Kisah inspirasi 2 pelajar PSLE dengan cita-cita tinggi
SINGAPURA: Masih segar di ingatan Alya Qaireena Mohamed Rafi perasaan sedih dan kecewa tahun tahun lalu apabila dia gagal dan perlu menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) sekali lagi.
Apatah lagi dia perlu bermula dari bawah dalam persekitaran bilik darjah yang "asing" dengan rakan dan guru baharu.
Itulah hakikat yang perlu dihadapi Alya, 13 tahun.
Namun begitu, pelajar itu tabah dan bertekad untuk lakukan yang lebih baik lagi tahun ini.
"Saya sangat sedih tetapi saya tahu saya ingin menduduki PSLE sekali lagi. Saya bekerja lebih keras untuk mengambil peperiksaan PSLE dengan lebih baik. Saya memberitahu kawan saya apa yang saya rasakan dan mereka menolong saya agar saya berasa lebih gembira," kongsi Alya.
"Saya renung kembali apa kesilapan saya tahun lalu dan gunakannya untuk perbaiki apa yang saya lakukan tahun ini," tambahnya.
ALYA BANGKIT DARIPADA KEGAGALAN, RAIH KEPUTUSAN MEMUASKAN
Berkat usaha dan sokongan yang tidak putus-putus dari keluarga dan sekolah, terutama sekali gurunya, Nur Azlindah Azlan, atau lebih dikenali sebagai 'Mrs Sofian', Alya berjaya bangkit daripada kegagalan dan meraih kembali keyakinan yang hilang.
Alya berjaya lulus semua subjek kali ini.
"Ada ramai orang (yang membantu). Ada Mrs Sofian, ibu saya dan kawan-kawan saya. Mrs Sofian memberikan saya motivasi untuk membuat lebih baik dan kawan-kawan saya menolong saya untuk mengenal pasti bahawa saya mempunyai lebih banyak potensi dalam (diri) saya. Saya berharap mereka tahu bahawa saya sangat gembira atas pertolongan mereka kepada saya," ujar pelajar itu.
Sebagai guru bilik darjahnya, Cik Azlindah juga banyak meluangkan masa bersama Alya untuk adakan kelas tambahan bagi membantunya mengatasi subjek-subjek lemahnya.
"Sains sangat sukar untuk saya tetapi Mrs Sofian menolong saya memahami Sains dengan lebih baik. Dia menolong saya (pelajari) konsep-konsep dan bagaimana saya boleh mengatasi dan memahami soalan-soalan dalam PSLE," kongsi Alya.
ALYA DAPAT TAWARAN DSA SENI VISUAL
Daripada seorang pelajar yang kurang keyakinan diri, Alya kini lebih memahami kekuatannya.
Ia termasuk minat dalam seni visual, yang mendapatkannya tempat di Sekolah Menengah Jurong West menerusi skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).
"Dalam beberapa bulan, pertama saya meluangkan masa untuk mendekati Alya dan juga untuk memberikannya semangat. Saya meyakinkannya bahawa saya mengambil berat terhadapnya dan saya akan bekerja rapat dengannya untuk memastikan beliau akan lulus, dan bukan sahaja lulus tetapi juga cemerlang dalam peperiksaan PSLEnya," kongsi Cik Azlindah.
"Saya kerap memberi maklum balas kepada ibu Alya tentang prestasi holistiknya di dalam kelas. Saya perhatikan Alya ada kekuatan dalam kemahiran lisan. Oleh itu, saya mencari beberapa peluang untuk meningkatkan kemahirannya dalam lisan di dalam pelbagai jenis aktiviti dalam bilik darjah. Saya juga memanfaatkan minatnya dalam seni visual untuk mendapatkannya melakar peta minda sains untuk rakan-rakan sedarjahnya," tambah beliau.
GURU ALYA BANYAK BANTU KEMBALI KEYAKINAN ALYA
"Alya dapat menghadapi cabaran dengan lebih yakin sekarang. Contohnya, walaupun Alya lemah dalam ejaan Bahasa Inggeris, beliau mampu menulis sebuah karangan yang menakjubkan. Lagi satu, kekuatannya ialah Alya mempunyai ciri-ciri seorang ketua, di mana beliau berani berbicara di hadapan orang ramai tanpa berasa gugup," menurut guru dengan pengalaman lebih 10 tahun itu.
"Saya rasa sangat gembira baginya dan juga sangat tersentuh kerana kami berdua betul-betul bekerja keras untuk memastikan bahawa beliau lulus kali ini," tambahnya lagi berhubung keputusan Alya yang memuaskan.
Alya juga menanam hasrat untuk memasuki industri seni satu hari nanti.
Melihat kakaknya melukis dari kecil serta para pelukis di media sosial, Alya tertarik untuk melakukan perkara yang sama.
"Cita-cita saya ialah saya ingin menjadi pelukis dan guru seni sebab saya suka melukis dan saya ingin mengajar murid-murid untuk melukis," kongsi Alya.
Pelajar itu juga berharap dapat jadi inspirasi untuk anak muda lain kecapi apa yang mereka impikan.
"Untuk semua di luar sana, jika anda tidak berpuas hati dengan markah anda, tidak mengapa. Lebih banyak lagi menanti anda di masa hadapan. Anda masih ada sekolah menengah jadi jangan risau. Walaupun anda berada di bawah, anda pasti boleh bangkit," tambah Alya.
KHEIRA QALEYSHA BIJAK IMBANGI MASA
Seorang lagi murid cemerlang tahun ini ialah Kheira Qaleysha Mohammad Feroz, 12 tahun, dari Sekolah Rendah Marsiling.
Sebagai anak sulung, Kheira banyak meluangkan masa menjalankan tanggungjawab di rumah untuk menjaga adik dan keluarganya.
Ia dilakukan di samping menggalas peranan sebagai Ketua Pengawas di sekolah.
Namun begitu, ia sama sekali tidak menjejas tumpuan pelajar itu yang bijak mengimbangi masa untuk menduduki PSLE.
"Sudah tentu, saya harus mengulang kaji pelajaran saya tetapi saya beri lebih banyak tumpuan kepada kesejahteraan mental saya kerana saya percaya yang jika saya terlalu tertekan dengan pelajaran saya, saya tidak boleh fokus dan tidak boleh ingat maklumat yang saya ulang kaji," kongsi Kheira kepada BERITA Mediacorp.
"Jadi saya memastikan yang saya cukup minum, cukup rehat dan yang paling penting, saya memastikan yang saya cukup masa bersama keluarga saya yang membuatkan saya gembira," tambahnya.
MINAT DALAMI BAHASA DAN BUDAYA MELAYU
Meskipun sudah lama minat bahasa Melayu kerana menonton kartun dan mendengar lagu Melayu, Kheira berkongsi bahawa sekolah rendahnya itu juga banyak memberi peluang baginya mendalami bahasa dan budaya itu.
"Saya dapat pelajari lebih lanjut tentang budaya Melayu, sastera dan sebagainya. Sejak itu, saya mahu tahu dengan lebih (mendalam) tentang budaya dan Bahasa Melayu kerana Sekolah Rendah Marsiling telah menanam minat Bahasa Melayu dalam (diri) saya," ujar pelajar itu.
Kheira juga mahu terus tekun dalam pelajarannya agar dapat mencapai cita-citanya menjadi seorang jururawat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.