Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah penuh inspirasi 2 penerima Anugerah Bestari 4PM - Mohd Hilman & Muhd Ezekeyle Ezra

Seramai 45 penuntut Institut Pendidikan Teknikal (ITE) menerima Anugerah Bestari 4PM hari ini (26 Nov).  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 45 penuntut Institut Pendidikan Teknikal (ITE) menerima Anugerah Bestari 4PM hari ini (26 Nov). Anugerah itu dikeluarkan Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) demi menjulang pencapaian cemerlang mereka dalam bidang akademik dan kegiatan luar darjah.

Di kalangan mereka, Mohamad Hilman Mohamad Hatta merupakan satu-satunya penuntut yang dipilih untuk menerima pengiktirafan tertinggi iaitu Anugerah Bestari Cemerlang 4PM.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman siang tadi dalam satu acara secara online.

HILMAN 'MASUK SEKOLAH' SEMULA SELEPAS SEDAR PENTINGNYA PENDIDIKAN

Mohamad Hilman, 22 tahun, pernah berhenti sekolah semasa di ITE Kolej Tengah sekitar empat tahun lalu kerana hilang motivasi dan malas untuk belajar.

Sebaliknya dia lebih fokus mahu menjadi seorang 'YouTuber' dan mahu menghasilkan video sahaja dan mengenepikan pelajaran.

Hilman kemudian menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Semasa menjalani NS, Hilman sedar dirinya tidak dipandang orang kerana tiada sebarang kelayakan pendidikan kecuali GCE 'O'. Di sinilah muncul kesedaran di jiwanya tentang pentingnya pendidikan.

(Gambar: Mohamad Hilman Mohamad Hatta)

Disebabkan itu, Hilman berubah fikiran dan akhirnya kembali 'masuk sekolah'. Dia diterima di ITE Kolej Barat.

Apabila kembali berpakaian uniform ITE, maka tidak hairanlah Hilman merupakan antara yang paling 'dewasa' dalam kalangan rakan-rakan sekolahnya sekarang ini.

Menariknya, penuntut NITEC Lanjutan dalam jurusan Sistem & Rangkaian IT ini menggunakan kematangannya untuk membimbing dan menggalak kawan-kawan sekelasnya untuk tidak mengikut jejak langkahnya.

"Saya ada banyak penyesalan jadi saya tak nak (mereka) lalui benda yang sama sebab itu saya cuba yang terbaik untuk beritahu mereka... jangan malas dan nak berhenti sekolah, janganlah.

"Selamatkan diri daripada kekecewaan," ujar Hilman.

Hari ini, semangat perjuangannya itu diiktiraf dan Hilman diberi Anugerah Bestari Cemerlang 4PM.

(Gambar: 4PM)

Dengan anugerah itu, Hilman juga membawa pulang wang tunai S$700 secara keseluruhannya - tambahan S$400 berbanding penerima lain Anugerah Bestari 4PM.

"Banyak orang pandang rendah pada saya bila saya tercicir dari (ITE) Tengah. Jadi saya tetapkan matlamat untuk membuktikan mereka silap, membuktikan sebenarnya saya mampu dan saya boleh capai lebih tinggi daripada mereka.

(Gambar: 4PM)

"Jadi saya selalu percaya, walaupun perjalanan lagi jauh, saya tahu masih boleh berjaya dan masih boleh dapat capai jauh," kongsi Hilman, yang turut dicalonkan bagi anugerah berprestij '21st Century Star Award' di sekolahnya.

Kini, anak bongsu tiga beradik itu sedang menjalani sesi-sesi interviu dengan sebilangan syarikat bagi Diploma Bekerja sambil Belajar di ITE. Hilman juga menetapkan matlamat memburu ijazah dalam bidang IT pula, pada masa depan.

SEMANGAT WAJA MUHD EZEKEYLE EZRA MAHU BERJAYA, CARI IBU BAPA

Muhammad Ezekeyle Ezra Olbrich Wilfred John Olbrich, 18 tahun, pula merupakan salah seorang daripada 45 penerima Anugerah Bestari 4PM.

Perjalanan hidup remaja ini boleh meruntunkan hati anda. Perjalanan yang mahu menempa kejayaan demi, suatu hari nanti, mampu mencari ibu dan bapa kandungnya yang kini tidak diketahui entah di mana adanya.

Ezekeyle dibesarkan oleh datuk dan neneknya sejak kecil lagi selepas ibu bapanya bercerai dan menghilangkan diri.

Walaupun berstatus pelajar, dia terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan selepas sekolah dari 6.00 petang hingga 4.00 pagi bagi menanggung perbelanjaan rumah sewa satu bilik mereka di Boon Lay, barang dapur dan perubatan datuk, yang berjumlah sekitar $1,500, bersama-sama abangnya.

(Gambar: 4PM)

"Kadang-kadang pergi sekolah naik basikal, kemudian bawa beg penghantaran makanan, beg itu dikunci dengan basikal. Lepas sekolah, terus mula kerja sampai malam.

"Kadang-kadang kalau tak kerja penghantaran makanan, saya kerja di gudang, kerja semalaman lepas sekolah.

"Boleh dapat $100 hingga $120 (sehari). Seminggu dalam $400 hingga $500," kongsi Ezekeyle, penuntut NITEC di Kolej ITE Barat dalam jurusan mekatronik dan robotik.

Meskipun mengaku pelajarannya terjejas dengan pemergian neneknya tiga tahun lalu, anak muda bersemangat waja ini berjaya bangkit dan akhir mencapai Purata Mata Ged (GPA) penuh 4.0 mata.

(Gambar: 4PM)

"Saya nak buktikan yang walau apapun kegagalan sebelum ini, masih ada harapan dan peluang, untuk berjaya dan belajar. Untuk hidup dan teruskan perjuangan.

"Insya-Allah satu hari nanti saya dah berjaya, saya boleh cari ibu bapa saya," luah Ezekeyle dengan penuh sebak lagi jujur.

"Insya-Allah saya akan berjaya untuk membuat arwah nenek bangga. Saya tahu beliau melihatnya, dan untuk datuk and abang saya juga," tambah anak muda berpotensi ini, yang pada 2019 pernah meraih Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan.

Ezekeyle kini menanam cita-cita menjadi seorang jurutera berjaya dalam bidang robotik.

Sebagai penerima Anugerah Bestari 4PM, Ezekeyle membawa pulang wang tunai $300.

SEMAKAN LALUAN PENDIDIKAN GUNAAN DIUMUMKAN TAHUN DEPAN

Dalam ucapannya di majlis itu, Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Bestari ITE itu.

Mereka, menurut beliau, bekerja keras untuk bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, tetapi juga membuat perubahan kepada masyarakat danmempamerkan kepimpinan yang memberi inspirasi kepada rakan-rakan mereka

Dr Maliki juga berkata beliau gembira bahawa Projek Bestari ITE sudah mendekati lebih 30,000 pelajar dalam usahanya membangun sepenuhnya potensi belia secara holistik.

"(Ini) melengkapi usaha-usaha pemerintah dalam menawarkan pelbagai peluang kepada para pelajar kita," menurut Dr Maliki yang kini memimpin semakan terhadap laluan-laluan dalam pendidikan gunaan.

"Semakan tersebut mendekati para pemegang taruhan dan meneroka bagaimana untuk menyokong dengan cara terbaik kekuatan unik dan minat semua pelajar dan mereka selesai bidang pendidikan mereka dan juga (pendidikan) politeknik.

Menurut Dr Maliki lagi ini agar mereka dapat dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang relevan untuk memulakan kerjaya masing-masing.

Menurut beliau, pihaknya sudah merujuk kepada sekitar 1,200 pemegang taruhan termasuk para pelajar, alumni, pendidik dan ibu bapa berhubung sektor pembelajaran gunaan.

"Saranan-saranannya akan diumumkan tahun depan. Jadi saya akan umumkan saranan-saranan tersebut tidak lama lagi," kata Dr Maliki. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan