Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah inspirasi: Siti Nur Syiqa & Mohammad Haiqel Mazni muncul sebagai graduan cemerlang ITE

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 12,000 penuntut berjaya menamatkan pengajian mereka di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tahun ini.

Daripada jumlah itu, lebih 600 graduan cemerlang menerima Diploma dengan Merit atau Sijil dengan Merit manakala lebih 220 penuntut terbaik diberikan Pingat Kursus.

Selain itu, 18 graduan ITE turut diiktiraf dengan anugerah unggul yang disampaikan oleh Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

Dalam ucapannya, beliau menyentuh bagaimana Anugerah Kemajuan ITE boleh menyokong para pelajar dalam usaha mereka mempertingkatkan lagi kemahiran masing-masing dengan meraih diploma.

"Untuk menggalak lebih ramai daripada anda untuk lakukan yang sama, ITE akan meluaskan lagi tawaran Diploma Teknikal dan WSDip. Dengan minat yang berterusan daripada syarikat dan pelajar, ITE akan membolehkan lebih 10 peratus dari kohort graduan untuk maju dapatkan kelulusan diploma setiap tahun," ucap Dr Maliki.

"Sedang pemerintah menyokong para graduan ITE, saya juga menyeru majikan untuk terus bekerjasama dengan kita dalam perjalanan mempertingkatkan diri untuk graduan ITE kita," tambahnya.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Antara yang menerima anugerah tahun ini ialah Siti Nur Syiqa Abdul Samad Mohamad yang menjalani kursus Nitec dalam Seni Kulinari Asia di ITE Kolej Barat.

Pada usia 12 tahun, Siti Nur Syiqa berpindah dari Indonesia ke Singapura untuk lanjutkan pelajarannya di sekolah menengah.

Ketika itu, beliau menghadapi pelbagai cabaran untuk menyesuaikan diri.

"Cabaran terbesar saya adalah dalam halangan bahasa kerana sewaktu itu saya berpindah ke Singapura tanpa mengetahui bahasa Inggeris. Itu menjejas pelajaran saya kerana saya tidak faham apa yang dijelaskan oleh guru," kongsi Syiqa kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

SERTAI KELAS TAMBAHAN UNTUK PERBAIKI PELAJARAN

Gambar: Siti Nur Syiqa

Itu bagaimanapun tidak menjadi halangan untuk Syiqa memburu minatnya dalam bidang masakan.

"Ketika saya menerima hasil keputusan pertama saya, saya sedar bahawa saya tidak melakukan yang baik dari segi gred sebab itu saya memberitahu diri saya bahawa saya harus melakukan sesuatu untuk menaikkan nilai saya. Sehabis kelas, biasanya saya akan bertanya guru saya untuk berikan kelas-kelas tambahan jadi saya boleh 'catch up' dan memahami apa yang sedang dijelaskan dalam kelas," menurut Syiqa.

Malah untuk penuntut berusia 20 tahun itu, ibunya menjadi inspirasi untuknya terus menceburi bidang memasak.

"Sejak saya kecil lagi, saya selalu membantu ibu saya di dapur. Biasanya saya selalu membantu ibu saya untuk menyiapkan bahan-bahan. Saya rasa memasak itu sangat menarik kerana saya dapat menggunakan pelbagai bahan untuk membuat satu hidangan," jelas Syiqa.

INGIN TERUS SUMBANG KEPADA MASYARAKAT MENERUSI MASAKAN

Hasil kerja kerasnya, Syiqa cemerlang di ITE dan menerima Pingat Emas Tay Eng Soon.

Syiqa juga ingin terus sumbang kepada masyarakat menerusi masakan.

"Saya berasa sangat terharu dan bangga untuk mendapat anugerah ini. Saya rasa ia mencerminkan ketabahan saya. Ketika saya menghadapi cabaran, saya harus mencuba sedaya upaya untuk menghadapinya daripada mengelak daripadanya. Bahkan orang yang paling berjaya di dunia ini pun tidak mendapatkan kejayaan mereka dalam sekelip mata sahaja," kongsi Syiqa.

"Saya rasa saya dapat menggunakan semua pengetahuan yang saya raih dari sekolah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Saya ingin membuat resipi yang lebih mudah untuk ditelan dan membantu warga emas kerana saya rasa di Singapura sekarang, warga emas semakin meningkat dan saya rasa amat penting untuk kita sumbang kepada masyarakat," tambahnya.

Syiqa kini sedang melanjutkan pelajaran di Diploma Teknikal Seni Kulinari dalam kursus Pengurusan Restoran di ITE Kolej Barat dan berharap dapat menyambung pengajian sarjana di Institut Lyfe di Perancis.

HAIQEL KEMBALI KE ITE PADA USIA 22 TAHUN; BELAJAR SAMBIL BEKERJA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Seorang lagi pelajar cemerlang ialah Mohammad Haiqel Mazni yang menerima Pingat Emas e2i.

Meskipun keciciran waktu sekolah menengah, Haiqel tekad untuk kembali ke bangku sekolah pada usia 22 tahun, bagi lanjutkan pelajaran dalam kursus Teknologi Infokom di Nitec secara sambilan.

Ini meskipun perlu belajar sambil bekerja sebagai Penolong Penyokong IT untuk menyokong keluarganya.

"Cabaran yang saya menghadapi adalah pengurusan masa dan kerja. Saya rasa salah satu cara untuk menanganinya ialah untuk kerap berehat dan walaupun saya menghadapi cabaran ini, ia memberi saya daya tahan dan mengajar saya untuk menguruskan masa dengan lebih baik," kongsi Haiqel kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

MINAT DALAM BIDANG TEKNOLOGI SEJAK KECIL

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Kursus itu juga merupakan satu peluang yang baik untuk pelajar itu raih sebanyak mungkin pengalaman dalam bidang yang sudah beliau minati sejak kecil lagi.

"Sejak saya kecil lagi, saya memang meminati bidang teknologi dan komputer, jadi kursus ini memang menepati pelbagai titik kritikal bagi saya. Ia juga memberi saya pelbagai pengalaman 'hands-on' atau praktikal jadi masa saya dalam kursus ini juga amat bermakna," jelas Haiqel.

Tidak pernah terlintas di fikiran Haiqel bahawa di akhir pengajiannya, beliau akan muncul sebagai graduan cemerlang.

KELUARGA SEBAGAI MOTIVASI UNTUK BERJAYA

Beliau amat bersyukur dengan sistem sokongan yang beliau terima di ITE.

"Motivasi yang saya terima sebenarnya dari keluarga saya. Mereka yang memberi saya sokongan yang amat baik jadi sebab itu, saya dapat melakukan yang terbaik dan cemerlang dalam program saya," dedah Haiqel.

"Saya sangat bersyukur mendapat anugerah kerana ia bukan sahaja mencerminkan kerja keras bahkan satu cerminan sokongan orang di sekeliling saya terutama para pensyarah di ITE, mentor dan keluarga saya. Untuk meringkaskan, anugerah ini sebenarnya untuk mereka yang sudah menolong saya sepanjang perjalanan saya," tambahnya.

Haiqel berharap dapat terus memburu impiannya dalam bidang teknologi dan berharap dapat meneruskan pengajian dalam Ijazah Bekerja dan Belajar pada masa hadapan.

Beliau antara 18 pelajar cemerlang yang menerima anugerah dalam majlis upacara tamat pengajian ITE pada Isnin (29 Jul).

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan