Kisah di sebalik juara dunia gilap kasut Ash Samsudin dan TikTok
(Gambar: Leonard Leong/TODAY)
SINGAPURA: Ash Samsudin sebelum ini amat ragu-ragu untuk berkongsi kandungan mengenai kerjayanya di TikTok, menyifatkan wadah media sosial itu sebagai platform bagi "Generasi Z" meskipun dirinya berada dalam lingkungan usia kumpulan itu.
Ash, 31 tahun bekerja sebagai Pengurus besar di Mason & Smith, sebuah kedai premium yang menawarkan khidmat menggilap kasut dan penjagaan kasut kulit.
"Adakah Gen Z yang ingin lihat saya menggilap kasut? Menggilap kasut pada mereka mungkin kelihatan seperti ketinggalan zaman ataupun sangat membosankan," katanya.
Beliau pernah menggunakan wadah TikTok pada lewat 2020, namun kandungannya hanya ditonton beberapa ribu kali.
Bagaimanapun, pandangannya mula berubah dan Ash kini penjadi penggemar wadah media sosial itu apabila sebuah video sepanjang tujuh saat yang dimuat naik pada Mei lalu menjadi tular dan mencatatkan lebih 7.8 juta tontonan setakat ini.
Kandungan video itu sangat ringkas: Ia menunjukkan Ash sedang menggilap kasut dan kemudian memegang pingat emas "Kejohanan Dunia Gilap Kasut".
Sejak memenangi pertandingan itu, sekitar separuh daripada video yang beliau muat naik meraih lebih 100,000 tontonan setiap satu dengan lebih 10 daripadanya menarik jutaan tontonan.
JUARA GILAP KASUT KEDUA SINGAPURA
Ash memberitahu Mediacorp bahawa tidak hanya penggilap kasut profesional tetapi sesiapa sahaja boleh cuba untuk melayakkan diri bagi pertandingan itu yang diadakan sempena pesta kasut klasik lelaki, London Super Trunk Show.
Menurut penganjur, acara dunia itu dibuka kepada orang ramai.
Pengasas dan pengarah Mason & Smith, Encik John Chung, merupakan warga Singapura pertama memenangi pertandingan menggilap kasut pada 2018.
Acara tahunan itu diadakan sejak 2017 tetapi dibatalkan pada 2020 dan 2021 kerana pandemik COVID-19.
Peserta dari seluruh dunia perlu menghantar gambar hasil kerja mereka sebelum hanya tiga calon dipilih untuk mengambil bahagian dalam peringkat akhir di London, England.
Peserta di peringkat akhir diberi masa 20 minit untuk menggilap satu kasut dengan disaksikan peserta di konvensyen tersebut.
Ash membuat persiapan sekitar dua bulan bagi menghadapi peringkat akhir itu.
"Saya ingat lagi masa itu bertepatan dengan bulan Ramadan dan selepas subuh (sekitar pukul 5.30 pagi) kami akan mula berlatih sehingga kami membuka kedai," katanya kepada Mediacorp.
Latihan diteruskan sehingga lewat malam selepas mereka menutup kedai.
Ash mengaku sangat terkejut apabila diumumkan pemenang Kejohanan Gilap Kasut Dunia 2022.
Ash menarik perhatian bahawa sejak video kemenangannya itu tular, beliau menyaksikan jumlah pengikut dalam akaun TikToknya semakin meningkat.
Akaunnya kini mempunyai lebih 121,700 pengikut dengan 2.6 juta tanda suka keseluruhannya untuk semua video yang dimuat naik.
"Ibu saya juga kini ikut saya di TikTok," ujar Ash.
Meskipun kebanyakan pelanggan Mason & Smith terdiri daripada golongan profesional dalam lingkungan 20-an hingga awal 40-an tahun, Ash turut mula menyaksikan pelanggan yang lebih muda masuk ke kedai itu di Club Street berhampiran Chinatown.
Meskipun beliau akui perniagaannya adalah khusus dan mungkin hampir "pupus", Ash sangat berbesar hati melihat minat yang semakin berkembang dalam kalangan mereka yang membeli kasut bermutu serta penjagaan dan menggilap dengan betul.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.