena Hari Kebangsaan
Butik Kebaya by Ratianah mengabadikan identiti beberapa kawasan di Singapura menerusi rekaan khas sempena Hari Kebangsaan tahun ini. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Burung Enggang atau 'Oriental Pied Hornbill' menyulam kisah Pasir Ris-Changi.
Ombak di pantai Taman East Coast pula mengalun pada helaian yang lain.
Di Ang Mo Kio, taman permainan naga dan secawan kopi kegemaran diabadikan sebagai sebahagian daripada rekaan.
Bagi butik Kebaya by Ratianah, setiap satu bukan sekadar busana.
Ia menjadi kanvas yang merakam kisah sebuah kawasan dan membentuk wajah Singapura.
Menurut pemilik butik itu, Cik Ratianah Tahir, identiti Singapura bukan sekadar terbina daripada mercu tanda atau bangunan ikonik.
Sebaliknya, pelbagai masyarakat, kawasan kejiranan dan pengalaman yang mencorak kehidupan seharian rakyatnya.
Justeru, setiap tempahan yang diterima membawa tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar busana yang indah dipandang, kongsi Cik Ratianah kepada BERITA Mediacorp.
"Saya percaya identiti Singapura dibentuk oleh pelbagai masyarakat, kawasan kejiranan dan pengalaman yang membentuk kehidupan seharian kita. Setiap kawasan mempunyai watak, mercu tanda dan kisahnya sendiri yang membawa makna kepada penduduk di situ" katanya.
Pendekatan itu turut menandakan kelainan bagi butik itu sempena Hari Kebangsaan tahun ini.
Walaupun beberapa Anggota Parlimen (AP) telah menggayakan busana tempahannya sejak beberapa tahun lalu, rekaan terdahulu lebih tertumpu kepada tema umum Hari Kebangsaan.
Tahun ini pula, buat julung kalinya, setiap busana diinspirasikan oleh identiti kawasan kejiranan yang diwakili pemakainya.
“Dengan mengangkat kisah-kisah ini dalam setiap busana, kami berharap dapat meraikan Hari Kebangsaan dengan cara yang lebih peribadi, namun masih berakar pada kisah Singapura secara keseluruhannya.
“Setiap satunya ibarat seutas benang yang menghubungkan kita dalam helaian yang membentuk Singapura,” ujar Cik Ratianah.
NADI DI SETIAP KAWASAN KEJIRANAN
Bagi AP GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha, kemeja batiknya menggabungkan rumah-rumah ikonik Pasir Ris yang menghadap Sungei Api Api, Pulau Ubin serta Burung Enggang.
“Kisah Burung Enggang melambangkan ketahanan dan pembaharuan. Ia mencerminkan semangat masyarakat setempat serta mengingatkan kita bahawa warisan alam semula jadi juga sebahagian daripada identiti Singapura," kata Cik Ratianah.
Bagi AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim pula, ilham datang daripada ombak pantai East Coast.
Corak ombak yang disulam pada baju kurung melambangkan sebuah masyarakat yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa, namun terus utuh mengharungi cabaran bersama.
Busana itu turut menampilkan burung phoenix yang diinspirasikan daripada nama Fengshan atau Phoenix Hill, sebagai lambang kebangkitan dan kemajuan.
Sementara itu, kebaya moden yang dihasilkan untuk AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin, menggabungkan taman permainan naga, bunga kebangsaan Vanda Miss Joaquim serta secawan kopi kegemaran — simbol yang cukup dekat dengan kehidupan masyarakat setempat dan pemakainya.
Bagi Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, serta AP GRC Jurong East-Bukit Batok, Cik Rahayu Mahzam pula, bunga orkid dipilih sebagai lambang ketahanan, keanggunan dan jati diri.
MENTERJEMAHKAN SEBUAH KAWASAN KE DALAM BUSANA
Di sebalik setiap rekaan, Cik Ratianah terlebih dahulu memahami individu yang bakal mengenakan busana tersebut.
Antaranya ialah apakah elemen-elemen yang ingin diketengahkan dan kisah yang ingin mereka ceritakan.
"Daripada situ, kami meneliti setiap rujukan dengan teliti sebelum menterjemahkannya ke dalam rekaan menerusi siluet, pilihan warna serta susunan motif.
“Setiap elemen perlu disepadukan secara harmoni supaya hasil akhirnya kelihatan semula jadi dan benar-benar mencerminkan identiti pemakainya," jelasnya.
Namun, kreativiti sahaja tidak mencukupi.
Busana warisan perlu terus dihormati, biarpun disuntik dengan unsur kontemporari.
"Paling penting, setiap kali kami menghasilkan busana warisan, kami perlu menghormati keanggunan dan siluet asal pakaian itu, sama ada kebaya, baju kurung, baju Melayu mahupun kemeja," ujarnya lagi.
WARISAN YANG TERUS HIDUP
Sepanjang menghasilkan rekaan untuk pelbagai kawasan, Cik Ratianah berkata beliau sendiri semakin menghargai kepelbagaian yang membentuk Singapura.
Daripada taman permainan yang membesarkan generasi demi generasi, secawan kopi di kedai kejiranan, pantai, sungai hinggalah flora tempatan, semuanya menyimpan makna yang mungkin tidak disedari oleh orang luar.
"Kadang kala perkara yang kita anggap biasa sebenarnya membawa makna yang sangat besar kepada masyarakat setempat. Di situlah keindahan Singapura. Setiap kawasan mempunyai cerita yang berbeza, dan setiap cerita itu wajar diraikan," katanya.
Bagi beliau, warisan bukan hanya sesuatu yang dipelihara di muzium atau tercatat dalam buku sejarah.
Warisan terus hidup apabila ia dikenang, dipakai dan diceritakan semula kepada generasi seterusnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.