Skip to main content

Singapura

Kisah kemajuan Singapura melampaui kedatangan Raffles

Tahun ini Singapura memperingati satu lagi peristiwa dalam sejarahnya. Jika empat tahun dahulu, negara ini meraikan SG50, tahun ini masyarakat merenung 200 tahun sejak Sir Stamford Raffles tiba di sini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Tahun ini Singapura memperingati satu lagi peristiwa dalam sejarahnya. Jika empat tahun dahulu, negara ini meraikan SG50, tahun ini masyarakat merenung 200 tahun sejak Sir Stamford Raffles tiba di sini.

Salah satu tujuannya adalah untuk melihat sejarah Singapura dan masyarakatnya dengan lebih menyeluruh dan meluas lagi di samping meraikan pembangunan dan pencapaian Singapura, menjangkaui dwiabad.

Namun sejauh manakah sebenarnya pembangunan negara ini disebabkan oleh Sir Stamford Raffles? Mampukah sebenarnya negara ini membangun tanpa kehadiran kuasa penjajah di sini?

SINGAPURA BOLEH LEBIH MAJU TANPA RAFFLES

Zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Malaysia, Dr Mohd Faizal Musa berpendapat, melihat kepada kemajuan masyarakat pribumi di Singapura sebelum kedatangan Raffles, ada kemungkinan Singapura boleh menjadi lebih membangun daripada keadaannya kini.

Beliau memberi pandangan ini berdasarkan pembacaan mendalamnya menerusi teks Sejarah Melayu yang menggambarkan dan menceritakan tentang kepesatan masyarakat Melayu di sini jauh sebelum ketibaan Raffles.

Related article image

Menurut Dr Faizal, asal masyarakat Melayu di sini sebenarnya merupakan hasil migrasi golongan Melayu dari kerajaan Srivijaya, yang sudah dilengkapi dengan ketamadunan yang amat tinggi apabila mereka membuka pulau Temasek.

Kemahiran tinggi yang mereka perolehi itulah kata Dr Faizal, boleh menjadi salah satu faktor utama yang menyumbang kepada pembangunan Singapura pada tahun-tahun awal pulau ini dibuka.

“Melayu di Srivijaya telah mengalami kepesatan yang sangat luar biasa. Orang Melayu pada waktu itu di Srivijaya sebagai contoh, sudah ada wang emas, wang perak, memang sudah diketahui orang Melayu di Srivijaya itu hebat-hebat belaka.

Daripada rakaman sejarah menurut Dr Faizal lagi, golongan Melayu terdahulu dari Srivijaya yang tiba di Singapura, dipanggil untuk membuka pulau Temasek selepas mereka membuat persinggahan di Pulau Bintan. Menurut Dr Faizal, gambaran orang Melayu Srivijaya itu sangat tinggi tarafnya, dan boleh dicirikan sebagai golongan yang mempunyai ketokohan yang tinggi, sangat berpengetahuan, malah mempunyai kepesatan yang sangat luar biasa.

“Tidaklah menghairankan, Singapura ataupun Temasek pada waktu itu maju dengan sekelip mata. Dalam tempoh tidak sampai 20, 30 tahun terus pesat, terus kapal datang singgah ke Temasek. Sebab sudah mewarisi peradaban dan tamadun yang hebat daripada Srivijaya,” kata Dr Faizal.

Lantaran itu beliau berpendapat, faktor sejarah awal ketamadunan golongan Melayu sebelum kedatangan Raffles inilah yang membentuk Melayu Singapura sebagai sebuah masyarakat yang maju. Malah bagi Dr Faizal, faktor sejarah ini mungkin boleh membuatkan Singapura menjadi lebih hebat lagi tanpa kedatangan kuasa penjajah seperti Raffles di ini.

“Dari segi kepesatan fikiran, sudah ada pada orang Temasek (orang Singapura). Jadi, ada atau tidak Raffles, Singapura akan tetap hebat. Malah, boleh jadi lebih hebat lagi. Maka itu perbincangan sekitar akar pembangunan Singapura perlu lebih kritikal dan terbuka, kerana ia bukan 200 tahun yang muluk dan bukan perkara yang indah,” kongsinya sewaktu ditemui di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

GEOGRAFI STRATEGIK: KETAMADUNAN, HAB DAGANG

Seorang pengamat politik dari ISEAS-Institut Yusof Ishak di Singapura, Dr Norshahril Saat pula berpendirian bahawa perbincangan tentang faktor pembangunan Singapura perlu lebih seimbang dengan mengambil kira pelbagai faktor tentang kedudukan Singapura yang strategik.

Related article image

Menurutnya, kedudukan geografi Singapura yang menghubungkan pulau Singapura dengan dunia Timur dan Barat merupakan faktor penting yang menyumbang kepada “perjalanan ketamadunan” di sini.

Keterbukaan Singapura terhadap pengaruh luar ini menurut Dr Norshahril, secara tidak langsung menjadikan Singapura sebuah hab perdagangan utama, khususnya apabila melihat kepada contoh dalam sejarah menerusi persinggahan dagangan China dan India di perairan Singapura.

Dalam membincangkan tentang kuasa penjajah di sini, Dr Norshahril berpendapat, masyarakat “tidak boleh mengecil-ngecilkan” peranan mereka.

"Kita perlu ingat motif utama British dan juga kuasa-kuasa Eropah pada waktu tersebut ialah untuk menjajah, untuk meraih keuntungan yang disebut sebagai 'kapitalis kolonial'. Tapi kesannya itu secara tidak langsung telah membantu kita, dan kesannya itu adalah satu perjalanan sejarah dan kita lihat menerusi infrastruktur-infrastruktur serta institusi-institusi yang dibina, yang mungkin ada juga kesannya, disebabkan penjajahan ini," katanya.

Related article image

Namun Dr Norshahril yang juga menyandang jawatan sebagai Pengerusi bagi Yayasan Warisan Melayu (MHF) di Singapura berpendapat, sebab yang diperjelaskan beliau itu sama sekali tidak bermakna masyarakat patut membesar-besarkan dan mengagung-agungkan kuasa kolonial mahupun terlalu bersifat nasionalis. Sebaliknya ia bertujuan memberikan satu perspektif yang lebih adil dan seimbang agar masyarakat dapat memikir-ulang sejarah dengan lebih terbuka lagi dengan mengetahui kedua-dua pengamatan sejarah.

BOLEH MAJU SAMA SEPERTI SINGAPURA
Baru-baru ini, BERITAMediacorp juga sempat ke sebuah lagi negara jiran, Indonesia, khususnya Tanjung Pinang berdekatan Pulau Penyengat.
Pengarah Pelancongan Tanjung Pinang, Encik Syafaruddin Adun Taha memberi pandangannya tentang kaitan sejarah kolonial dengan tahap kemajuan di Indonesia dan Singapura.

Related article image

Maka itu, bagi Encik Syafaruddin, penjajahan British menyumbang kepada pembangunan Singapura. Malah, menurutnya lagi, sekiranya Indonesia dijajah di bawah kuasa kolonial British, ada kemungkinan kedua-dua negara yang “sejantung” ini boleh menikmati kemajuan yang sama.

“Penjajahan Belanda itu jelas ada perbezaan. Dalam hal bagaimana orang British itu masih memberi dan melayan atau orang British masih memberi harapan-harapan kepada orang orang Melayu. Jelas, kalau memang ada bentuk suatu kejadian yang sama di sini, bentuk (kemajuan) itu ada kemungkinan akan sama,” katanya.

Pandangan tentang faktor penyumbang kemajuan Singapura berbeza-beza. Selain daripada ketiga-ketiga pandangan Nusantara ini, pelbagai pandangan lain juga mula timbul di saat kita merenung 200 tahun Singapura sejak ketibaan Raffles. Sepertimana yang ditekankan oleh Dr Norshahril, sejarah perlu dibincangkan dengan sifat terbuka dan meluas untuk dijadikan sebagai pengajaran, rujukan dan sandaran.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita