Skip to main content

Singapura

Kisah pembangunan negara SG layak 'diperingati dan diingati': SM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Jun 2024 03:10PM Dikemas Kini : 05 Jun 2024 11:15PM
SINGAPURA:Sudah tiba masanya Singapura membina tugu peringatan untu memperingati kisah pembangunan negara ini, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Rabu (5 Jun).

Ketika bercakap di majlis pecah tanah bagi Taman Tugu Pengasas, Encik Lee berkata perjalanan Singapura sebagai sebuah negara layak "diperingati dan diingati".

Singapura mempunyai beberapa tugu peringatan yang menandakan peristiwa penting dalam sejarah modennya, seperti Tugu Peringatan Perang Kranji dan Tugu Peringatan Perang.

Namun ia tidak mempunyai sebarang tugu untuk menceritakan kisah bagaimana ia menjadi seperti keadaan yang ada pada hari ini, serta menghidupkan "cita-cita, dorongan dan semangat" yang memacu pemimpin pengasasnya, kata Encik Lee.

Taman Tugu Pengasas akan ditempatkan di Taman Pesisiran Timur dan dibina di atas tanah tambak di Marina Bay, tambahnya.

Ia dijangka dibuka pada 2028, umum Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Taman di Pesisiran.

Encik Lee merasmikan majlis pecah tanah di tapak peringatan Taman Pesisiran Timur, bersama Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, serta Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Dalam ucapan yang disampaikan di 'Flower Field Hall', Taman di Pesisir, Encik Lee menyentuh tentang sumbangan para pemimpin pengasas Singapura.

Selain daripada menyatukan negara bagi mengharungi pelbagai krisis dan mengembangkan ekonomi, mereka mewujudkan "nilai asas dan cita-cita" yang menetapkan hala tuju jangka panjang Singapura, tambahnya.

Ia terdiri daripada demokrasi, keadilan dan kesaksamaan, meritokrasi dan dorongan bagi mencapai kecemerlangan, serta komitmen yang tidak berbelah bagi kepada pemerintah yang jujur.

Encik Lee berkata bahawa pemimpin pengasas itu bertekad bahawa setiap kaum mempunyai tempat yang sama di Singapura, disebabkan beberapa faktor.

"Setelah mengalami kepahitan sebagai minoriti, para pemimpin pengasas memutuskan untuk tidak menggunakan kaum, bahasa, dan budaya majoriti Singapura yang merdeka melebihi yang lain, dan tidak sekali-kali membenarkan masyarakat minoriti kita dalam keadaan kurang bernasib baik dan dipinggirkan," katanya.

"Kedua, meskipun Singapura adalah majoriti masyarakat Cina dan minoriti masyarakat Melayu, semua jiran kami adalah majoriti Melayu dan minoriti Cina. Politik perkauman di Singapura menyebabkan kedudukan kami di Asia Tenggara sukar dipertahankan."

"KISAH ASAL USUL YANG UNIK"

Encik Lee berkata bahawa Singapura mempunyai kisah asal usul yang unik, berbeza berbanding negara-negara lain yang baru merdeka semasa era berikutan perang.

Beliau menarik perhatian bahawa pemimpin pengasas Singapura merupakan sebab negara ini menjadi negara dunia pertama daripada negara dunia ketiga.

“Tidak semua perkara dilaksanakan dengan betul. Namun mengenai isu paling penting, mereka membuat pilihan yang tepat, rakyat Singapura bertindak balas, dan Singapura berjaya melangkaui impian mereka yang tidak dapat dibayangkan.”

Daripada "pengalaman yang dikongsi bersama" dalam mengharungi krisis dan kejayaan, serta pengorbanan dan meraikan kejayaan, identiti Singapura dan etos kebangsaan dapat diwujudkan, kata Encik Lee.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita