Kisah kehidupan Orang Laut dihidupkan semula dalam festival seni 'Light to Night' 2026
SINGAPURA: Festival seni ‘Light to Night’ kembali untuk edisi ke-10, iaitu yang paling besar dan berlangsung paling lama setakat ini.
Sebahagian besar pemasangan seninya kali ini tertumpu di Padang. Di tapak itu jugalah kisah kehidupan masyarakat Orang Laut dihidupkan semula menerusi karya 'Rumah Laut' oleh artis tempatan, Firdaus Sani.
Ia menampilkan olahan kontemporari rumah tradisional yang dibina daripada bahan semula jadi seperti daun nipah dan kayu bakau.
"Idea ini datang daripada pengalaman saya. Saya anak pulau. Laut adalah tempat yang penting kepada orang-orang laut, tetapi darat juga (penting)," kongsi Firdaus kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Jadi untuk saya, konsepnya (mengikut) bentuk kajang... Kajang di atas bot, kajang yang dijadikan rumah, dibawa ke hulur ke hilir di seluruh Nusantara," tambahnya.
Firdaus turut menghasilkan dua pemasangan seni lain, iaitu di Art Connector dan satu lagi di ACM Green, yang mengetengahkan budaya pembuatan bubu - sejenis alat perangkap ikan tradisional.
"Budaya seperti pembuatan bubu ini bukan sekadar menangkap ikan sahaja. Budayanya berlapis-lapis. Banyak yang perlu diketahui seperti (cara) melihat air, angin, arus, dan juga bubu selam. Jadi kebanyakan pengetahuan ini diturunkan oleh datuk moyang kita," jelas Firdaus lagi.
MEMARTABATKAN BUDAYA, WARISAN ORANG LAUT
"Platform ini amat penting kerana kami boleh menyampaikan cerita-cerita nenek moyang kami. Kami boleh memartabatkan budaya dan warisan," ujar Firdaus Sani, yang merupakan keturunan generasi keempat Orang Laut.
"Kami berharap orang ramai akan bertanya tentang budaya kita, dan ambil tahu. Ini sebahagian daripada Kisah Singapura. Ini kisah masyarakat asal di Singapura," tambahnya.
PEMASANGAN SENI DISAMPAIKAN MENERUSI SIRI SANTAI
Usaha itu disampaikan menerusi siri SANTAI, selari dengan tema 'The Power in Us'.
Pada hujung minggu misalnya, kawasan Padang dihidupkan dengan pengalaman interaktif menerusi karya artis dari Taiwan, Michael Lin yang berjudul 'Gathering on the Lawn'.
Pengunjung boleh mencuci mata dengan pelbagai motif batik pada beg tanglung kertas, sebelum bergambar dan bahkan membawanya pulang.
IKON MEDIA SOSIAL BERI SENTUHAN SENDIRI DALAM LAWATAN BERPANDU
Pelbagai acara lain turut disajikan, termasuk lawatan berpandu 'My Tour, My Rules' kendalian seorang pencipta kandungan di media sosial, Zaki Hussain.
Dengan gaya tersendiri, individu yang mempunyai sekitar 184,000 pengikut di Instagram itu, membawa pengunjung memahami seni melalui sejarah dan budaya popular Singapura.
"Saya menyedari bahawa kemahiran atau kekuatan saya adalah untuk menghiburkan orang. Saya akan membawa watak itu dalam lawatan berpandu ini. Tetapi yang lebih penting niat saya adalah untuk menampilkan artis-artis yang break the rules of their time (melawan arus pada zaman mereka) kerana tema untuk lawatan berpandu ini adalah 'My Tour, My Rules'," kongsi Zaki.
Beliau juga percaya festival seni Light to Night telah menyediakan satu platform yang baik buat pencipta kandungan di media sosial sepertinya.
"Sebagai seorang pempengaruh media sosial, saya rasa ini dapat meningkatkan kemahiran saya. Bukan hanya kemahiran sosial, kemahiran 'offline' (juga) penting. Jadi saya menggunakan peluang ini untuk meningkatkan lagi kemahiran saya. Yang penting, saya dapat menghiburkan orang di luar dunia (media) sosial," ujarnya.
Light to Night Singapore 2026 akan berlangsung sehingga 31 Januari di beberapa tapak bersejarah di kawasan bandar seperti Galeri Nasional Singapura, Muzium Tamadun Asia, The Arts House dan Victoria Theatre.
Masuk adalah percuma, dengan program berbayar boleh ditempah lebih awal di laman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.