Kisah inspirasi: Dr Marhaini imbangi masa untuk kerjaya, keluarga demi genggam ijazah Doktor Pendidikan
SINGAPURA: Ketika meja penuh dengan buku latihan, nota ulang kaji dan bahan persiapan bagi peperiksaan anak-anak, seorang lagi ‘pelajar’ turut duduk bersama - ibu mereka sendiri.
Dalam mempersiapkan anak-anaknya menghadapi peperiksaan besar, pensyarah sambilan, Dr Marhaini Abdul Hamid memilih untuk memulakan perjalanan menyertai Program Kedoktoran dalam Pendidikan (EdD) di Universiti Teknologi Nanyang-Institut Pendidikan Nasional (NTU-NIE).
Ini kerana bagi dirinya, cara terbaik untuk mendidik anak adalah melalui teladan.
"Cara yang baik untuk mendidik anak-anak adalah melalui teladan dan kita sebagai ibu bapa adalah 'role model' untuk mereka. Jadi semasa saya memulakan EdD, anak-anak saya pada masa itu, seorang mengambil PSLE, seorang Menengah tiga dan seorang lagi berada dalam Tahun keempat, Program Bersepadu (IP). Jadi pada masa itu hasratnya adalah supaya saya dapat belajar bersama mereka terutama apabila mereka mengambil peperiksaan nasional seperti di peringkat 'A' dan 'O'," kongsi Dr Marhaini kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Jadi saya rasa mari kita belajar bersama dan juga bila anak-anak nampak 'oh ibu juga belajar, ibu juga harus memenuhi tarikh akhir. Jadi, saya berharap ia dapat memberi mesej kepada mereka tentang daya tahan dan juga semangat juang dalam pembelajaran," tambahnya lagi.
BELUM PUAS DENGAN ILMU YANG ADA; INGIN TINGKATKAN KEMAHIRAN, KEKAL RELEVAN
Ini menjadi antara motivasi bagi Dr Marhaini kembali ke bangku sekolah, sekitar tujuh tahun yang lalu.
Bahkan, keputusan itu lahir daripada keinginannya untuk kekal relevan dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah dengan pesat.
Lantaran itu, beliau memegang teguh kepada kepentingan mempertingkatkan diri dan pembelajaran sepanjang hayat,
"Saya ada minat yang mendalam dalam pendidikan dan untuk kekal relevan dalam bidang ini, saya rasa saya tidak puas dengan ilmu yang sedia ada," ujar Dr Marhaini, 52 tahun.
Bagi saya pembelajaran ialah satu perjalanan yang berterusan. Ia bukanlah satu destinasi dan juga dunia ini berubah dengan pantas dalam teknologi, industri dan cara belajar dan mengajar jadi jika saya berhenti belajar, saya akan ketinggalan dan mungkin saya juga tidak akan dapat kekal relevan," tambah beliau.
INGIN PELBAGAIKAN GAYA PENGAJARAN UNTUK MANFAATKAN PELAJAR
"Saya sekarang mengajar di universiti jadi di peringkat ini, pelajar-pelajarnya lebih suka sesuatu yang mencabar dan kepelbagaian dalam cara kita mengajar. Dengan peningkatan ini, saya juga dapat mempelbagaikan gaya pengajaran saya dan harap ia juga dapat memanfaatkan pelajar yang saya mengajar," menurutnya lagi.
Perjalanan yang dijangka dapat diselesaikan dalam empat atau lima tahun ternyata mengambil masa lebih lama daripada yang dibayangkan.
Sebagai pelajar sambilan, tempoh maksimum untuk menamatkan EdD ialah tujuh tahun dan Dr Marhaini menggunakan keseluruhan tempoh itu bagi menghabiskan pengajiannya.
TIDAK MUDAH IMBANGI KERJAYA, KELUARGA, PELAJARAN
Beliau menamatkan pengajian pada tahun lalu, dan menjadi antara yang diraikan dalam Majlis Konvokasi NTU pada Julai tahun ini.
“Kami sebagai pelajar sambilan memang diberikan maksimum tujuh tahun. Pada mulanya, saya dan teman-teman fikir mungkin empat atau lima tahun boleh diselesaikan tetapi kerana komitmen kerja dan komitmen keluarga, bukan senang untuk membahagikan masa keluarga, anak-anak, kerja, mengajar dan juga EdD,” jelasnya.
Selain tugasan mengajar, beliau memerlukan masa yang panjang untuk mengumpul dan menganalisis data penyelidikan.
Cabaran yang lebih besar muncul pada tahun ketiganya.
“Saya mula menulis selepas Bab Pertama, kemudian saya harus menukar penyelia. Jadi topik dan kaedah berubah dan itu menyebabkan saya hilang hampir satu tahun,” katanya.
DAPAT BELAJAR BERSAMA ANAK-ANAK, KORBAN WAKTU TIDUR
Namun, di sebalik kepayahan itu, beliau tetap melihat hikmahnya.
Masa yang panjang itu memberinya peluang untuk “belajar bersama” ketiga-tiga anaknya pada fasa penting mereka, termasuk anak bongsunya yang ketika itu menduduki peperiksaan IB.
"Sekurang-kurangnya, untuk ketiga-tiga anak saya, saya berada bersama mereka ketika mereka mengambil peperiksaan di peringkat nasional,” kata Dr Marhaini.
Menjalani pengajian EdD di samping mengimbangi kerjaya dan keluarga juga memerlukan banyak pengorbanan.
Bagaimanapun, Dr Marhaini bersyukur beliau tidak mengharunginya seorang diri.
"Keluarga saya banyak memberi sokongan; suami, ibu bapa dan adik saya. Pada hujung minggu terutamanya hari Ahad, ia dikhaskan untuk keluarga. Kami cuba mengekalkan rutin tidak kira betapa kecil, ia harus dikekalkan walaupun kami sibuk. Setiap pagi, semasa anak-anak berada di sekolah menengah, kami cuba menghantar mereka. Setelah menghantar mereka ke sekolah, saya dan suami akan pergi sarapan sebelum dia menghantar saya ke kerja. Jadi, rutin itu juga memberi peluang untuk saya menghabiskan masa walaupun sedikit pada waktu pagi, bersama anak-anak dan suami," dedah Dr Marhaini.
Bagi memenuhi tuntutan kerja dan penulisan, waktu tidurnya juga sering dikorbankan.
Meskipun beruntung kerana pekerjaannya di Institut Edvantage sebagai Pengarah Pengajian memberikannya fleksibiliti untuk bekerja dari rumah atau sekolah.
"Selalu memang kurang tidur kerana kerja dan penulisan harus dihabiskan dan dibuat pada waktu malam. 'Laptop' tidak pernah ditinggalkan, ia dibawa ke mana-mana sahaja supaya saya boleh bekerja walaupun sedang bercuti," jelasnya.
INGIN TEROKA INTERVENSI AWAL BANTU ANAK-ANAK KAWAL TEKANAN SEMASA DUDUKI PEPERIKSAAN PENTING
Melalui penyelidikannya, beliau meneliti gaya keibubapaan, tekanan dan kesejahteraan pelajar semasa PSLE - isu-isu yang dekat di hati masyarakat.
Dr Marhaini berkongsi, “Kajian saya tentang gaya keibubapaan, tekanan dan kesejahteraan pelajar semasa PSLE. Untuk masa depan, saya harap jika boleh, saya dapat meneliti pembangunan psikologi dan emosi kanak-kanak."
"Saya juga mahu meneroka intervensi awal dan bagaimana kita boleh membantu anak-anak dalam membina daya tahan mereka, keyakinan diri dan bagaimana mereka boleh mengawal tekanan terutama sekali dalam menghadapi peperiksaan-peperiksaan besar," tambahnya.
Bagi Dr Marhaini, EdD memberinya pandangan yang lebih luas dalam membimbing pelajar serta memahami bagaimana kurikulum dapat disusun dengan lebih berkesan.
"(Ia) memberi saya pandangan yang lebih luas dalam reka bentuk kurikulum dan dalam membimbing pelajar dengan lebih berkesan. Jadi, saya harap dengan gabungan kajian, penyelidikan yang saya lakukan dan amalan dalam mengajar, saya harap dapat memanfaatkan ilmu dalam kehidupan sebenar bukan hanya dalam penulisan tesis saya," ujarnya.
NTU-NIE mula menawarkan EdD pada 2012 bagi menyediakan program kedoktoran bagi pemimpin dan karyawan dalam bidang pendidikan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.