Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah Hari Bapa: 'Bapa Era Baru' perlu faham TikTok, sokong dunia digital anak-anak

Ini kisah seorang bapa 3 anak remaja yang boleh dijadikan teladan. Encik Idroz ber'TikTok' dengan anak-anaknya. Malah masak 3 kali seminggu dengan anak-anak perempuannya. Yang pasti menjadi bapa pada zaman ledakan digital membawa cabaran berbeza...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bapa zaman ledakan digital seperti sekarang mempunyai cabaran yang cukup berbeza berbanding bapa satu generasi yang lalu. 'Bapa Era Baru' atau New Age Father kini perlu memahami kegilaan baru anak-anak remaja seperti TikTok dan pelbagai trend digital lain yang pasti muncul secara berkala.

Dengan munculnya gelombang demi gelombang fenomena baru seperti TikTok, para ibu bapa kerap berdepan dengan cabaran mengawal kandungan dan pengaruh anak-anak di media sosial.

BAPA SEBAGAI PENYOKONG DUNIA DIGITAL ANAK-ANAK

Malah, tanggungjawab seorang bapa dalam era baru ini kian mencabar, kerana bukan setakat sebagai ketua keluarga, mereka juga perlu menjadi penyokong dunia digital anak-anak mereka.

Encik Idroz Shah Bahroocha, 41 tahun, merupakan antara golongan bapa yang merasakan gelombang sedemikian.

Bapa kepada tiga orang anak remaja itu berkongsi cabaran yang perlu beliau harungi: "Sekarang sentiasa ada app baru atau cabaran sebagai seorang bapa bila kita mempelajari menggunakan satu app ini.

"Satu cabaran saya untuk saya bila TikTok baru keluar, ia suatu ledakan. Semua anak saya suka benda baru ini, dan kita sentiasa perlu tahu mengenainya."

Yang pasti, bagi beliau, peranan seorang bapa sudah banyak berubah sekarang ini. Dulu seorang bapa dianggap sebagai pencari nafkah dan peranan mendidik lebih terletak di bahu sang isteri. Namun Encik Idroz percaya bahawa Bapa Era Baru kini perlu mendakapi peranan seorang bapa yang lebih 'lentur'.

Ketiga-tiga anaknya merupakan perempuan - berusia 12, 14 dan 16 tahun. Encik Idroz berkongsi betapa beliau harus menghargai dan mengambil tahu kesukaan anak-anaknya dalam penggunaan aplikasi-aplikasi terbaru.

Dengan cara ini, bapa berusia 41 tahun ini dapat belajar daripada anak-anaknya, sekali gus membina persefahaman, kepercayaan dan komunikasi antara satu sama lain.

BAPA YANG MASAK 3 KALI SEMINGGU DENGAN ANAK-ANAK

Meskipun bersikap terbuka dalam mendakapi teknologi baru, Encik Idroz yang kini bertugas sebagai guru sambilan di sekolah menengah, tetap tegas menetapkan peraturan masa skrin serta kawalan ibu bapa atau “parental control” bagi peranti digital anak-anaknya.

"Kita cuba ada 'setting' peribadi, sedikit kawalan oleh ibu bapa dari segi dia orang punya perisian, apa yang mereka buat sebab dalam alam siber ini amat susah jadi anak-anak saya cuba selalu mengambil izin sebelum menggunakan aplikasi-aplikasi," jelas Encik Idroz.

Namun, di sebalik ketegasannya, pendekatan 'Bapa Era Baru' ini mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak perempuannya ini cukup pelbagai.

Misalnya, beliau sering memasak bersama anak-anaknya termasuk membuat kuih-muih tradisional Melayu seperti seri muka durian – sesuatu yang menjadi amalan mereka sehingga tiga kali seminggu.

Beliau berkongsi: "Saya cuba mengambil kegemaran anak-anak perempuan saya dan saya cuba menggunakannya juga, untuk komunikasi dengan seorang anak saya di luar negara. Dia suka memasak.

"Saya rasa sebagai Bapa Era Baru, kita rasa bangga kita dapat melakukan sesuatu yang amat dikaitkan dengan peranan seorang isteri. Saya rasa ia baik kerana ia mengeratkan keluarga."

TIDAK ADA MASA DENGAN ANAK-ANAK? INI KEFAHAMAN 'MASA' YANG BETUL

Satu lagi cabaran ibu bapa yang bekerja ialah faktor 'masa'. Memang dalam kesibukan bekerja, kadangkala seseorang bapa kesuntukan masa untuk diluangkan dengan keluarga atau anak-anak.

Namun bagi Encik Idroz, masa "sangat penting" untuk difahami dengan pengertian yang betul.

"Masa kita tidak boleh takrifkan sebagai sejam atau setengah hari atau enam jam. Masa, bagi saya, kadang-kadang ada hari yang saya sangat sibuk dengan kerja. Sangat sibuk dengan komitmen di pejabat.

"Jadi (gunakan) lima minit untuk berbual. Jika saya telefon anak perempuan saya dan bertanya 'sedang buat apa', 'sedang masak apa sekarang', 'bagaimana sekolah' - saya rasa ini adalah saat-saat penting.

"Anda bina perhubungan dengan anak-anak anda dan jalinan rapat dengan anak anda. Jadi itu sangat penting. Ini semua bukan dari segi kuantiti tapi dari segi kualiti - kualiti masa yang kita wujudkan untuk membina hubungan keluarga," terang Encik Idroz lagi.

Encik Idroz Shah Bahoocha dengan tiga orang anak perempuannya yang kini berusia 12, 14 dan 16 tahun. (Gambar: Idroz Shaha Bahroocha)

Salah seorang anaknya itu sedang menuntut di Perth Australia. Beliau mengaku bahawa ini suatu cabaran dari segi jarak. Namun di sinilah digital membantu menanganinya.

Bapa Era Baru ini menambah dalam dunia digital, tiada jarak sebenarnya - kerana, yang pasti, berada di alam digital bermakna beliau sentiasa dekat dengan anak-anaknya.   

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa