Skip to main content

Singapura

Kisah inspirasi 2 pelajar peringkat GCE 'O' dengan cita-cita tinggi

Sekitar 86.8 peratus pelajar lulus sekurang-kurangnya lima mata pelajaran dalam peperiksaan peringkat O bagi kohort 2023.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Jan 2024 09:53PM Dikemas Kini : 12 Jan 2024 09:20AM
SINGAPURA: Sekitar 86.8 peratus pelajar lulus sekurang-kurangnya lima mata pelajaran dalam peperiksaan peringkat O bagi kohort 2023.

Ini tinggi sedikit daripada 86.2 peratus yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Antara 20,389 pelajar yang lulus lima atau lebih mata pelajaran ialah pelajar Sekolah Menengah Meridien, Zulhilmi Zul’irfan dan pelajar Sekolah Menengah Northbrooks, Amira Qistina Norisham.

BIJAK IMBANGI MASA DENGAN KEGIATAN LUAR SEKOLAH

Kerja-kerja sekolah bukan penghalang bagi Zulhilmi Zul’irfan, 17 tahun untuk melakukan kegiatan-kegiatan luar sekolah.

Selain aktif bermain bola sepak dan sukan silat, Zulhimi juga giat melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.
Beliau sudah mula menceburkan diri dalam bidang sukan silat sejak berumur 10 tahun lagi.

Malah beliau juga sudah berjaya merangkul beberapa pingat termasuk pingat Emas bagi Kejuaraan Silat Antarabangsa Sarawak.

Di sekolah pula, beliau menggalas tanggungjawab sebagai pengawas di Sekolah Menengah Meridian.

Bagi memastikan beliau boleh mengurus masanya dengan baik, Zulhilmi memberitahu wartawan kami Nur Arina Ahmad Anis bahawa beliau akan membuat jadual waktu setiap hari.

"Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pekerja belia kerana saya gemar dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan masyarakat dan belia. Saya mengambil aspirasi daripada dua ustaz Masjid Darul Ghufran iaitu Ustaz Omar dan Ustaz Syakir. Mereka telah banyak mendedahkan saya dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan masyarakat dan belia. Mereka juga telah menolong saya untuk menjadi seorang yang berbakti kepada masyarakat. Oleh demikian saya ingin melakukan yang sama," ujar Zulhilmi.

Disebabkan oleh pencapaian cemerlangnya dalam bidang akademik dan perwatakannya yang baik sehingga disenangi ramai, beliau terpilih sebagai 'Valedictorian' sekolah bagi kohortnya.

Meskipun akur berasa terkejut kerana tidak pernah menjangkakan akan menjadi 'Valedictorian' sekolah, Zulhilmi berkata bahawa beliau berasa amat terharu dengan pengiktirafan itu.

Dengan keputusan peperiksaan GCE peringkat 'O', Zulhilmi akan mengikuti kursus Pembangunan Masyarakat di Politeknik Ngee Ann.

AMIRA QISTINA NORISHAM ANGGOTA ORKESTRA BELIA NASIONAL SINGAPURA

Lagi seorang pelajar yang boleh menghela nafas lega selepas menerima keputusan GCE 'O' hari ini (11 Jan) ialah Amira Qistina Norisham.

Pelajar Sekolah Menengah Northbrooks itu mahu menceburi bidang yang diminatinya iaitu muzik.

Minatnya itu berputik sejak kecil lagi.

Beliau berkongsi kepada BERITA Mediacorp, ayah dan abangnya seringkali bermain gitar di rumah, manakala beliau akan bermain piano.

Bakatnya dalam bidang muzik mula diasah semenjak beliau menyertai pasukan pancaragam sekolah.
Beliau mula bermain alat muzik, French Horn ketika Menengah 1, namun terpaksa mempelajarinya dari rumah semasa pandemik COVID-19.

Berkat kegigihannya, anak muda ini terpilih untuk menganggotai Orkestra Belia Nasional Singapura (SNYO) sebagai pemain French Horn sejak tahun lalu.

"Saya tidak percaya yang saya boleh memasuki Orkestra Belia Nasional Singapura kerana memang susah untuk menjadi anggota mereka. Mereka mempunyai kriteria yang sangat tinggi tetapi saya mendaftarkan diri untuk memasuki SNYO ini pun adalah untuk mendapat pengalaman melalui uji bakat. Ini untuk mempersiapkan diri sendiri untuk kemasukan maktab rendah melalui DSA," kata Amira.

KENANG PENGORBANAN IBU BAPA

Dalam pada itu, beliau berkongsi bahawa ibu bapanya banyak berkorban baginya.

Selain sanggup membayar yuran yang tinggi bagi kelas-kelas piano dan French Horn, ibu bapanya turut membelikan piano agar beliau dapat berlatih di rumah.

Meskipun gigih meluangkan masa berlatih French Horn sekurang-kurangnya 1.5 jam setiap hari, beliau memastikan bahawa pelajarannya tidak diabaikan.

Amira berkongsi bahawa beliau akan secara konsisten memastikan bahawa beliau meluangkan masa mengulang kaji mata pelajarannya pada setiap hujung minggu.

Ditanya tentang cita-citanya, Amira berkongsi bahawa beliau berharap dapat menganggotai orkestra yang berprestij dan mendalami bidang muzik.

Dengan keputusan yang diraih, Amira layak untuk memasuki Maktab Rendah Anderson-Serangoon menerusi skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).
Para pelajar yang mahu mendaftar masuk ke maktab rendah, Institut Millenia, politeknik dan ITE boleh melakukan demikian menerusi Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE) hingga pukul 4.00 petang pada 16 Januari.
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita