Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah bekas istana Siak di Emily Hill

Di hujung Upper Wilkie Road, sebuah bangunan serba putih, gah berdiri dalam pekarangan yang dikenali sebagai Emily Hill.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di hujung Upper Wilkie Road, sebuah bangunan serba putih, gah berdiri dalam pekarangan yang dikenali sebagai Emily Hill.

Hari ini, ia menempatkan sebuah kelompok seni. Namun, bangunan yang asalnya dibina pada tahun 1890-an ini adalah bekas istana kesultanan dari Sumatera, Indonesia.

Menurut penggiat sejarah Encik Sarafian Salleh, istana berkenaan didiami sultan ke-12 kerajaan Siak, Sultan Syarif Kasim bersama isterinya.

Istana di Emily Hill menjadi tempat kediaman pasangan ini selama lebih 35 tahun. (Gambar: Twitter/@potretlawas)

LANJUTKAN SEJARAH

Asal usul bangunan dua tingkat itu kurang diketahui ramai.

Apa yang dapat Encik Sarafian perolehi ialah sejarah bangunan istana tersebut yang dikesan sehingga zaman sebelum perang dunia kedua ketika ia dihuni seorang doktor gigi Jepun, Encik Jukichi Ikeda bersama keluarganya dari 1935 hingga 1939.

Selepas menggali arkib dan bertanya anggota kerabat keturunan diraja, Encik Sarafian mendapat tahu bahawa Encik Ikeda membeli hartanah yang seluas 86,000 kaki persegi daripada Sultan Syarif.

Sejauh ini, sebab Sultan Syarif terpaksa pulang ke Siak Indrapura belum konklusif. (Gambar: Topenmuseum/Wikimedia Commons)

“Apabila Sultan pulang ke Siak Indrapura, rumah ini dijual kepada doktor gigi berkenaan dengan harga S$22,000. S$22,000 ketika itu banyak untuk rumah sebesar ini,” seloroh beliau sambil menambah sekitar empat tahun kemudian, Konsulat Jepun pula bertapak di situ.

Selepas perang, pemilik bangunan tersebut bertukar ganti beberapa kali. Misalnya, pada 1969 ia dijadikan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Perempuan Mount Emily dan pada 1980-an pula, ia digunakan sebagai pusat kaunseling untuk bekas pesalah dadah.

Bekas istana Siak yang dijadikan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Perempuan Mt Emily pada 1959. (Gambar: Wan Soon Bee/SPH)

Mt Emily Girl's Home pada tahun 1959. (Gambar: Wan Soon Bee/The Straits Times)

Sepanjang tempoh itu, tidakkah ada percubaan oleh anggota keluarga keturunan Sultan Syarif untuk mewarisi bangunan bersejarah berkenaan?

Berdasarkan kajian Encik Sarafian, Sultan dan isterinya tidak dikurniakan cahaya mata. Sebaliknya, mereka membesarkan lima orang anak angkat dengan salah seorang daripadanya bernama Sharifah Mariam.

“Saya baca di akhbar, pada tahun 1978, Puan Sharifah Mariam tampil di mahkamah untuk menuntut rumah tersebut tapi dia tidak dapat kerana dia hanya seorang anak angkat,” jawab beliau.

Istana Siak tidak berjaya dituntut keturunan diraja dan kini menempatkan sebuah kelompok seni. Gambar: Facebook/Kultkafe)

Tambahnya,kesudahan itu seakan satu “cerita sedih” memandangkan bangunan tersebut merupakan satu-satunya istana milik kerajaan Siak di Singapura, menurut pengetahuan beliau.

30 ISTANA DI S’PURA

Istana Woodneuk milik Sultan Johor masih wujud tapi tidak lagi digunakan. (Gambar ihsan: Razali Hassan)

“Sultan Pahang umpamanya, ada dalam empat buah istana. Begitu juga dengan Sultan Johor. Beliau pun ada beberapa istana,” dedah Encik Sarafian.

Di Singapura sahaja, sebanyak 30 istana pernah berdiri di sini suatu ketika dahulu. Meski hampir semua sudah dirobohkan, Encik Sarafian berjaya mengenal pasti 20 lokasi bekas istana hasil kajiannya sepanjang lima tahun lalu.

Encik Sarafian Salleh (dua dari kiri) merancang untuk menerbitkan buku pada masa hadapan demi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang istana-istana di Singapura. 

Selain istana Kampong Gelam, istana Siak di Emily Hill adalah antara yang masih dipulihara malah digunakan sehingga hari ini.

Ikuti laporan lain #BERITAjelajah: 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan