Skip to main content

Singapura

Kisah inspirasi dua anak muda mula perniagaan dari rumah hingga capai kejayaan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Jun 2023 07:20PM Dikemas Kini : 06 Jun 2023 11:57AM

BERITAmediacorp: Niat membuka perniagaan menjual makanan yang lebih sihat atau "meal prep" timbul kerana ingin membantu keluarga semasa pandemik COVID-19.

Lantas, tidak terlintas di fikiran Nabill Shukry Johary, 25 tahun, bahawa perniagaannya itu akan dapat sambutan yang amat menggalakkan oleh para pelanggan dalam masa dua tahun ia dibuka.

Cheekies, yang dibuka pada Julai 2021, oleh mahasiswa sambilan dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), menawarkan dada ayam yang diperap dengan pelbagai rasa untuk membantu para pelanggan menyediakan makanan sihat atau "meal prep" mereka.

Related article image


Idea "meal prep" itu ternyata mendapat sambutan hangat dengan sekitar 10,000 kilogram daging ayam dan kambing berjaya dihasilkan dan dijual sepanjang sekitar dua tahun itu.

"Kita memulakan perniagaan dari rumah sebab senang untuk menubuhkannya, dan kita ambil tempahan dan dari wang tempahan itu, kita dapat membuat perniagaan itu. Jadi ingin membuat perniagaan dari rumah tiada perbelanjaan lain jadi lebih senang untuk menguji konsep Cheekies," kongsi Encik Nabill kepada BERITAmediacorp.

"Semasa perkhidmatan negara, saya ingin makanan berkhasiat tetapi di luar sangat mahal. Jadi kita menyediakan khidmat ini dengan membuat "meal prep" di mana kita perapkan ayam dan melembutkannya jadi ia senang untuk dimasak dan senang untuk dimakan," tambah beliau.

Related article image


Menurut Encik Nabill, antara keistimewaan "meal prep" yang disediakan beliau termasuk pilihan yang diberikan kepada pelanggan untuk menyediakan apa-apa sahaja hidangan dengan ayam yang dibeli.

Misalnya, "meal prep" itu disediakan dalam pelbagai bungkusan, bermula dengan paket satu kilogram dengan harga dari S$19.99 hingga S$125.99.

"Untuk "meal prep" di luar sana, mereka menjual bento tradisional tetapi harga mereka agak mahal. Jadi kita ada di pertengahan, kita menjual ayam ini semua dan mereka boleh masak apa-apa yang mereka inginkan," menurut Encik Nabill.

"Kalau macam dari meal plan di luar, mereka akan memberi rancangan hidangan (meal plan) buat satu minggu dan tidak boleh tukar (menu). Kita pula beri ayam sahaja dan mereka boleh buat apa-apa sahaja yang mereka inginkan dengannya," tambah beliau.

ADA RANCANGAN UNTUK KEMBANGKAN CHEEKIES

Related article image

Encik Nabill juga perlu bijak mengatur strategi pemasaran dan mengimbangi masa antara tuntutan sekolah dan kerjaya sepenuh masanya.

"Sebagai peniaga muda, sebab saya bekerja sepenuh masa juga, saya ada banyak tanggungjawab. Saya juga belajar secara sambilan untuk meraih ijazah dan menjalankan perniagaan ini. Jadi tidak ada banyak masa," kongsi Encik Nabill.

Ini juga antara pertimbangan yang perlu diambil kira Encik Nabill sebelum mengembangkan lagi perniagaannya itu.

Related article image


"Sebab kita membuat pemasaran menerusi Instagram dan TikTok, jadi banyak pelabur yang datang untuk mendengar saya membuat cadangan. Ada yang sudah membuat tawaran tetapi kita belum memutuskan dan memilih lagi," ujar Encik Nabill.

Oleh itu, beliau amat menghargai sistem sokongan kukuh yang beliau terima dari keluarga dan kenalan rapat untuk menyediakan ayam-ayam itu.

FIKRI AMIN ROHAIMI KEMBANGKAN PERNIAGAAN HBB KEPADA PERNIAGAAN DI PUSAT PENJAJA

Related article image

Seperti Encik Nabill, perniagaan Fikri Amin Rohaimi, 24 tahun, yang dipanggil Blackgoat itu, juga bermula dari rumah.

Selepas menduduk peperiksaan GCE 'A', Encik Fikri mendapat idea untuk membuka HBB sendiri yang menjual nasi briyani pada mulanya dan kemudian menjual burger juga.

Beliau mula minat memasak dari kecil lagi selepas melihat datuknya di dapur.

Kini, beliau mengambil langkah berani untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka gerai di pusat penjaja Jalan Batu.

"Saya baru meninggalkan kerja jadi saya mencampak idea-idea saya kepada ibu bapa saya. Jadi kita bermula menjual burger. Jadi saya buka kedai ini sebab saya rasa saya ada idea yang saya mahu lakukan dan saya mahu masak makanan yang menggunakan bahan-bahan yang bermutu tinggi," kongsi Encik Fikri kepada BERITAmediacorp.

Beliau juga cuba menetapkan harga yang berpatutan kerana terdapat ramai warga emas dan golongan yang memerlukan di kawasan tersebut.

"Pada hari biasa, kita menjual makanan panggang seperti 'chicken chop', yang berharga S$7 sahaja dan kita menjual 'steak' pada S$14 sahaja. Jadi ini sepertinya bagi memenuhi citarasa masyarakat di kawasan kejiranan ini," kongsi Encik Fikri.

Related article image


Menu di gerainya juga ditukar setiap hari bagi memastikan ramuan yang digunakan mereka semuanya segar.

"Pada asas mingguan, kita pun selalu menukar menu kerana bila saya pergi ke pasar, saya akan jumpa bahan-bahan yang segar seperti ikan, ketam dan kupang jadi saya akan mempunyai idea untuk menyediakan makanan dengan bahan-bahan itu," tambahnya.

CABARAN BUAT PERALIHAN DARI HBB KEPADA PERNIAGAAN DI PUSAT PENJAJA

Bekas penolong cef restoran Michelin 3 bintang itu juga berkongsi bahawa fasa peralihan daripada menjadi HBB kepada pemilik gerai juga mencabar bagi dirinya.

Ini termasuk mengurus perbelanjaan seperti bil dan gaji pekerja.

"Ini realiti baru untuk saya kerana saya perlu membuat semua perkara ini. Untuk membayar pekerja saya juga dengan jumlah yang berpatutan jadi saya perlu bekerja lebih keras," ujar Encik Fikri.

Selain itu, Encik Fikri juga perlu menangani maklum balas yang diterima terhadap masa menunggu untuk makanannya, lebih-lebih lagi selepas perniagaannya itu tular di media sosial.

Pelanggan yang diterima mereka naik mendadak dari 60 orang kepada 100 orang.

"Pasukan kita kecil dan tidak begitu berpengalaman jadi ada ramai pelanggan yang memberi maklum balas sebab makanan lambat, dengan adanya barisan yang panjang dan peraturan besar kita ialah kita harus masakkan makanan yang segar ," menurut Encik Fikri.

Related article image
Meskipun begitu, ia tidak mematahkan semangat Encik Fikri dan pasukannya untuk terus menyediakan makanan yang lebih bermutu tinggi bagi pelanggannya.

"Saya ada rancangan besar untuk membuka restoran. Namun, buat masa sekarang, saya hanya mahu memberikan tumpuan kepada kedai saya inilah," tambah beliau yang juga merupakan mahasiswa sambilan di SUSS.

Bagi Encik Fikri dan Encik Nabill yang mula berjinak-jinak dalam perniagaan pada usia muda, kegagalan yang mereka tempuhi lebih mematangkan diri mereka sebagai peniaga.

Lantas, Encik Fikri menasihati anak muda di luar sana untuk tidak takut "menghadapi kegagalan" dan sentiasa bekerja keras untuk menghadapi segala rintangan untuk berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita