Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah Hari Ibu: Hilang ibu pada Disember dan jadi ibu sebulan kemudian...

Sedang ramai yang meraikan ibu mereka pada Hari Ibu hari ini (10 Mei) menerusi panggilan telefon atau video atau melalui pesta mini di rumah sendiri, Sharifah Nur Amalina Syed Mustaffa Kamal pula hanya dapat mengenang sahaja kehadiran ibunya yang tersayang.

Anggaran Waktu Membaca:
Kisah Hari Ibu: Hilang ibu pada Disember dan jadi ibu sebulan kemudian...

Cik Sharifah Nur Amalina kehilangan ibunya sebulan sebelum melahirkan anak sulungnya. (Gambar: Sharifah Nur Amalina)

BERITAmediacorp: Sedang ramai yang meraikan ibu mereka pada Hari Ibu hari ini (10 Mei) menerusi panggilan telefon atau video atau melalui pesta mini di rumah sendiri, Sharifah Nur Amalina Syed Mustaffa Kamal pula hanya dapat mengenang sahaja kehadiran ibunya yang tersayang.

Sang bonda, iaitu Hajjah Rozitah Haji Karyani, pergi buat selama-lamanya sedang Sharifah Amalina sarat hamil lewat tahun lalu untuk turut bergelar ibu.

Kehilangan ibunya "sangat memeritkan" kerana Allahyarhamha bukan setakat seorang ibu, tetapi juga menjadi sahabat dan pejuang dalam kamus hidup Sharifah Amalina, 31 tahun.

BAGAIMANA IBU PERGI...

Hajjah Rozitah, 61 tahun, menghidap barah Tahap 4 selama 12 tahun dan ketika itu sudah 10 hari berada di hospital.

Di keheningan subuh 25 Disember lalu, sedang beliau menunaikan solat dari wad hospital, beliau mula mengalami sesak nafas. Hajjah Rozitah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir semasa solat subuh.

Kini lima bulan sudah berlalu, namun kenangan duka ini terus terpahat dalam ingatan Sharifah, seorang guru Sekolah Tanglin Trust.

"Hanya jururawat yang ada bersamanya ketika itu, tiada orang lain yang berada di sisinya," kongsi Sharifah.

Sharifah sendiri sedang sarat hamil pada waktu itu dan dijangka melahirkan anak sulungnya tidak lama lagi, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

"Saya cuba untuk kuat untuk diri sendiri dan bayi saya, sambil meratapi pemergian ibu pada masa yang sama. Namun, saya tetap harus positif untuk bayi saya," ujarnya.

MENJADI IBU "LUAR BIASA" NAMUN SUKAR TANPA IBU

Sharifah Amalina selamat melahirkan bayi perempuan yang sihat hampir sebulan kemudian, pada 29 Januari tahun ini.

Meskipun pengalaman menimang cahaya mata sulung suatu perasaan yang "luar biasa" bagi Sharifah Amalina, beliau akur kepayahan menguruskan diri selepas bersalin, tanpa kehadiran dan bantuan ibu tersayang di sisi.

"Amat sukar pada mulanya. Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan, apa yang harus dijangka dan bagaimana menangani susuan pada tengah malam.

"Saya berasa sangat tertekan tetapi tetap cuba menjadi positif. Namun apabila saya melihat bayi saya, semuanya seperti akan menjadi baik-baik sahaja," cerita Sharifah.

Suaminya, Encik Muhammad Danial Rahmat, yang terpaksa bekerja syif sebagai seorang anggota bomba, sering meninggalkannya sendirian pada waktu malam.

Ini sekali gus memaksa Sharifah belajar segala-galanya secara sendiri.

Mujur pihak mertuanya membantu pada sebelah pagi bagi memandikan dan menguruskan bayi sebelum pulang ke rumah masing-masing.

LEBIH HARGAI PENGORBANAN SEORANG IBU

Sharifah akur, kini sebagai seorang ibu, beliau lebih menghargai pengorbanan seorang ibu.

"Selepas melalui perkara yang sama (sebagai seorang ibu), sekarang saya tahu mengapa ia tidak mudah dan betapa sukarnya setiap hari itu - kebimbangannya, tangisan bayi dan tanggungjawab menguruskan keluarga," kata beliau.

Kini pengorbanan, kekuatan dan perjuangan ibunya melalui jerih payah kehidupan demi membesarkan beliau, menjadi pedoman di hati dan ingatan Sharifah Amalina. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan