Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah iltizam dan kerja keras banduan 'Adam' yang lulus tiga peperiksaan nasional di Sekolah Penjara, mahu ke universiti

Seramai lapan daripada 11 banduan yang menduduki peperiksaan GCE 'A' tahun pada 2023 lulus.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai lapan daripada 11 banduan yang menduduki peperiksaan GCE 'A' tahun pada 2023 lulus.

Mereka layak melanjutkan pengajian di polikteknik, kursus ijazah privet atau secara sepenuh masa di universiti-universiti tempatan.

Antaranya ialah 'Adam', bukan nama sebenar.



‘ADAM’ MAHU LANJUTKAN PENGAJIAN KE PERINGKAT UNIVERSITI

Sejak 1998, dia sudah tiga kali dipenjarakan atas beberapa kesalahan termasuk pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

Namun kali ini, 'Adam', 43 tahun, betul-betul tekad untuk berubah dan mengambil keputusan untuk meraih kelayakan pendidikan yang lebih baik di Sekolah Penjara.

Berkat usaha dan kerja kerasnya sepanjang empat tahun yang lalu, dia berjaya lulus dan meraih sijil peperiksaan GCE 'N' dan 'O'.

Kini 'Adam' setapak lebih dekat lagi mengejar impiannya untuk ke menara gading setelah lulus kesemua lima subjek yang diambilnya dalam peperiksaan GCE 'A' tahun lalu.

"Gembira dan sangat teruja, tidak sangka sebab boleh lulus kesemua lima subjek,” kata ‘Adam’ kepada wartawan Syawal Yusoff.



Antara individu yang sentiasa memberinya dorongan juga ialah ibu tercinta.

“Harapan ibu saya memang untuk melihat anak dia belajar untuk buat yang terbaik,” tambah ‘Adam’ yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Bagi ‘Adam’, yang gemar subjek Ekonomi dan Kertas Am, beliau bersungguh-sungguh untuk belajar kerana mahu merebut peluang dan kejayaan apabila dibebaskan kelak.

“Jika saya tidak belajar, saya akan ketinggalan di bawah jadi saya perlu bersaing kerana dunia tidak akan menunggu saya,” ujarnya.

Di Sekolah Penjara, ‘Adam’ masuk kelas lima hari seminggu bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Di luar waktu sekolah, dia juga rajin mengulang kaji sendiri.

“Saya banyak membaca dan menghafal, itulah cara saya belajar. (Saya juga sering) tanya soalan-soalan,” katanya.

Menerusi satu kerjasama di antara Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), 'Adam' berhasrat untuk menggenggam ijazah dalam bidang Pengurusan Logistik dan Bekalan Rantaian atau Pemasaran.

Apabila dibebaskan pada 2026 kelak, dia berazam untuk terus belajar sehingga dapat mencapai matlamatnya ke peringkat sarjana.

“Dekat luar ada banyak godaan yang boleh menjejaskan pembelajaran. Saya tidak mahu itu berlaku jadi saya mahu teruskan ‘momentum’,” kata 'Adam'.

‘Adam’ yang mempunyai dua cahaya mata berusia 15 dan 18 tahun juga mahu berbakti kepada masyarakat agar mereka tidak mengulangi kesilapannya.

“Harapan saya ialah untuk memberi semula kepada masyarakat terutama belia berisiko dan mereka yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

PENJARA SOKONG BANDUAN ULANG KAJI

Menurut guru adjung, Cik Kelly Wang, yang membimbing ‘Adam’ dalam subjek Ekonomi, prestasi para banduan tahun ini amat membanggakan kerana ramai yang layak ke universiti.

“Saya sangat berbesar hati dan selesa dengan keputusan ‘Adam’. Para pelajar memberi inspirasi kepada guru-guru untuk membuat lebih, kerana mereka sangat bermotivasi dan mereka mahu lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Saya sangat berbesar hati dan selesa dengan keputusan ‘Adam’,” kata Cik Wang.



Selain usaha para banduan itu sendiri, pihak penjara juga banyak memberikan sokongan buat mereka.

“Mereka hanya mempunyai 10 bulan untuk menyelesaikan tugas dua tahun. Untuk pelajar kami, asalkan mendapat keizinan guru, mereka dibenarkan membawa bahan bacaan ke dalam penjara. Selain itu selalunya lampu dipadamkan pada pukul 10 malam di dalam penjara tetapi semasa peperiksaan biasanya lampu dipadamkan sekitar 12 tengah malam.

“Dalam penjara lazimnya tiada jam tetapi semasa tempoh dekat dengan peperiksaan, setiap dua sel boleh berkongsi satu jam supaya mereka boleh menentukan masa mereka sendiri apabila mereka berlatih menulis esei mereka,” tambahnya.

Setiap tahun, lebih 300 banduan melanjutkan pengajian mereka di Sekolah Penjara.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan