Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kios belajar sendiri CPR berciri interaktif ditempatkan di enam lokasi

Orang ramai digalak untuk mempelajari kemahiran menyelamatkan nyawa dan bantuan pernafasan (CPR), kerana penyakit jantung merupakan satu keadaan kesihatan utama di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai digalak untuk mempelajari kemahiran menyelamatkan nyawa dan bantuan pernafasan (CPR).

Ini adalah penting kerana penyakit jantung merupakan satu keadaan kesihatan utama di Singapura.

Pada 2017, purata 33 kes serangan jantung dan 21 kes angin ahmar berlaku setiap hari.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Encik Amrin Amin mendedahkan demikian di acara meraikan Hari Jantung Sedunia di Kampung Admiralty hari ini (29 Sep).

RISIKO PENYAKIT JANTUNG & ANGIN AHMAR MENINGKAT

Dalam ucapannya, Encik Amrin berkongsi bahawa jumlah penghidap penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi telah meningkat. Ia juga menyumbang kepada risiko penyakit jantung dan angin ahmar yang lebih tinggi.

Jumlah itu dijangka terus bertambah dengan penduduk Singapura yang semakin menua. Maka itu, Encik Amrin menggalak orang ramai untuk mempelajari kemahiran CPR bagi menyelamatkan nyawa orang-orang di sekeliling.

"Kalau ada ahli keluarga yang berumur dan ada masalah sakit jantung, dengan adanya pengiktirafan itu, kita boleh yakin dengan diri sendiri yang kita boleh menyelamatkan nyawa seseorang," kata Encik Amrin.

Antara mereka yang sudah menyahut seruan itu ialah 15 penduduk Woodlands yang menerima sijil pengiktirafan bagi kursus pertolongan cemas CPR dan AED daripada Encik Amrin.

"Di kawasan saya, blok saya lebih ramai orang tua-tua jadi dengan pengiktirafan itu saya lebih yakin," kongsi salah seorang penerima, Cik Annurhana Abdul Latif.

KIOS BELAJAR CPR BARU DAN DIPERTINGKAT

Demi meningkatkan kesedaran ramai tentang kepentingan kemahiran CPR, sebuah kios pembelajaran CPR yang baru dan dipertingkat turut dilancarkan oleh Yayasan Jantung Singapura di acara yang sama.

Dihasilkan oleh Yayasan Jantung Singapura bersama Politeknik Nanyang, ia membolehkan orang ramai mempelajari teknik CPR dengan cara interaktif dan menyeronokkan.

Menurut Yayasan Jantung Singapura, kios itu adalah yang pertama dilancarkan di Asia.

Kios-kios itu akan ditempatkan di enam lokasi iaitu di Kampung Admiralty, Hospital Farrer Park, Politeknik Nanyang, Junction 8, Pusat Sukan Sengkang ActiveSG dan Pusat Beli Belah Anchorpoint selama enam bulan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan