Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah inspirasi 2 murid yang harungi penyakit, masalah kesihatan untuk lulus PSLE

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pada usia 10 tahun, Muhammad Ridhwan Mohammad Fadli dijangkiti virus yang menyebabkan serangan jantung.

Malah ayahnya, Encik Mohammad Fadli Ramlan memberitahu wartawan Nurhelmy Hakim bahawa keluarganya sudah menganggap anaknya itu 'sudah tiada'.

Ridhwan bertarung nyawa di hospital dan bergantung pada sokongan hayat selama 14 hari akibat serangan 'myocardial infarction'.

Selepas tiga bulan terdampar di hospital, Ridhwan mengalami pula pelbagai komplikasi kesihatan lain, termasuk strok dari bahagian punggung ke bawah.
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Murid Sekolah Rendah North View itu yang dahulunya gemar bersukan, kini bergantung pada kerusi roda untuk bergerak.

Walaupun begitu, tekadnya untuk terus belajar tidak pernah pudar.

Ridhwan berkata: "Saya sebenarnya takut gagal dalam peperiksaan. Tetapi saya tidak pernah rasa untuk putus asa. Saya sering mengingatkan diri saya yang saya boleh melakukannya."

Kebolehannya untuk memproses informasi juga mula merosot dengan ketara.

Setelah berbincang dengan pihak sekolah, ibu bapa Ridhwan memutuskan untuk membenarkannya mengambil kesemua empat subjek pada peringkat asas.

Perubahan itu terbukti memberi manfaat kepada Ridhwan, kerana ia membantu meningkatkan keyakinannya dan membolehkannya memahami subjek yang diajar dengan lebih baik.

"Saya rasa kurang tertekan apabila beralih mengambil subjek-subjek peringkat asas," kata Ridhwan.

Laluan Ridhwan menduduki peperiksaan PSLE tidak mudah, namun berkat sokongan padu daripada keluarga, guru-guru, dan teman-temannya, Ridhwan berjaya melangkah ke peringkat sekolah menengah.

"Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya. Saya juga akan merindui guru-guru saya yang sentiasa membantu saya dalam mata pelajaran saya," kata Ridhwan sambil menangis teresak-esak.

Encik Fadli pula berkata: "Kami sebagai ibu bapa, kami sentiasa memberikan kata-kata positif. Sekiranya dia tidak dapat menjadi apa yang dia inginkan, masih ada peluang untuk mengejar impian lain. Kami doakan yang terbaik dan membuat yang terbaik untuk dia.

Ridhwan berjaya melangkah ke sekolah menengah dan bercadang untuk ke Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim.

"Walaupun markah yang beliaudapat, agak tidak memuaskan untuknya, tetapi bagi kami, sebagai ibu bapa, kami percaya yang beliau telah membuat yang terbaik, untuk meneruskan kehidupannya, memberikan perangsang dan semangat kepada kanak-kanak yang senasib dengannya," ujar Encik Fadli.

PELAJAR AUTISTIK NUR FELISYAH SHAROMSAH LULUS SEMUA SUBJEK PSLE

Seorang lagi pelajar yang berjaya melangkah ke sekolah menengah ialah Nur Felisyah Sharomsah, 15 tahun.
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Felisyah, yang menghidap Autisme, sebelum ini bersekolah tadika di Malaysia, tetapi terpaksa 'belajar dari rumah' semasa pandemik COVID-19.

Pada 2022, beliau memasuki Sekolah Rendah North Woodgrove sebagai pelajar Darjah 4 pada usia 13 tahun.

Bagi menyokong proses pendidikannya, Felisyah mengambil mata pelajaran pada peringkat asas.

Beliau merasakan pendekatan ini membantunya belajar pada kadar yang selesa, tanpa tekanan untuk bergerak terlalu pantas.

Disebabkan Autisme, Felisyah menghadapi cabaran dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.

Ibu Felisyah, Cik Nazirah Rahmin, 41 tahun, berkata: "Dia seorang yang sangat pemalu, takut bercakap. Cabaran dia adalah dengan keadaan dia, dia tidak tahu berinteraksi, tidak tahu mengira, jadi sangat mencabar. Ketika dia balik ke rumah, dia tertekan dan menangis. Di sekolah ada kes-kes buli, kawan-kawan akan kata kepadanya mengapa masih di sekolah rendah walaupun sudah berumur 15 tahun,"

Namun, Felisyah tabah dan berjaya menyesuaikan diri dengan baik di sekolah aliran utama.

"Saya susah untuk faham subjek-subjek, tetapi guru-guru dan keluarga saya selalu membantu saya. Selepas sekolah, saya selalu belajar setiap hari dengan ibu," kata Felisyah sambil memegang tangan ibunya.

Berkat ketekunannya, Felisyah memperoleh gred 'B' dalam semua subjek.

"Saya gembira dengan keputusan saya, dan saya bangga dapat melangkah ke sekolah menengah," ujarnya.

Ibu bapa Felisyah bercadang untuk menghantarnya ke Sekolah Menengah Spektra.

Dengan senyuman lebar, Felisyah berkata, "Saya ingin terus belajar dan mencuba perkara baharu di sekolah menengah. Saya harap dapat ramai kawan. Saya juga mahu menyertai CCA lawan pedang atau menembak."
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan